Kalau nak cari villa percutian di kawasan yang tenang tetapi tidak terlalu jauh dari bandar, atau sekadar mencari tempat untuk mengadakan acara keluarga, boleh pilih Villa Sajuri.
Villa Sajuri Bertemakan Maghribi
Villa ini terletak di Kampung Sungai Sembilang, Pantai Remis, Jeram. Kalau ada yang tak tahu lokasi Pantai Remis ini, terletak di antara Klang dan Kuala Selangor.
Dekorasi pun sesuai dengan konsepnya, gabungan warna yang menenangkan emosi tetamu yang singgah di sini.
Eh, tandas pun macam boleh tidur tau! Teruja sungguh kalau anda masuk Villa Sajuri ini.
Perabotnya teratur molek membuatkan anda sebagai penginap berpuas hati untuk santai-santai dengan keluarga.
Soal penginapan, Villa ini mempunyai 4 bilik 12 katil 5 bilik air boleh memuatkan 16 orang dalam satu masa. Boleh lah nak berkumpul dengan adik beradik yang ramai di sini. Luas dan cantik untuk ootd.
Kolam Mandi Yang Besar
Selain mempunyai kolam mandi yang luas, disediakan juga peralatan untuk bbq depan itu sahaja. Mak ayah masak, anak-anak mandi main air. Boleh bayangkan tak betapa menariknya suasana itu?
Selain mandi-manda, anda boleh main snooker. Yang minat memang rasa puas hati duduk sini walau cuma satu malam.
Banyak aktiviti boleh buat bersama keluarga. Ya, konsep rasa macam dekat Morocco instaworthy sangat Villa ini.
Lokasi:
Villa Sajuri, Kampung Sungai Sembilang, 45600 Jeram, Selangor
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jom Berpesta Telur Ikan Roma Di Sungai Kuala Rui
Di luar negara, ikan salmon pulang ke hulu sungai untuk bertelur, di Gerik ikan loma dari Tasik Chenderoh pula pulang ke hulu Sungai Kuala Rui dalam kuantiti yang sangat besar untuk bertelur.
Dari September hingga Disember; bulan yang ditunggu penduduk kampung, malah orang Ipoh,Baling, Kelantan turut datang berkongsi rezeki alam dengan mencandat, menagguk, menyauk dan menjala ikan loma. Hasil tangkapan paling tinggi mampu cecah 100kg sehari kalau tepat kena masanya!
Posted by Kenderong Pahat on Monday, 4 September 2017
Video ikan loma disauk
Satu kawasan yang dikenali sebagai Dataran Ikan Loma dibina di sini dengan kos RM80,000 bagi memudahkan orang ramai menyauk ikan loma. Sini jadi pesta orang ramai menaikkan ikan loma.
Ikan loma sedap digoreng rangup dengan cili kering dan bawang serta dibuat pekasam. Paling lazat ialah telurnya.
Terliur aih masak pekasam macam ni!
Ikan Loma atau ikan Lomah merupakan ikan air tawar. Nama sainsnya Thynnichthys thynnoides.
Ikan Loma selalunya bergerak dalam kumpulan yang besar dan terdapat tasik-tasik dan lombong. Diet utamanya adalah plankton dan tumbuh-tumbuhan air.
Bentuk ikan ini seperti ikan Tongsan atau ikan Temelian malah dipanggil ikan Tongsan Loma. Saiznya boleh menjadi panjang, sehingga 0.6 meter.
Foto: Kenderong Pahat
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tidur Dalam Safari Tarikan Keluarga Ke Leofoo Village Taiwan
Jika bercadang atau merancang percutian keluarga ke Taiwan, catatkan destinasi Leofoo Village sebagai destinasi yang perlu dikunjungi. Terletak di daerah Hsinchu Taiwan, Leofoo Village antara destinasi terbaik percutian keluarga yang tidak harus dilepaskan untuk dikunjungi. Segalanya terdapat di sini, dari taman tema bertaraf dunia, binaan landskap dunia mengkagumkan, penginapan empat bintang unik lagi esklusif serta sajian makanan lazat yang Halal.
Mini Replika Binaan Dunia Jadi Tarikan
Apabila berada di dalam kawasan Leofoo Village, singgah sebentar di Window On China untuk melihat hasil ketelitian serta kehalusan mini replika pelbagai jenis bangunan dan binaan termasyhur dunia. Window On China telah dianugerahkan antara 10 destinasi tumpuan pelancong ke Taiwan. Kira-kira 133 miniatur bangunan terhidang di hadapan mata termasuk Dewan Memorial Sun Yat-Sen, Taiwan, Menara Pisa Itali, St Basil Rusia, dan patung Statue of Liberty Amerika Syarikat. Jangan lupa untuk mengambil gambar kenang-kenangan di sini.
