‘Weekend Day Trip’ Pusing Tanah Mat Kilau. Jom Jejak 6 Destinasi Best Di Pahang

Share

Percutian di Pahang yang terkenal dengan sejarah Mat Kilau tidak lengkap jika tidak mencuba hidangan tradisi berasaskan ikan patin. Pahang mempunyai banyak lokasi menarik yang boleh diteroka antaranya Sungai Lembing, Pekan, dan Cherating. Jom teroka destinasi menarik di Pahang pada hujung minggu!

  • Sungai Lembing – Muzium Sungai Lembing menjadi salah satu daya tarikan disini. Siapa sangka, pekan kecil dikenali sebagai ‘Kota El Dorado Timur’ pada suatu ketika dahulu menyimpan sejarah yang mungkin tidak diketahui kebanyakan orang. Sesi lawatan di muzium ini pasti memberi pengetahuan kepada pengunjung tentang sejarah kegemilangan Sungai Lembing dengan kegiatan perlombongan telah menjadikan pekan ini terkenal. Pelbagai khazanah, replika dan artifak menarik berkaitan dengan aktiviti perlombongan bijih timah terdapat di sini. Jika ingin merasai pengalaman sebenar melombong, mulakan penerokaan menaiki kereta api atau lokomotif, kenderaan yang mengangkut bijih timah sejauh 80 meter. Ia kemudian diikuti dengan berjalan kaki sambil melihat pelbagai maklumat berkenaan terowong yang disediakan pada dinding.

  • Air Terjun Sungai Pandan – Terletak di Kuantan, air terjun ini juga dikenali sebagai Air Terjun Panching oleh penduduk setempat. LOkasi ini menjadi tumpuan ramai untuk berkelah, mandi manda atau bersantai bersama keluarga dan kawan-kawan. Terdapat sebuah jambatan gantung merentasi sungai di air terjun ini yang sesuai menjadi lokasi untuk merakam kenangan.

  • Pusat Tenunan Pulau Keladi – Pekan sememangnya terkenal dengan hasil tenun yang bukan saja halus pembuatannya tetapi juga menawarkan pelbagai jenis corak dan fabrik menarik. Kompleks Kampung Budaya Pulau Keladi yang merangkumi Pusat Tenunan Sutera Pahang adalah destinasi utama bagi pengunjung yang ingin melihat sendiri kain tenun dihasilkan dari awal hingga siap. Hasilnya yang cantik itu boleh dibeli secara terus atau membuat tempahan terlebih dahulu dengan memilih pelbagai jenis corak kain yang disediakan.
dav

  • Bazaar Serambi Teruntum – Lokasi membeli-belah ini menjadi tarikan pengunjung yang mencari produk hasil keluaran negeri Pahang. Terdapat pelbagai pilihan premis kedai yang menampilkan produk tempatan termasuk makanan tradisional, kraftangan, tekstil dan hasil laut. Produk wajib untuk anda dapatkan di sini seperti sambal hitam, pes sambal tempoyak, puding diraja, dan kain tenun.

  • Kelip-kelip Sungai Cherating – Lokasi ini memang terkenal sebagai lokasi untuk melihat keajaiban kelip-kelip bukan sahaja kepada pengunjung tempatan malah pelancong asing. Pengunjung akan menyusuri sungai sepanjang 2 kilometer untuk melihat keindahan cahaya genit si kelip-kelip di sekitar pokok paya bakau berhampiran.

  • Pusat Santuari Penyu Cherating – Penyu, hidupan yang makin pupus. Namun, jika ingin melihat penyu yang comel anda boleh berkunjung ke pusat ini. Pelbagai pendekatan dan promosi dilakukan bagi menarik lebih ramai pelancong antaranya dengan mengadakan aktiviti melepaskan anak penyu ke laut pada waktu petang.

Jom cuti-cuti Malaysia!

Oleh
Husna