Kelantan adalah sebuah negeri yang terkenal dengan kekayaan budaya dan tradisi selain destinasi pelancongan yang menarik. Tidak kurang istimewanya seperti negeri lain, negeri Pantai Timur ini juga terkenal dengan makanan unik tradisi dan lokasi best untuk menjamu selera. Boleh dikatakan makanan di Kelantan kebanyakkan sedap dan menarik untuk dicuba.
Nak tahu mana lokasi best untuk jalan-jalan di Kelantan sambil makan? Ini perkongsian daripada Nurul, port best untuk singgah jamu selera.
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hai sempena tahun 2020 ni tahun melawat Kelantan kita pusing Kota Bharu jalan jalan cari makan selama 3 hari 2 malam. Trip rawat hati sebab trip Bali postpone ke tahun depan.
- Yati Ayam Percik (servis agak slow. Maybe orang terlampau ramai n pekerja dia itulah ambik order itulah tukang isi nasi)
- Pantai Cahaya Bulan
- Acu Tera PCB (Sotong & Udang celup tepung dia sedap)
- Kopitiam Kita (Roti titab dia terbaik)
- Pantai Mek Mas (yang view macam padang pasir tu)
- Palestine Art
- Nasi Kak Wook (Sedap. Cubalah nanti mintak sambal lebih tau)
- Kaori Cha ( Cukup rasa dan potong kaki)
- Pantai Senok (Lawa kat sini beratus gambar)
- D’syaz maggi ketam (ok je kot rasa dia. Tapi ketam dia sedap. Manis isi dia)
- Jijah Nk Stall (Nasi Kerabu tumis + kambing dia sedap gila. Please pergi kalau ada kat KB)
- Warung Pak Mat Pulau Pisang (teh ais madu dia sedap bak hang. Pergi lah weh!)
- Scekok Ran Xahar( bahan-bahan penuh. Tapi kurang rasa)
- Pasar Siti Khadijah (beli keropok, kain batik, kain pasang bagai kat sini. Sapa pandai kecek kelate mau dapat murah. Kita ni orang pahang duk koi aok jela mana mau dapat murah)
Untuk trip kali ni total habis RM 600 la lebih kurang. Kami pergi bertiga. Sorang kos dalam RM 200. Ni termasuk makan minum hotel dan minyak pergi balik. Hotel tempah kat OYO RM 166 Untuk 2 malam. Bilik lawa dan bersih sangat. Dapat 1 katil queen n 1 single. Cuma agak sempit la. Tapi so far puas hati. Ada heater apa sume.
Next time kita cuba jalan jalan cari makan tempat lain pulak.
P/s : Nak pergi maybe boleh start dari hari Sabtu Ahad Isnin. Sebab hari Jumaat kedai viral ada yang tutup. Kami 1st day agak kecewa la. Sebab sampai hari Jumaat kan. Pape pun duduk Kelantan takdan nak lapar. Kenyang manjang
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pelayaran Sungai Kilim Geoforest Park Bawa Pengunjung Tinjau Alam Hijau Langkawi
Pelayaran reakreasi merupakan aktiviti yang banyak disediakan di destinasi tumpuan pelancong untuk bersiar-siar melihat panorama indah menggunakan pengangkutan air. Selalunya bot persiaran bersaiz kecil dan sederhana digunakan sebagai tarikan produk pelancong di kawasan tersebut.
Nak dikatakan terlalu mahal, rasanya tidaklah terlampau tinggi bayaran dikenakan. Tetapi harga yang dibayar berbaloi dengan kemudahan dan kepuasan pengunjung yang teringin bersiar-siar bersama tersayang. Ada beberapa destinasi yang terkenal dengan aktiviti ‘cruise’ ini di Malaysia antara yang mesti ada cuba adalah di Pulau Lagenda, Langkawi.
