Negeri Sembilan memperkenalkan ‘Waghih Mart, platform baharu yang merupakan aplikasi jualan juadah berbuka puasa dalam talian, bagi menggantikan bazar Ramadan.
Aplikasi jualan itu membolehkan peniaga dan penjaja meneruskan perniagaan mereka ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan. Aplikasi ini dibangunkan melalui kerjasama pintar bersama Webhaus Technologies Sdn Bhd (Webhaus) dan diselaras oleh Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan, serta dikendalikan secara bersama oleh Webhaus, Pihak Berkuasa Tempatan dan semua Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri mengikut lokaliti masing-masing.
Sebagai pengenalan, keutamaan adalah ditumpukan kepada peniaga-peniaga bazar Ramadan yang telah berdaftar dengan PBT pada tahun lalu kerana mereka telah faham bagaimana operasi penyediaan makanan mengikut standard Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna selain telah berdaftar dan mematuhi syarat-syarat PBT. Bagaimanapun aplikasi itu juga dibuka pendaftarannya kepada peniaga baharu sekiranya mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
- Waghih Mart menjadi saluran alternatif kepada platform jualan sedia ada yang telah diguna pakai oleh peniaga sejak PKP berkuat kuasa pada 18 Mac lepas seperti Facebook, Telegram dan juga WhatsApp. Apa yang membezakan platform ini dengan platform lain adalah ia memastikan pengusaha makanan dan penghantar makanan berdaftar mematuhi syarat-syarat kawalan kesihatan dan juga dari segi faktor keselamatan ditetapkan.
- Waktu operasi pengusaha makanan bermula 8 pagi sehingga 8 malam dan tempahan makanan juga boleh dibuat sehari lebih awal manakala waktu operasi untuk penghantar makanan pula bermula 2 petang sehingga 8 malam.
- Pengguna platform ini sama ada daripada kalangan pengusaha makanan, penghantar makanan atau pembeli dinasihat untuk sentiasa mematuhi panduan keselamatan makanan ketika penyerahan makanan seperti pemakaian penutup mulut dan hidung, sentiasa mengekalkan jarak sosial dan kerap mencuci tangan sebelum dan selepas penghantaran.
- Tiga kumpulan sasar utama iaitu pengusaha, penghantar dan juga pembeli dialu-alukan untuk mendaftar sebagai pengguna aplikasi ini kerana platform ini bukan sahaja terpakai sepanjang bulan Ramadan dan tempoh PKP sahaja malah ia boleh terus digunakan pada bila-bila masa.
- Waghih Mart turut terbuka kepada penjualan dan pengedaran bahan asas masakan, produk pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan, serta produk daging dan ternakan.
Pengusaha dan penghantar makanan boleh mendaftar secara percuma di platform Waghih Mart bermula 27 April 2020 melalui pautan https://www.waghihmart.xyz manakala pendaftaran bagi pembeli pula boleh dibuat bermula 2 Mei 2020.
Sumber: Bernama