Angkasawan wanita Amerika Syarikat, Christina Koch yang berusia 41 tahun menjadi wanita pertama berada paling lama di ruang angkasa selepas 11 bulan berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Sebelum ini, rekod angkasawan wanita paling lama berada di ruang angkasa adalah selama 289 hari yang oleh dipegang angkasawan veteran, Peggy Whitson. Christina Koch selamat mendarat di Kazakhstan pada jam 3.12 petang waktu tempatan bersama dua rakannya, Luca Parmitano, dari Agensi Angkasa Eropah dan Alexander Skvortsov, dari Rusia.
Christina Koch, yang juga merupakan kakitangan NASA itu berada di ruang angkasa selama 328 hari. Manakala Luca Parmitano dan Alexander Skvortsov pula menamatkan misi selama 201 hari berada di ISS. Misi ini sekali gus memberi peluang kepada penyelidik untuk melihat kesan kepada wanita yang berada lama di angkasa lepas.
Christina Koch dilihat tersenyum lebar dan menunjukkan tanda ‘thumbs up’ selepas dibawa keluar dari model terbaharu Soyuz. Mereka dibawa ke ibu pejabat NASA di Houston melalui Karaganda dan Cologne, Jerman untuk pemeriksaan perubatan.
Foto: NASA
Sumber: Astro Awani