Pelayaran Sungai Kilim Geoforest Park antara daya tarikan alam semula jadi di Langkawi yang menarik untuk mengisi masa percutian anda ialah menyaksikan khazanah hutan bakaunya. Kebanyakan hutan bakau terletak di lokasi Kilim Geoforest Park dengan sejarah kewujudan menjangkau 400,000 tahun. Pengunjung yang ke sini boleh memilih untuk menyusuri hutan bakau Sungai Kilim dengan menggunakan bot sebagai pengalaman percutian. Keindahan persekitaran hutan bakau ini membolehkan Kilim terpilih sebagai lokasi penggambaran untuk banyak filem tempatan dan antarabangsa.
Pelancong yang mengambil pakej menyusuri Sungai Kilim juga berpeluang di bawa ke Gua Kelawar yang menganjur sejauh 60 meter dengan dua pintu masuk yang saling bertemu. Ia dihuni beribu-ribu kelawar buah. Jambatan kayu dibina untuk memudahkan pelawat keluar masuk. Pengunjung dinasihatkan memakai sandal kerana sebahagian lantai di pintu masuk gua ini digenangi air. Selepas melawat gua, berehatlah sementara di dangau sambil mengambil peluang melihat persekitaran hutan bakau dari jarak dekat.
Kalau ke Langkawi, jangan lupa untuk masukkan pakej pelayaran ini dalam jadual percutian anda.
image via google
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lembah Bujang, Kedah Tawar Seribu Satu Pengalaman Menarik Kepada Pelancong Yang Datang Ke Sana!
Si pencinta sejarah dan tempat-tempat yang mempunyai sejarah serta warisan tersendiri pasti akan menyukai satu lokasi yang menarik di Kedah ini iaitu Lembah Bujang. Sekiranya anda rasakan bahawa tempat-tempat pelancongan bersejarah di luar negara seperti Bali, Indonesia, Angkor Wat, Kemboja, Wat Arun, Thailand sahaja yang mempunyai sejarah dan ceritanya yang tersendiri, anda perlu berkunjung ke Lembah Bujang kerana di sini juga tidak kurangnya dengan tempat-tempat di luar negara tersebut.
Untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman pergi ke Lembah Bujang berserta dengan melawat tempat-tempat pelancongan yang berada di sekitarnya dan juga di sekitar Kedah, Libur bawakan kepada anda travelog yang ditulis sendiri daripada Contributor Journalist kami iaitu Norazlina Miswan yang baru-baru ini mengikuti trip bersama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) melihat sendiri keindahan dan menyelusuri sejarah yang terdapat di Lembah Bujang.
Program Ekspresi Media Lembah Bujang kali ini yang dilakukan di Sungai Petani & Yan, Kedah dan merupakan salah satu program pengisian ke arah Tahun Melawat Malaysia 2020. Program yang berlangsung 4 hari 3 malam ini bermula pada 8 Julai 2019 hingga 11 Julai 2019.
Pada hari pertama, tepat pukul 7.30 pagi kami memulakan perjalanan dari MATIC, Kuala Lumpur dan bertolak terus ke Sungai Merbok, Sungai Petani, Kedah.
DSA Café Semeling Jetty
Perjalanan mengambil masa selama 5 jam ini menjadikan destinasi kami yang pertama disana ialah DSA Café Semeling Jetty untuk makan tengah hari. Lokasinya yang terletak di Sungai Merbok sangat menarik dan indah dengan pemandangan sungai serta suasana yang damai serta makanan yang disajikan juga sangat sedap dengan harga yang dikenakan.
DSA Café ini terletak di Jeti Semeling, 08000 Sungai Petani. Disitu juga terdapat monumen tempat pembakaran kayu arang iaitu ‘gok arang’. Gok digunakan untuk membakar kayu bakau menjadi arang ketika zaman dulu. Di kawasan yang sama juga terdapat Pusat Interpretasi Perlancongan Sungai Merbok dan ianya dibuka kepada orang ramai yang ingin berkunjung ketika bercuti di sana.
