Program Limpahan Lampu Biru (#LightItBlue) telah diadakan di 38 bangunan serta lokasi terpilih di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan sebagai simbolik penghargaan kepada seluruh rakyat dan petugas barisan hadapan melawan COVID-19.
Program anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan bermula 30 April 2020 hingga 3 Mei 2020 jam 10.30 malam hingga 1 pagi melibatkan bangunan ikonik dan jalan utama di tiga wilayah persekutuan. Warna biru dipilih memandangkan ia adalah warna rasmi sektor perubatan yang membawa maksud kredibiliti, pengetahuan, kepercayaan dan fokus.
Tujuan utama program itu adalah demi menzahirkan jutaan terima kasih terhadap pengorbanan, kecekalan, kesungguhan, jasa dan keringat pasukan barisan hadapan, baik di sektor awam, swasta serta sukarelawan yang bertugas tanpa sempadan memerangi wabak COVID-19 untuk rakyat Malaysia.
Tidak ketinggalan beberapa negeri lain turut mengambil bahagian. Antara mesej yang ingin disampaikan adalah solidariti kepada semua petugas barisan hadapan khususnya di ibu negara selain perhangaan kepada pengorbanan rakyat dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Orang ramai juga digalakkan menyertai inisiatif itu dengan memasang lampu biru di kediaman masing-masing.
Istana Negara turut tidak ketinggalan dalam menzahirkan solidariti kepada pasukan petugas hadapan dalam mengekang wabak COVID-19 dengan menyertai program Limpahan Lampu Biru anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan.
Dalam catatan terbaharu di laman rasmi Instagram Istana Negara, ia menyebut Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Raja Permaisuri Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, serta ahli keluarga lain berkenan agar seluruh Istana Negara dilimpahi dengan cahaya kebiruan.
“Program Limpahan Lampu Biru adalah sebagai sokongan dan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan yang berjuang mengekang wabak COVID-19,” menurut catatan itu lagi.