Warna-Warni Percikan Bunga Api 2020 Menghiasi Ruang Udara Seluruh Dunia
Januari 1, 2020
Share
Detik 12 tengah malam menjelang ketibaan tahun baharu 2020 di seluruh dunia menyaksikan sambutan penuh warna-warni menerangi langit di sekitar bandar utama.
Di Kuala Lumpur, sebaik jam besar bangunan Sultan Abdul Samad berbunyi 12 kali, ruang udara sekitar Dataran Merdeka terus dihiasi dengan Pertunjukan Cahaya di Langit (Light Show in the Sky) menggunakan 300 dron sebagai simbolik menyambut kedatangan tahun baharu 2020. Pertunjukan cahaya menggunakan dron-dron itu menjadi elemen istimewa sambutan tahun 2020 serentak dengan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020). Dron-dron itu yang dikordinasi secara berpusat begitu jitu menampilkan pelbagai formasi grafik seperti wau, burung Kenyalang, durian Musang King, bendera Malaysia Jalur Gemilang dan beca selama lebih 10 minit diikuti percikan bunga api pelbagai warna. Puluhan ribu warga kota membanjiri Dataran Merdeka bagi menyambut kehadiran tahun 2020 dan menyaksikan majlis pelancaran VM2020 oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Turut hadir isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta menteri-menteri kabinet.
Manakala percikan bunga api turut dilihat menerangi beberapa bandar utama di seluruh Malaysia.
Di Perak, lebih 10,000 pengunjung memenuhi dataran Maritim, di Lumut, yang menadi lokasi sambutan Ambang Tahun Baharu 2020.
Di Kuantan, ribuan orang awam berkumpul di Zoo Mini Taman Teruntum bagi menyambut tahun baharu yang diadakan serentak dengan pelancaran Nite Zoo dan VM2020 peringkat negeri Pahang.
Di Kuching, hujan sejak pagi tidak menghalang lebih 10,000 masyarakat dan pelancong menyertai Fiesta Countdown 2020 di Tebingan Sungai Kuching.
Di Melaka, lebih 5,000 orang termasuk pelancong dari dalam dan luar negara menghadiri Majlis Pelancaran Melaka Coundown Fiesta 2019 dan Pelancaran VM2020 Peringkat Negeri Melaka di Menara Taming Sari, Bandar Hilir.
Di Johor, lebih 5,000 pengunjung membanjiri Dataran Marina Harbour di Iskandar Puteri di sini bagi menyambut 2020 dan menyaksikan pertunjukan bunga api turut diadakan sebagai acara kemuncak sambutan malam.
Di George Town, kemuncak sambutan 2020 di The TOP Penang di Komtar menyaksikan percikan bunga api dari puncak bangunan di tingkat 68 itu, menerangi langit malam bandar raya Pulau Mutiara yang turut boleh dilihat oleh penduduk di sebahagian kawasan di Seberang Perai.
Di Selangor, sambutan ambang tahun baharu diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan Taman Tema I-City dengan pelbagai persembahan seni dan tarian serta pertunjukan bunga api tepat pukul 12 tengah malam.
Di Kelantan, persembahan kebudayaan dan pertunjukan bunga api diadakan di Sungai Golok, di sempadan Malaysia-Thailand sempena sambutan VM2020 serentak dengan sambutan tahun baharu 2020.
Di Negeri Sembilan, sambutan ambang 2020 diadakan di Lexis Hibiscus Port Dickson, dengan pertunjukan bunga api panaromik berlatarkan irama merdu dimainkan sebagai acara kemuncak sambutan itu.
Di Kedah, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat melancarkan persembahan bunga api terbesar negeri sempena sambutan 2020 di pulau buatan manusia, Paradise 101, Langkawi. Sementara itu, di Alor Setar hampir 400 peserta daripada pelbagai lapisan peringkat umur dan masyarakat menyertai acara larian Alor Setar Festival Ambang 2020 sempena sambutan tahun baharu. Peserta dan pengunjung juga disajikan dengan persembahan bunga api tepat pukul 12 tengah malam di kawasan belakang Muzium Negeri Kedah.
Di negara lain seluruh dunia, turut berlangsung meriah acara Tahun Baru 2020 dengan percikan bunga api.