Seterusnya kami dibawa untuk menaiki bot di Kompleks Jeti Perlancongan Sungai Merbok ke Pulau Tiga, Lubuk Pusing, paya bakau dan pusat ternakan tiram. Sesiapa sahaja yang melihat pasti terpegun akan keunikan tumbuhan pokok bakau yang tumbuh meliar di kawasan persekitarannya.
Sungai Merbok simpan sejarah tersendiri
Tourist guide yang membawa kami menerangkan sedikit sebanyak perihal sejarah Sungai Merbok, pokok bakau dan jenis-jenis bakau yang terdapat disana. Ada pelbagai jenis pokok bakau diseluruh dunia yang hidup disana menjadikan ekosistem kawasan tersebut sangat unik dan membuatkan kami teruja untuk mendengar penjelasan beliau sepanjang lawatan di Sungai Merbok itu berlangsung.
Kami dapat merasai sendiri pengalaman menyusuri Sungai Merbok dan mengunjungi Pulau Tiga dan Lubuk Pusing untuk melihat tinggalan kota lama serta mempelajari ekosistem pokok bakau dengan lebih terperinci. Lawatan ke ladang tiram (Oyster Farm) yang diusahakan oleh pemilik Bakau Hijau, Encik Fikri amat mengagumkan kerana berjaya menternak tiram dan menghasilkan tiram dalam pelbagai saiz bagi pasaran makanan tempatan.
Sepanjang masa saya berada di sana, kelihatan juga beberapa pelajar dari luar negara sedang mengikuti latihan praktikal berkaitan tiram dan hidupan akuatik bagi memenuhi keperluan akademi universiti mereka.
Selera Dataran Tsunami hidang mi udang terbaik!
Kemudian selepas lawatan di Sungai Merbok dan juga ladang tiram itu, kami dibawa untuk menikmati makan petang berupa mi udang yang sangat sedap di Selera Dataran Tsunami di Kompleks Memorial Tsunami, Kota Kuala Muda. Kompleks tersebut menempatkan lukisan dan barang bukti kejadian tsunami dan pelbagai informasi berkaitan bencana alam yang pernah menggegarkan negara kita satu masa dulu.
Di situ terdapat monumen dibina sebagai memperingati mangsa tsunami yang menimpa penduduk sekitar Kuala Muda pada tahun 2004. Kami juga berpeluang berbual bersama penduduk yang mengalami sendiri pengalaman pahit ketika tsunami tersebut berlaku. Pelbagai kisah yang jarang kita dengar dan baca mengenai kejadian tersebut dapat diperoleh sepanjang masa berada di sana.
Hotel Park Avenue
Usai sahaja jadual kami pada hari pertama itu, kami langsung di bawa ke tempat penginapan di Hotel Park Avenue di Jalan Indah Dua, Taman Sejati Indah, 08000 Sungai Petani. Chef hotel tersebut telah menghidangkan kami menu istimewa hotel tersebut mee tulang gearbox dengan kuah yang menyelerakan kepada sesiapa yang menyantapnya ke mulut. Sambil menikmati hidangan yang disediakan, beberapa slot aktiviti turut diadakan sebagai selingan jamuan malam pertama iaitu ucapan daripada En Ahmad Husni Ahmad Basri, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, sembang santai Perlancongan Daerah Kuala Muda bersama Majlis Perbandaran Sungai Petani dan sembang santai bersama Dato Wan Shamsudin, Presiden Persatuan Sejarah Negeri Kedah.
Tapak Arkeoleogi Sungai Batu tapak sejarah dunia
Di hari ke-2, kami dijadualkan untuk melawat satu lagi kawasan tumpuan pelancongan yang terletak di sana iaitu Tapak Arkeoleogi Sungai Batu yang berada di Kg Pangkalan Langgar dan Pengurus Tapak tersebut adalah Puan Naizatul Akma. Di dalam tapak arkeoleogi tersebut, terdapat beberapa tapak lawatan yang dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu tapak lawatan A, B, C dan D.
