Malaysia sedang mengorak langkah ke arah pendigitalan yang komprehensif bagi mengubah industri pelancongannya dengan inisiatif pelancongan pintar, sejajar dengan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada ucaptama semasa melancarkan Persidangan Pelancongan Sedunia 2019.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan percaya, menerusi keterangkuman spektrum digitalisasi, ia dapat menyediakan keperluan buat para penggiat pelancongan ke peringkat antarabangsa selain meluaskan perniagaan dan memendekkan tempoh rantaian bekalan.
“Untuk menjadikannya satu kenyataan, satu iklim pelaburan baru diperlukan untuk satu persekitaran kondusif bagi membolehkan industri pelancongan berpusatkan teknologi bergerak ke hadapan. Pelaburan dalam infrastruktur keras dan lembut perlu diseimbangkan.
“Dasar kebangsaan diperlukan untuk membenarkan insentif pelaburan dalam produk yang lebih tidak ketara seperti data pemerolehan, penciptaan kandungan dan kewujudan platform dalam talian,” katanya
Turut hadir Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO) Zhu Shanzhong.
Sumber: Bernama | pmo.gov.my