Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) awal bulan lalu menyambut baik berita mengatakan tiada lagi pesakit COVID-19 dirawat di Wuhan, China, dan memuji ‘usaha gigih tanpa mengenal erti penat’ rakyatnya dalam berjuang melawan wabak itu.
Selepas bertarung selama lebih tiga bulan, akhirnya Wuhan, bandar raya yang paling teruk diancam wabak, berjaya menyelesaikan kes pesakit COVID-19 yang dirawat di hospital. WHO turut menghargai usaha yang tidak mengenal erti penat rakyat di Wuhan. Bukan hanya pekerja kesihatan tetapi individu yang tinggal di rumah, yang mematuhi langkah-langkah kesihatan awam.
“Ia berita gembira yang amat dialu-alukan, tiada lagi kes serius, tiada lagi pesakit di Wuhan. Tahniah atas pencapaian ini. Saya ada di sana selama dua minggu, bekerja secara langsung dengan pegawai kementerian dan pegawai dari pelbagai sektor, saya lihat sendiri bagaimana gigihnya mereka untuk menurunkan jumlah kes,” kata ketua teknikal Program Kecemasan Kesihatan WHO Dr Maria van Kerkhove.
Namun, selepas sebulan bebas jangkitan, kluster baharu dikesan di Wuhan. Wuhan yang merupakan pusat penularan wabak COVID-19, mencatat kluster jangkitan baharu dengan sejumlah kes baharu dilaporkan.
Menurut pihak berkuasa, kluster kecil kes baharu itu melibatkan penduduk dari kawasan kejiranan yang sama. Kluster kecil Wuhan ini adalah yang pertama dilaporkan sejak China melonggarkan sekatan pada 8 April. China melonggarkan sekatan selepas mencatat penurunan kes jangkitan. Bagaimanapun, pihak berkuasa dan pakar kesihatan memberi amaran, risiko jangkitan kembali menular adalah tinggi selepas kerajaan melonggarkan sekatan.
Sumber: Bernama | astroawani