Sepanjang masa penerangan yang diberikan kepada kami oleh Puan Naizatul Akma, kami mengetahui bahawa tapak bersejarah di Tapak Arkeoleogi Sungai Batu merupakan salah satu daripada sejarah tamadun tertua di Asia Tenggara. Kompleks Arkeologi Sungai Batu telah diisytihar secara rasmi sebagai tamadun terawal oleh pakar arkeologi daripada Universiti Oxford, Profesor Dr. Stephen Oppenheimer kepada Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin.
Dengan pengiktirafan tersebut, Tapak Arkeoleogi Sungai Batu telah mendahului kuil Borobudur di Indonesia, abad ke-9 and Angkor Wat di Kemboja abad ke-12 dan di situ juga kami dapat melihat keaslian beberapa khazanah lama yang ditemui oleh ahli arkeologi di sini.
Muzium Arkeologi Lembah Bujang
Kami meneruskan lawatan ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang yang terletak tidak jauh dari Tapak Arkeologi Sungai Batu di Pekan Merbok. Muzium Arkeologi Lembah Bujang ini mempamerkan koleksi arkeologi yang membuktikan kewujudan pusat perdagangan antarabangsa yang jauh lebih lama usianya daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Dengan landskap persekitaran muzium yang dihiasi dengan tinggalan seni bina candi masyarakat terdahulu memberikan kami satu pengalaman dan gambaran baru mengenai masyarakat dahulu-kala yang pernah bertamadun disana.
Program diteruskan dengan rombongan Ekspresi Perlancongan Komuniti dengan tiba di Homestay Kampung Raga di Kampung Raga, Yan pada pukul 1 petang. Ketibaan disambut dengan suasana yang mesra dan selesa oleh pihak homestay berserta iringan dan alunan muzik tradisonal oleh penduduk kampung yang turut serta dalam acara tersebut.
Anak angkat di Homestay Kampung Raga
Usai makan tengah hari, satu lagi sesi acara kami sertai di mana majlis penyerahan anak angkat dilakukan dan setiap peserta melakukan aktiviti komuniti bersama penduduk tempatan. Antara aktiviti yang direncanakan adalah membuat dan menghasil kuih karas iaitu sejenis kuih tradisional. Kepada anda yang ingin belajar bagaimana untuk membuat kuih karas, boleh datang ke kampung ini untuk mempelajari sendiri teknik dan resipi asli turun temurun menu tradisional tersebut.
Lawatan diteruskan ke ladang lebah kelulut dan ladang kuda yang dimiliki oleh penduduk kampung yang diusahakan secara komersil sebelum waktu makan malam yang diadakan berserta persembahan kebudayaan. Kami teruja apabila pihak jawatankuasa kampung menghidangkan kami dengan buah-buah tempatan seperti durian dan manggis. Maklum sahajalah, tinggal di kawasan bandar, jarang dapat peluang untuk menikmati hidangan buah-buahan kampung yang segar seperti yang dihidangkan di sini.
Batas Ubi Deer Farm
Pada hari ketiga kami di Kedah, kami meneruskan aktiviti ke Batas Ubi Deer Farm di Kampung Batas Ubi, Yan. Disini kami dapat merasai pengalaman baharu dengan berinteraksi dengan rusa seperti memberi makan dan berswafoto bersama. Semua rusa di situ masih mempunyai tanduk pelbagai bentuk dan variasi.
Mengikut pemilik Batas Ubi Deer Farm, Tuan Haji Mazlan Jaafar tidak memotong tanduk rusa dan menjual tanduk tersebut bagi tujuan hiasan mahupun perubatan tradisional seperti kebanyakkan pemilik ladang rusa yang lain.
Bagi beliau, keputusan sedemikian diambil setelah mendapatkan pandangan beberapa pihak mengenai kebaikan dan keburukan pemotongan tanduk rusa yang merupakan sebahagian anggota tubuh badan rusa.