Menjengah Harimau ‘Life of Pi’
Bagi menambahkan keseronokan percutian di lokasi ini, berkunjunglah ke Leofoo Village Theme Park. Ia adalah taman tema yang terdiri daripada empat konsep hiburan mengikut tema beberapa negara seperti African Safari, South Pacific, Wild West, dan Arabian Kingdom. Malah, ia menawarkan lebih 30 permainan serta aktiviti di zon basah dan kering yang cukup menghiburkan terutama roller coaster berbentuk U yang kedua tertinggi di dunia.
Terdapat juga haiwan liar dibiar bebas berkeliaran seperti harimau, singa, zirafah dan badak. Setiap spesies haiwan ditempatkan dalam komuniti sendiri dengan pintu jeriji besi sebagai pemisah. Kalau pernah menyaksikan filem pecah panggung Life of Pi, harimau yang digunakan di dalam filem tersebut dipinjamkan dari taman ini dan dikatakan telah menjadi ‘selebriti terkenal’ di sini.
Pengunjung boleh memilih menjelajah seluruh African Safari dengan bas atau keretapi mini yang disediakan. Haiwan lain yang unik terdapat di sini adalah spesies alpaca. Anda dibenarkan memberi haiwan jinak ini makan dengan membeli makanan yang disediakan berhampiran ruang sangkarnya.
Selain bersantai dan mengenali haiwan, pengunjung berpeluang menyelami dunia koboi di Wild West, menghayati hikayat 1001 malam Aladdin di Arabian Kingdom dan mencuba pelbagai permainan air di South Pasific. Jangan lupa untuk singgah di kedai cenderamata untuk membawa pulang beberapa buah tangan sebagai kenang-kenangan, terutamanya ikon haiwan alpaka yang comel.
Hidangan Lazat Timur Tengah
Sebagai memenuhi keperluan pelancong Muslim untuk dapatkan hidangan halal, pengunjung beragama Islam boleh mendapatkan makanan cita rasa Timur Tengah di Restoran Aladdin dalam kawasan Leofoo Village Theme Park dengan mudah.
Pelbagai menu Asia Barat tersedia buat pengunjung seperti Grilled Squid Salad, Chick Peas Sauce & Pita, Red Lentil, Stewed Mutton, Grilled Chicken Leg dan Puding Nasi. Anda pasti tertarik melihat nasi briyani berbentuk piramid menghiasi pinggan dengan lauk kurma kambing atau ayam tandoori. Apa yang penting, taman tema ini menyediakan pelbagai kemudahan untuk pengunjung muslim termasuk bilik solat dan tandas berpaip.
Check In Dalam Safari
Rehatkan lelah anda selepas seharian berlibur dengan memilih menginap di Leofoo Resort tidak jauh dari Window On China dan terletak berhampiran Leofoo Village Theme Park.
Membangunkan konsep Safari inspirasi dari negara Afrika, resort ini menawarkan hanya 161 buah bilik esklusif demi menjaga hak bersendirian tetamunya. Tidak kira kanak-kanak atau golongan dewasa pasti terpukau dengan konsep unik yang ditawarkan iaitu menginap bersama haiwan disekeliling resort.
Umpama berada di dalam zoo, anda boleh melihat zirafah, kuda belang, badak, dan banyak lagi hanya dari jendela kamar atau baring di atas katil. Jangan risau mengenai masalah bau-bauan haiwan yang timbul dari persekitaran safari, kerana setiap kamar dilengkapi dengan gelas kaca yang nyah bau.
Bilik anda tidak akan sesekali memberikan bau yang kurang menyenangkan. Jika anda berada di jambatan yang menghubungkan kawasan safari ke resort, terdapat haiwan terutama zirafah menghulur keluar kepala, jangan sentuh atau memberi makanan. Ianya perkara yang sangat dilarang di sini.
Pada malam hari pula, terdapat persembahan dari suku kaum Afrika yang begitu mengujakan dengan rentak tarian yang pasti membuatkan mata anda tidak berkelip. Memang sesuai sekali resort ini diberi pengiktirafan sebagai ‘Asia’s first and only ecological and animal themed resort’.
Cara Ke Sini
Keretapi (Taiwan Railway)
- Ambil perkhidmatan keretapi Taiwan Railway dari stesen Taipei ke stesen Chungli. Setibanya di Chungli Train Station ambil perkhidmatan bas (Hsinchu Transport Bus) terus ke Leofoo Village dengan perjalanan selama 70 minit.
THSR (Taiwan High Speed Rail)
- Setibanya di stesen THSR Hsinchu, pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan teksi dengan masa perjalanan hanya 20 minit untuk sampai di Leofoo Village.
