Zoo Taiping ‘Meriah’, Harimau Malaya Lahirkan 3 Ekor Anak Comel Ketika PKP

Share

Zoo Taiping and Night Safari, Taiping meriah seketika apabila menerima ahli baharu dengan kelahiran tiga ekor anak Harimau Malaya atau nama saintifiknya ‘Panthera Tigris Jacksoni’ pada 12 April 2020 lepas.

Foto anak-anak harimau yang comel itu kini tular dilaman sosial. Anak harimau yang belum diketahui jantina itu dilahirkan dengan anggaran berat 700 hingga 900 gram setiap ekor oleh induk yang turut dilahirkan di zoo berkenaan pada tahun 2009. Tempoh penceraian susu anak harimau adalah sekitar umur tiga hingga empat bulan dan akan hidup bersama ibunya selama kira-kira 18 bulan.

Zoo Taiping and Night Safari kini mempunyai lapan ekor Harimau Malaya termasuk anak yang baru dilahirkan. Kelahiran Harimau Malaya itu adalah yang keempat di premis tersebut selepas yang terakhir pada 2009.

Zoo Taiping and Night Safari ditutup sementara kepada orang awam mulai 18 Mac lepas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, namun kebajikan terhadap haiwan terus dijaga dengan pemantauan secara kerap dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan.

Berdasarkan kepada penemuan awal tinjauan Harimau Kebangsaan 2016-2020 mendapati populasi Harimau Malaya di negara ini berada pada tahap sangat membimbangkan iaitu kurang daripada 200 ekor disebabkan oleh pemburuan haram, kehilangan habitat semulajadi, pencemaran alam dan beberapa faktor lain.

 Sumber: Bernama

Oleh
Husna