Batas Ubi Deer Farm juga mengusahakan restoran DIY Grill yang berada di ladang tersebut. Suasana kafe moden di tengah-tengah ladang. Makanannya yang lazat serta promosi harga yang berpatutan membuatkan kami rasa ianya sangat berbaloi untuk anda menikmati makanan di sini.
Ladang Nira Nipah Napiah
Kami di bawa untuk mencuba produk perusahaan nira nipah di Ladang Nira Nipah Napiah di Jalan Kampung Sungai Pial, Merbok. Pemilik ladang bernama Encik Napiah yang mengusahakan air nira selama beberapa tahun mampu menghasilkan sehingga 200 bungkus air nira ketika bulan Ramadhan.
Di sana, kami mempelajari cara-cara menghasilkan nira nipah, secara tidak langsung ianya satu pengalaman baharu bagi kami yang tidak ternilai. Rasa air nira nipah manis namun sedikit payau. Air nira nipah mampu menurunkan suhu badan jika demam panas kerana mempunyai vitamin A, serat dan mineral.
AT Satay Semeling
Kami bertolak semula pada pukul 3..30 petang ke AT Satay Semeling yang terletak di Pekan Semeling, Kedah. Disana kami dapat meninjau perusahaan produk satay serta merasai produk tersebut disana. Harga secucuk sate ayam hanya berharga RM0.50 sahaja. Harga tersebut sangat murah berbanding sate yang dijual di Lembah Klang. Walaupun murah, saiz hirisan ayam tersebut berpatutan, dan tiada lemak ayam berlebihan.
The Jerai Hill Resort
Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke The Jerai Hill Resort untuk daftar masuk dan meneruskan aktiviti malam disana. The Jerai Hill Resort yang terletak di Jalan Kaki Bukit Lebuhraya Gurun tidak jauh dari Pekan Semeling memudahkan perjalanan kami untuk kesana. Majlis makan malam diteruskan pada pukul 8.00 malam di hotel tersebut dan slot malam diteruskan dengan ucapan daripada En Abdul Rauf Abu Hassan, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia.
Pada malam tersebut kami juga dapat beramah mesra dalam program sembang santai bersama Canon Malaysia dan YB Mohd. Asmirul Anuar Bin Aris, Exco Perlancongan, Seni & Budaya Negeri Kedah. Dua orang wakil Canon Malaysia yang mengikuti trip kali ini telah membentangkan dan memberi penerangan foto-foto yang mereka berjaya rakam dan signifikasi foto tersebut kepada pelancongan di Kedah.
Jerai Botanical Park
Pada hari ke empat, kami meneruskan aktiviti lawatan kami ke Jerai Botanical Park yang terletak berhampiran dengan hotel tersebut. Harga tiket masuk ke taman botani berharga RM10 untuk dewasa. Di sana kami dapat melihat keindahan tanaman pokok bunga seperti bunga orkid yang menjadikan Jerai Botanical Park sangat menarik. Jerai Botanical Park juga adalah satu pengalaman baharu kami yang berada di puncak gunung Jerai yang dekelilingi tanaman bunga serta tempat yang damai.
Ianya sangat sesuai untuk beriadah bersama keluarga dan juga rakan untuk merasai ketenangan dan jauh dari kesibukkan kota.
Hotel Seri Malaysia Sungai Petani
Pada pukul 12.00 tengah hari kami meneruskan perjalanan ke Hotel Seri Malaysia di Sungai Petani untuk mempersiapkan diri serta makan tengah hari di sana. Kami menikmati hidangan istimewa di ‘Rasa-rasa’Seri Malaysia. Kafe tersebut telah diubahsuai dengan menggunakan konsep moden kontemporari berteraskan elemen tradisional. Variasi pilihan hidangan makanan citarasa tempatan bersama sajian popular makanan barat.