Kereta
- Menggunakan lebuhraya nombor3 dan keluar ke Guansi (4km)
- Menggunakan lebuhraya nombor1 dan keluar ke Youth (13km)
Bas
- Bas ini bergerak terus ke Leofoo Village dari Taipei (Sungshan Airport Station) mengikut jadual masa perjalanan yang telah ditetapkan. Rancang masa anda lebih awal jika ingin menggunakan perkhidmatan ini agar tidak tertinggal bas. Lebih kurang 90 minit masa perjalanan yang diperlukan untuk sampai di destinasi.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
9 Air Terjun Paling Menakjubkan di Dunia
Melihat keindahan alam semula jadi yang menakjubkan memberikan seribu ketenangan buat sesiapa jua. Berikut ini disenaraikan keajaiban sembilan air terjun paling unik dan mengujakan di dunia.
Air Terjun Victoria
Air Terjun Victoria terletak di Zambia dan Zimbabwe, Afrika. Keindahan dan keunikannya, air terjun Victoria menyebabkan ia tersenarai oleh UNESCO sebagai lokasi Warisan Dunia. Air Terjun Victoria memiliki ketinggian 100 meter dan kelebaran yang luar biasa. Air terjun menakjubkan ini mampu menumpahkan 540.000.000 air dalam masa satu minit. Jika ke sini, jangan ketinggalan melihat fenomena pelangi.
Air Terjun Plitvice
Awalnya, tempat ini adalah sebuah danau dan taman nasional. Plitvice adalah taman nasional tertua di Eropah Tenggara dan taman nasional terbesar di Kroasia. Plitvice terkenal dengan pemandangan danau jernih dan menawan serta dialiri serangkaian air terjun kecil. Plitvice tersenarai dalam catatan UNESCO dan menetapkannya sebagai lokasi Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1979
Air Terjun Niagara
Air terjun Niagara dikenali sebagai air terjun paling kuat dan paling terkenal di Amerika Utara. Berlokasi di Ontario dan New York, air terjun Niagara menumpahkan lebih dari 6 juta kaki air di atas garis puncaknya setiap minit selama arus tinggi. Konon, air terjun ini memiliki laju aliran air tertinggi dibanding air terjun mana pun di seluruh dunia.
Air Terjun Kaieteur
Air terjun Kaieteur berada di pesisir utara Amerika Selatan, di pedalaman Hutan Amazon, wilayah Guyana. Konon, air terjun ini memiliki ketinggian mencapai 226 meter sehingga disebut sebagai air terjun tertinggi di dunia. Air terjun ini berada di daerah yang sangat terpencil dan dialiri oleh air dari Sungai Potaru yang mengalir di atasnya. Sering disebut sebagai syurga buat pelancong, air terjun ini merupakan perpaduan antara ketinggian, volume air yang jatuh, serta dikelilingi tebing dan hutan hujan yang lebat.
Air Terjun Iguazu
Air terjun ini berada di antara Argentina dan Brazil juga merupakan pembatas serta pemisah antara negara Argentina dan Brazil. Berlokasi di Wilayah Misiones, Argentina dan negara bahagian Parana di Brazil. Air yang mengalir di air terjun ini mencapai 300 meter per detiknya. Luas permukaan air terjun Iguazu mencapai 40 hektar. Wow!
Air Terjun Havasu
Air terjun Havasu berlokasi di tengah kawasan tebing-tebing tandus di Grand Canyon dan berada di kawasan Havasupai Indian Reservation. Air Terjun Havasu memiliki ketinggian sekitar 100 meter. Pengunjung boleh berenang, menikmati makanan dan minuman yang dijual sekitar Havasu.
Air Terjun Gocta Cataracts
Air Terjun Gocta Cataracts bertempat di wilayah Chachapoyas Amazona Peru. Ketinggian air terjun ini mencapai 771 meter. Istimewanya, air yang berasal dari gocta cataracts ini menjadi sumber utama sungai yang terkenal di Peru, iaitu sungai Cocahuayco. Istimewanya, di sekitar air terjun ini juga terdapat bangunan peninggalan peradaban tua Amerika.
Air Terjun Dettifoss
Air terjun Dettifoss terletak di Taman Nasional Vatnajokull di timur laut Islandia. Air terjun Dettifoss dikenal dengan kecepatan aliran air mencapai 200 hingga 500 meter per detik . Air terjun ini memiliki lebar sekitar 100 meter dengan ketinggian 44 meter. Air terjun Dettifoss dikenal sebagai air terjun paling kuat di Eropah.
Air Terjun Ban Gioc–Detian
Air Terjun Ban Gioc–Detian berada antara Tiongkok dan Vietnam. Air terjun ini memiliki ketinggian mencapai 30 meter. Air terjun Ban Gioc Detian termasuk dalam air terjun paling besar di Asia dengan lebar sekitar 200 meter dan mempunyai tiga tangga aliran air terjun.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI