Kehebatan negara Timur Tengah tidak bisa dipertikaikan. Selain kaya dengan sumber galian seperti minyak, negara-negara Arab ini turut terkenal dengan keunikan bentuk muka buminya. Antara negara yang menjadi pujaan ramai adalah Morocco atau lebih indah dengan panggilan Maghribi.
Morocco termasuk negara terkenal dengan dengan panggilan bumi Andalusia. Walaupun muka buminya yang kering kontang, negara ini semakin mendapat kunjungan ramai pelancong dari serata dunia kerana keindahan, keunikan dan kemewahan senibina hiasannya.
Morrocco cukup berbangga dengan bandar terbilangnya, Casablanca. Antara bandar yang terbesar di negara ini. Di sini anda dapat melihat suasana bandar dan cara hidup penduduknya. Antara mercu tanda yang terkenal adalah Masjid Sultan Hassan II yang merupakan masjid terbesar di daerah ini dan ke tujuh terbesar di dunia.
Keunikan masjid ini terletak pada ketinggian menara iaitu 210 meter. Ketinggian menara ini merupakan yang tertinggi di dunia dan dilengkapi dengan pancaran laser menghadap ke arah Mekah. Kebiasaannya, apabila menghampiri senja, di sekeliling kawasan masjid ini akan dipenuhi oleh penduduk dan pelancong yang bersantai sambil melihat keindahan masjid yang tersergam indah di tepi laut.
Buat pengetahuan semua, hampir ke semua masjid di Morocco hanya membuka pintunya kepada jemaah apabila azan berkumandang dan menutup pintu masjid kembali apabila solat berjemaah selesai. Ini kerana mereka sangat menjaga kebersihan dan kesucian tempat beribadat masjid dari dicemari oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab seperti gelandangan.
Jika anda melihat rumah-rumah penduduk di sini, kelihatan biasa-biasa sahaja. Tetapi permandangan menjadi sebaliknya jika anda memasuki ruang dalam rumah tersebut. Anda pasti terpukau dengan dekorasi dan pancaran lampu-lampu yang menghiasi di sekeliling rumah. Terasa mewah dan bercirikan timur tengah. Maka tidak hairanlah banyak majalah-majalah barat sering meniru gaya dekorasi ala Morocco.
Selain Casablanca, terdapat sebuah lagi bandar yang terkenal iaitu Marrakech. Ia dipanggil dengan gelaran ‘Tanah Tuhan’ dari nama lama iaitu Marakush. Di sini terdapatnya pasar Souk Alkasabine yang popular dengan peniaga-peniaga yang menjual pelbagai makanan tradisional. Antara yang popular, pelbagai kuih manisan bersalut madu, barangan basah dan kering jua jeruk buah zaitun. Tidak ketinggalan jualan barang-barang perhiasan rumah dan cenderamata seperti lampu, periuk, pinggan mangkuk, selimut dan sebagainya.