Yahuuu.. AirAsia sudah melancarkan laluan baru yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Belitung di Sumatra, Indonesia menerusi perkhidmatan terus empat kali seminggu mulai 2 Okt 2019 ini. Selain laluan baharu ini, AirAsia juga mengendalikan penerbangan harian ke Belitung dari ibu negara Indonesia, Jakarta, mulai 1 Okt 2019.
Apa yang seronoknya Belitung ini? Tarikan utama Belitung terletak pada keindahan pulau dan laut. Belitung akhir-akhir ini menjadi destinasi pilihan setelah ramai yang berkongsi gambar kenang-kenangan ketika bercuti di destinasi itu yang begitu indah!
Aktiviti menjejak pulau adalah satu daripada acara wajib sekiranya mengunjungi Belitung, yang terletak di Indonesia. Belitung atau Belitong dinamakan sempena sejenis siput laut, terletak di pantai timur Sumatera. Terletak di bawah provinsi Kepulauan Bangka Belitung, pulau ini terkenal dengan penanaman lada hitam dan perlombongan timah.
Penduduk tempatan terdiri daripada suku Melayu, keturunan Tionghua, Hokkien dan Hakka, kebanyakannya menetap di kawasan pesisir pantai dengan menjadikan sumber laut sebagai penjana ekonomi. Apa ada di Belitung?
Pulau Lengkuas
Di sebalik keindahan pantai putih dan laut biru, terletak sebuah rumah api yang mempunyai 18 tingkat dengan ketinggian 65 meter. Jika sampai ke Belitung, rumah api ini adalah mercu tandanya.
Set Pengambaran Laskar Pelangi
Terkenal dengan filem Laskar Pelangi yang mencetuskan fenomena pada 2008 adaptasi tulisan Andrea Hirata, Belitung memanfaatkan lokasi penggambaran menjadi lokasi pelancongan tempatan. Pengunjung berpeluang melihat replika sekolah SD Muhammadiyah, sambil ditemani alunan lagu tema nyanyian Nidji, Laskar Pelangi.
Pulau Kelayang
Dek kerana air yang jernih, perairan Pulau Kepayang menjadi pilihan bagi pengunjung untuk aktiviti snorkeling dan berenang. Terdapat sebuah kawasan kolam tersembunyi yang begitu mempersona iaitu Gua Kelayang. Di sini pengunjung dapat menyaksikan air laut kehijauan yang jernih hingga menampakkan keputihan pasir di dasarnya.
Dermaga Kirana
Dermaga Kirana dikenali sebagai Rumah Rotan atau Rumah Keong yang menjadi tarikan di daerah Belitung Timur ini. Istimewanya, reka bentuk Dermaga Kirana dibina berdekatan tasik mempunyai konsep separa sfera mencetuskan dimensi pemandangan luar biasa.
Sumber Foto: Google Image