Seterusnya kami pulang semula ke MaTIC, Kuala Lumpur. Perjalanan yang mengambil masa 4 hari 3 malam ini sangat menarik bagi kami kerana pelbagai pengalaman baharu serta dapat melihat sendiri keindahan negeri Kedah Darul Aman.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Perasaan Sayu Menyelubungi, Tatkala Menoraka ‘Landasan Keretapi Maut’ Kanchanaburi
Kanchanaburi yang bermaksud batu permata terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari Bangkok merupakan destinasi pelancongan di Thailand yang perlu dikunjungi.
Jika cuaca baik dan hari cerah, anda boleh melihat ramai pelancong sedang menyeberangi jambatan kereta api di Sungai Kwai, di wilayah Kanchanaburi, Thailand yang berlatar belakangkan landskap yang begitu indah. Jambatan itu begitu popular apabila sebuah filem Hollywood mengenainya diterbitkan pada tahun 1957 iaitu The Bridge Over the River Kwai.
Namun, bukan kerana filem itu sahaja ia begitu terkenal dalam kalangan pelancong tetapi kisah hitam yang pernah terpalit ditanah tersebut. Jambatan keretapi Sungai Kwai adalah sebahagian daripada Landasan Keretapi Maut yang menghubungkan Thailand dan Burma. Kanchanaburi bersempadan dengan Burma (Myanmar) dan pernah mempunyai laluan keretapi yang menjadi penghubung antara negara Thailand dan Myanmar.
Dahulunya ia digunakan untuk laluan askar Jepun dalam usaha melawan tentera British dan sekutu-sekutunya. Selepas perang tamat pada tahun 1945, landasan tersebut menjadi hutan belantara. Namun kini, ia menjadi tumpuan dunia untuk melawat.
Penindasan Kejam
Landasan kereta api Thailand- Burma yang digelar sebagai Landasan Maut ini, dibina dalam tempoh masa yang agak singkat oleh hampir 100,000 tahanan Perang Dunia Kedua serta buruh kasar. Pembinaan landasan sepanjang 415 kilometer itu dimulakan pada Oktober 1942 dan berakhir di Konkoita, utara Thailand pada Oktober 1943. Ia digunakan dalam rancangan serangan Jepun terhadap tentera Britain di India serta menguasai jalan dan ruang udara yang digunakan tentera bersekutu.
Rakyat Thailand juga pernah menjadi buruh landasan pada awal pembinaannya, namun ketegangan berlaku antara mereka dan tentera Jepun selepas pasukan keselamatan itu bertindak mengambil alih rumah-rumah ibadat sebagai tempat penginapan selain tidak menghormati sami Buddha tempatan. Semua pihak maklum bahawa tahanan perang serta buruh yang dipaksa menyiapkan landasan tersebut turut berdepan layanan buruk oleh tentera Jepun yang menyeksa mereka tanpa belas kasihan.
Mangsa sering dipukul dan tidak diberi bekalan makanan yang cukup, rawatan perubatan yang diperlukan atau masa rehat sewajarnya ketika pembinaan dilakukan. Sikap serta perbuatan ganas tentera Jepun itu menyebabkan ramai warga Thailand benci terhadap mereka lalu bertindak membantu tahanan perang yang terlibat dalam pembinaan landasan neraka itu.
Untuk pembinaan Jambatan Kereta api di atas Sungai Kwai saja dikatakan telah mengorbankan ribuan tawanan perang dan buruh paksa semasa mereka menjalankan kerja-kerja pembinaan jambatan dan landasan disekitarnya. Sepanjang tempoh tersebut seramai 16,000 orang tawanan perang dan lebih 100,000 orang buruh dari Asia meninggal dunia dan hilang. Angka sebenar orang-orang Asia terkorban tidak dapat dikesan dengan tepat kerana rekaod-rekod yang mengandungi maklumat ini telah dimusnahkan oleh pihak pentadbiran Tentera Jepun pada akhir Perang Kedua. Secara puratanya setiap kilometer landasan yang dibina itu menelan 38 nyawa manusia atau seorang meninggal dunia pada setiap ela jalan kereta api itu disiapkan.
