Aktiviti Kolam Renang & Sukan Air Dibenarkan. Yeay! Boleh Bawa Anak Mandi Kolam Kat Hotel

Share

Sudah hampir dua minggu penduduk di Malaysia dibenarkan untuk ‘cuti-cuti Malaysia’ dan menginap dipelbagai pilihan hotel dan resort.

Untuk yang ada anak kecil, pastinya lokasi penginapan yang mempunyai kemudahan kolam renang menjadi pilihan hati untuk ‘bercuti’. Malangnya, aktiviti ini tidak diizinkan beroperasi dan itu membantutkan setengah-setengah keluarga untuk mula bercuti di dalam negara.

Selepas ini, tiada alasan lagi untuk tidak membawa keluarga bercuti dan menginap di hotel serta resort kegemaran. Mulai 25 Jun 2020, aktiviti berenang menggunakan kemudahan kolam dibenarkan untuk beroperasi untuk aktiviti latihan tanpa sentuhan fizikal serta kolam renang di tempat terkawal dan awam, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Kebenaran ini termasuk aktiviti terjun dan menyelam, dengan mengikut sesi serta jumlah yang dihadkan pada satu-satu masa, berdasarkan kapasiti kolam renang. Kebenaran itu diberikan kepada atlet kebangsaan, negeri, dan perenang kelab, serta akademi renang dalam program latihan tertentu, dan untuk peserta atau perenang, dalam program latihan berperingkat seperti program ‘belajar berenang’.

Bagi kolam renang di tempat terkawal seperti kolam renang persendirian di kediaman, kolam renang awam di hotel, dan kelab rekreasi, kebenaran tertakluk kepada SOP kolam renang. Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), sedang perhalusi lagi SOP tersebut dan akan maklumkan kepada orang ramai. Antara syarat yang perlu dipatuhi adalah menyediakan petugas kolam renang atau ‘life guard’, untuk memastikan jumlah pengguna kolam renang terkawal. Jumlah pengguna masih perlu dihadkan mengikut kapasiti kolam renang.

Sumber: Bernama

Oleh
Husna