Bagi pencinta bunga matahari, tidak perlu pergi jauh untuk menikmati keindahan flora berwarna kuning jingga tersebut.
Perlis kini mempunyai ladang bunga matahari yang tidak kurang menariknya terletak di Taman Ular dan Reptilia, Sungai Batu Pahat menjadi destinasi pilihan bagi pelancong domestik.
Suasana indah berlatarkan panorama Banjaran Nakawan menerusi bukit Sungai Batu Pahat pastinya memukau para pengunjung yang ingin meluangkan masa di sini, sekali gus menjadi lokasi terbaik untuk merakam kenangan sambil dikelilingi pokok bunga matahari yang kembang mekar, untuk dikongsi dalam media sosial.
Ladang bunga matahari tersebut adalah milik Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dengan keluasan 1.21 hektar, mencetuskan fenomena luar biasa setelah mencatatkan lebih 15,000 pengunjung dari dalam dan luar negara dalam tiga bulan pertama dibuka sejak akhir Disember 2019 lalu.
Kebanyakan pengunjung adalah daripada golongan remaja, bagaimanapun sejak taman itu dibuka kembali pada 10 Jun 2020 lalu sebaik negara memasuki tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), berlaku penurunan pengunjung, terutama yang berkeluarga. Kebanyakan pelawat datang pada hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Mengimbas kembali idea untuk membuka ladang itu, pada asalnya kawasan taman itu adalah lembah (tanah mendap dan berair) serta tidak digunakan, bagaimanapun kakitangan unit publisiti dan promosi PKENPs mahu memanfaatkan kawasan itu sebagai produk alternatif dengan menanam pokok bunga matahari. Pada 2017 dan 2018, kakitangan PKENPs membelanjakan wang sendiri untuk membeli biji benih tempatan, namun percubaan menanam tanaman itu tidak menjadi selain tiada kepakaran. Pada 2019 mereka cuba benih jenis ‘oil’ dari Thailand dan setelah tiga kali percubaan, benih dari Thailand ini beri kesan positif sesuai dengan faktor cuaca dan tanah di sini.
Proses penanaman pokok bunga matahari memakan masa selama dua bulan dengan penyemaian biji benih dibuat secara berperingkat bagi memastikan pokok terus tumbuh dan tidak terputus. Penjagaan pokok itu juga mempunyai cabaran apabila tanah yang mendap perlu sentiasa digembur selain turut terdedah dengan kehadiran serangga perosak seperti siput dan ulat serta memerlukan pemantauan berterusan.
Jom sokong industri pelancongan domestik kita dengan cuti-cuti Malaysia ke negeri Perlis
Foto: Google Image | Sumber: Bernama