Walau dalam suasana negara mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak COVID-19, namun bagi masyarakat di Sarawak tidak ketinggalan meraikan Hari Gawai yang merupakan merupakan pesta tahunan bagi masyarakat di negeri ini. Pesta ini juga merupakan cuti umum di Sarawak dan majlis keagamaan dan sosial yang diiktiraf sejak 1957.
Menariknya dan sebagai negeri penuh adat budaya kerana ada berbagai kaum, masyarakat di Sarawak khususnya bagi kaum Iban mengadakan upacara Miring iaitu Persembahan Doa Kepada Tuhan Semasa Hari Gawai Dayak.
Dipetik dari fb Malaysia Tourism Sarawak (Bigtown Production), dikongsikan keunikan budaya ini.
Perayaan Hari Gawai Dayak merupakan perayaan yang menjadi identiti suku kaum Dayak di Kepulauan Borneo. Dalam suku kaum Dayak, masyarakat Iban akan melakukan satu upacara iaitu upacara miring, iaitu sebuah upacara untuk menghormati ‘petara’, roh dan nenek moyang.
Selain Hari Gawai, upacara ini juga dapat dilakukan untuk mencari kejayaan dalam usaha masa depan sama ada dalam perniagaan atau perjalanan.
Secara umumnya, upacara miring diadakan adalah bertujuan untuk memberkati, melindungi, membawa kebahagian, kedamaian dan keharmonian dalam masyarakat Iban. Yang membuatnya unik adalah setiap daerah/kampung mempunyai cara mereka tersendiri bagaimana melakukan upacara ini.
Kebiasaannya, upacara ini akan diadakan sebelum sesuatu aktiviti penting seperti Gawai Dayak atau selepas berlakunya malapetaka yang tidak diingini. Pelaksanaan upacara ini akan dilakukan mengikut keperluan sesuatu zaman.
Contohnya, pada zaman dahulu, upacara ini akan dilakukan bagi aktiviti-aktiviti seperti ngayau (berperang), membuka kawasan baharu untuk pertanian, berpindah ke kawasan penempatan baharu dan ketika melakukan perjalanan (bejalai). Kini, masyarakat Iban melakukan upacara ini untuk mendapatkan kekayaan, perlindungan dan kebahagiaan hidup.
Walaupun sudah wujudnya agama seperti Kristian dan Islam di kalangan masyarakat Iban, upacara ini masih dilakukan dan hanya dibuat sekiranya terdapat keperluan-keperluan tertentu yang penting untuk dilakukan.
Meskipun kebanyakkan masyarakat Iban sudah memeluk agama, ia tidak dinafikan mereka masih kekal dengan tradisi yang diturunkan secara turun temurun sehingga ke hari ini.
Seperti etnik lain mempunyai keunikan mereka tersendiri, masyarakat Iban menunjukkan walaupun dunia sudah moden, ia bukan alasan untuk mereka tidak mengamalkan adat-adat dahulu, dan turut mengingatkan kita tentang budaya yang berwarna-warni yang kita ada di pulau Borneo.
Credit article:
https://www.iloveborneo.my/…/upacara-miring…/