Semalam (22 Julai 2019) kita baru menyaksikan logo baharu untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang dilancarkan oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Ramai yang memuji rekaan logo baharu berkenaan, hasil ciptaan oleh Alfred Phua Hong Fook kerana dilihat lebih menyerlah daripada rekaan logo kempen yang sama sebelum ini.
Dalam rekaan baru itu. kita dapat lihat Burung Enggang, Bunga Raya dan daun Paku Pakis digunakan sebagai elemen utama yang melambangkan keunikan flora dan fauna, kepelbagaian budaya dan makanan yang ada di Malaysia.
Namun, berlaku kekeliruan tidak lama selepas logo baharu itu dilancarkan apabila wargamaya mula membanding-bandingkan dengan satu logo Burung Enggang yang ada di laman sesawang Shutterstock.
Sekali pandang, kita akan lihat rekaan Burung Enggang yang ada di laman sesawang Shutterstock itu sama dengan rekaan Burung Enggang pada logo baharu Tahun Melawat Malaysia 2020.
Maka dengan itu, berduyun-duyunlah wargamaya di laman-laman sosial mengkritik logo baharu Tahun Melawat Malaysia 2020 itu sebagai logo cetak rompak dan tiada keaslian dalam pembikinan logo tersebut.
Dengan sumber yang ada, saya cuba membuat perbandingan terhadap logo yang asli dengan logo-logo yang tular di media sosial mengatakan logo asli adalah hasil cetak rompak.
Yang pertama, kita perlu kenalpasti terlebih dahulu logo manakah yang asli, dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir dengan logo yang tular di media-media sosial.
Yang kedua, jika anda perhatikan kepada kedua-dua rekaan di atas, anda akan dapat lihat bahawa rekaan logo yang asli dengan logo yang ditularkan di media sosial adalah berbeza sama sekali.
Logo Burung Enggang pada rekaan yang asli tidak mempunyai lekuk-lekuk pada bahagian dada dan paruh serta mata burung berkenaan juga berbeza.
Untuk lihat dengan lebih jelas, di sini ada satu gambar logo yang letak sebelah-menyebelah, anda boleh lihat dengan jelas dan bandingkan sendiri antara logo asli dan logo tular tersebut.
Mungkin, dari sudut pandang seorang perekabentuk, anda merasakan rekaan tersebut adalah biasa-biasa, tapi bagi kami yang tidak dianugerahkan pancaindera untuk berkarya melakar, melukis apatah lagi merekabentuk logo-logo yang hebat, logo baharu ni lebih baik daripada sebelumnya. Sorry to say, tapi itulah hakikatnya. Rekaan dulu tu compare dengan sekarang, sangat berbeza.
Tapi persoalan yang lebih besar, macam mana ada dua rekaan logo yang berbeza? Satu yang asli dan satu lagi yang tular dan seolah-olah menampakkan rekaan asli adalah cetak rompak? Adakah ada ‘tangan-tangan’ yang cuba mencetuskan propaganda? Allahualam. Tetapi sebagai pengamal media dan berpaksikan etika kewartawanan, saya perlu menyatakan kebenaran dan membetulkan masyarakat daripada keliru.
Tidak salah untuk kita mengkritik demi kemajuan tapi jangan kelirukan masyarakat demi tujuan tertentu. Dah nak masuk 2020 dah kan?
KEMASKINI TERKINI (23/7/2019 19:40): Pihak Tourism Malaysia telah menghubungi Libur untuk pengesahan dan memaklumkan berlakunya ‘miss-leading’ diantara logo asli dengan logo palsu yang tular di sosial media. Diminta wargamaya tidak terkeliru antara logo asli dengan logo yang palsu.