Antara pekerjaan berat yang perlu dilakukan tahanan perang seperti menebang pokok-pokok besar, membersih kawasan laluan, meneres lereng-lereng bukit, menimbus kawasan-kawasan rendah, menyusun landas(sleeper), mengangkut rel kereta api, mengangkut batu-batu dan membina jambatan. Bayangkan betapa sukar dan tersiksanya mereka menjalankan kerja-kerja tanpa bantuan alat teknologi canggih dan hanya berbekalkan kudrat yang ada seperti mengangkat batu menggunakan tangan sahaja. Mereka hanya diberi makan sekali sehari iantu hanya menu nasi semangkuk. Buruh-buruh ditempatkan di rumah panjang iaitu bangsal buluh yang beratapkan daun sagu atau nipah dan berlantaikan buluh.
Setiap bangsal dimuatkan lebih kurang 100 orang. Mereka diarahkan membuat pelbagai kerja. Mereka dikawal oleh tentera Jepun dengan keras. Jika mereka melakukan kesalahan, lambat atau letih mereka akan dipukul dengan buluh, rotan atau di tampar. Selain daripada makan minum yang tidak mencukupi mereka juga menghidap pelbagai penyakit seperti demam malaria dan cirit birit. Ubat-ubatan tidak mencukupi dan kematian berlaku bila-bila masa. Buruh yang mati diisi ke dalam guni dan ditanam dimerata-rata tempat. Ada yang ditanam, dibakar atau dihanyutkan ke sungai.
Memperingati Mangsa Tahanan Perang
Terdapat sebuah tanah perkuburan berhampiran jambatan yang dibina pada era Perang Dunia Kedua itu iaitu Kanchanaburi War Cemetery. Ia merupakan tempat persemadian ribuan tawanan perang yang mati ketika bekerja membina landasan kereta api maut. Ia menempatkan 3,000 tentera bersekutu yang gugur di antara sempadan Myanmar dan Thailand itu. Banyak tugu yang mengandungi tulisan di tanah perkuburan itu dibiayai oleh Suruhanjaya Komanwel Tanah Perkuburan Perang yang beribu pejabat di Britain.
Tulisan tersebut berbentuk lirik lagu dan sajak merupakan bukti yang menyayat hati tentang peperangan yang pernah berlaku di sana.
Keperitan & Kesengsaraan
Pengunjung juga boleh ke Hellfire Pass untuk melihat sendiri kesan tinggalan peristiwa hitam yang berlaku ketika zaman penjajahan lalu. Terdapat slot tayangan video mengenai pembinaan landasan maut yang meruntun jiwa di Muzium Hellfire Pass. Bayangkan jika mereka itu sebahagian daripada ahli keluarga kita. Perit dan sangat sadis nasib yang menimpa mereka. Suasana pilu pasti terasa tatkala kaki menjejak laluan Konyu Cutting. Trek jalan kaki ini merupakan tapak asal sebahagian laluan landasan keretapi maut. Pelbagai kesan tinggalan tawanan perang boleh kelihatan. Kebanyakkan pengujung dan pelancong yang datang ke sini adalah warga Australia yang merupakan kenalan atau keluarga terdekat mangsa tahanan perang.
Pakej Keretapi
Boleh dikatakan kesan daripada peristiwa pembikinan landasan keretapi maut ini telah membawa ribuan pelancong berkungjung ke Kanchanaburi sekaligus ia tersenarai dalam destinasi yang perlu dikunjungi. Bentuk muka buminya yang indah dan diwarnai dengan pelbagai landskap menarik membuatkan sesiapa sahaja jatuh cinta kepada Kanchanaburi. Jangan lupa untuk mengalami sendiri perjalanan menaiki keretapi menyusuri landasan yang dibina oleh mangsa tahanan perang ini.
Kemudahan keretapinya kelihatan agak usang tetapi masih mempunyai kudrat yang diselenggara dengan baik untuk membawa pelancong mahupun penduduk tempatan merasai perkhidmatan kesan sejarah yang ditinggalkan.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI