Baru-baru ini viral satu video di laman sosial yang memaparkan beberapa orang pelancong asing menjalankan aktiviti perniagaan secara haram menggunakan permit melancong di Jonker Walk, Melaka. Video tersebut tular apabila berlaku insiden ‘berperang mulut’ diantara seorang lelaki dipercayai warganegara Malaysia bersama pelancong warga asing tersebut.
Mengikut undang-undang, sememangnya tindakan pelancong warga asing tersebut salah kerana tidak mempunyai permit untuk berniaga malahan kedatangan mereka ke negara ini hanya menggunakan permit melancong, bukan untuk mencari keuntungan atau sebagainya.
Acap kali kita lihat perkara ini semakin kerap berlaku di negara kita. Awal Februari lalu perkara yang sama turut berlaku membabitkan pelancong asing yang menggunakan anaknya sebagai ‘alat’ yang dilambung-lambung semata-mata untuk meraih wang. Dalam bulan yang sama juga terjadi kejadian pelancong asing bermain jugelan di tengah-tengah jalan. Apa yang mereka nak buktikan sebenarnya?
BACA: Pelancong buat hal, ‘juggling’ tengah lintasan Jalan Sultan Ismail
BACA: Gara-gara lambung bayi dalam persembahan jalanan, pasangan Rusia ditahan
Pelancong asing ini seakan-akan cuba untuk membawa satu budaya yang baru ke dalam masyarakat Malaysia iaitu tanpa memerlukan kerja yang baik, seseorang itu boleh melancong ke luar negara dan seterusnya meminta-minta wang daripada rakyat tempatan untuk menampung perbelanjaan mereka berseronok, bersiar-siar dan melihat dunia.
Perkara ini sekiranya tidak ditangani dengan komprehensif, ia mampu memjadi satu wabak kanser yang lama kelamaan akan menjadi epidemik dan meracuni serta merosakkan lanskap pelancongan negara kita. Rakyat Malaysia sepatutnya tidak perlu membenarkan perkara seperti pelancong asing meminta-minta wang atau ‘berjual beli’ ini terjadi atas dasar simpati, kasihan dan berprasangka baik.
Sekiranya benar pelancong asing tersebut mempunyai masalah atau ditimpa musibbah, ada banyak lagi cara lain untuk mereka mendapatkan bantuan dan sebagainya. Bukan dengan cara mudah – mencari kotak, menghamparkan kain tuala dan menyusun bulu-bulu ayam untuk dijual secara berjemaah di tepi-tepi jalan.
Tiba masanya kita ambil pendekatan seperti yang dilakukan oleh Thailand dalam usaha untuk memerangi masalah pelancong asing meminta sedekah ini. Melalui Akta Kawalan Peminta Sedekah atau Beggar Control Act’s, kesemua kuil-kuil buddha yang ada di Thailand digesa untuk tidak memberikan wang kepada peminta sedekah kerana ianya akan menyalahi undang-undang.
Undang-undang tersebut melarang sesiapa sahaja daripada menjadi peminta sedekah dan sesiapa yang didapati melakukan hal sedemikian akan dikenakan hukuman penjara atau denda sebanyak Bt10,000 atau kedua-duanya sekali.
Selain daripada itu, sesiapa sahaja yang membantu atau menyokong peminta sedekah ini akan dikena tindakan undang-undang yang lebih berat seperti penjara maksimum dua tahun penjara atau denda Bt20,000 atau kedua-duanya sekali manakala sesiapa yang mengambil habuan ke atas peminta sedekah seperti sindiket akan dikenakan tindakan tiga tahun penjara, denda Bt30,000 atau kedua-duanya sekali.
Tiba masanya untuk kita bertegas terhadap pelancong warga asing yang mempunyai ideologi bahawa datang ke Malaysia, mereka boleh melakukan apa sahaja dek kerana masyarakatnya yang budiman dan terlalu bertolak ansur.
Sumber: Bangkokjack.com