Satu khabar yang baik kepada semua penggiat rekreasi apabila trek laluan di Gunung Rinjani dah dibuka semula selepas ditutup susulan beberapa masalah membabitkan faktor keselamatan di sana.
Tetapi, pendaki yang berhasrat untuk mendaki Gunung Rinjani itu tidak dibenarkan untuk ke puncak atau ke Danau Segara Anak seperti sebelumnya, hanya dibenarkan sampai ke Pelawangan sahaja.
Keputusan tersebut dibuat oleh Balai Taman Nasional Gunung Rinjani selepas mendapat kelulusan dari Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia sejak 14 Jun baru-baru ini.
Keputusan tidak membenarkan pendaki untuk naik sampai ke puncak Gunung Rinjani dan Danau Segara Anak sememangnya mematikan mood pendaki untuk datang mendaki di sana namun, keputusan seumpana itu terpaksa dilakukan mungkin atas beberapa faktor keselamatan dan kesihatan.
Ini berikutan, status gunung tersebut masih lagi dikategorikan sebagai gunung berapi yang aktif. Jadi, tak dipertikaikan mengapa keputusan untuk tidak membenarkan pendaki naik ke puncak dan ke Danau Segara Anak dibuat. Yela, seandainya ada apa-apa terjadi nanti, kan ke menyusahkan diri sendiri dan rakan-rakan pendaki yang lain.
Sebelum ini, Gunung Rinjani pernah ditutup sekitar September 2016 susulan letusan gunung berapi di Barujari dan sekali lagi sekitar Januari hingga Mac 2017 disebabkan cuaca buruk yang berlaku di Pulau Lombok ketika itu.
Walau bagaimanapun, keputusan untuk membuka semula laluan trek Gunung Rinjani – sekalipun tidak membenarkan pendaki naik sampai ke puncak adalah disebabkan suasana ekonomi masyarakat tempatan yang bergantung kepada aktiviti pendakian gunung tersebut.
Masyarakat tempatan yang tinggal di situ mengharapkan pendapatan hasil daripada menjual bahan bekalan kepada pendaki, selain daripada menjadi porter dan penunjuk arah.
Malah, kuota pendaki juga dikuatkuasakan yang hanya membenarkan 150 pendaki untuk sehari bagi trek pendakian Aik Berik, Lombok Tengah manakala 100 orang sehari untuk trek Timbanuh di Lombok Timur. Jangan lupa, kuota pendaki itu termasuk juga dengan dikira sekali penunjuk arah dan porter.
Segala urusan untuk pendakian sama ada permit, tiket, pertanyaan dan sebagainya kini menggunakan sistem dalam talian. Jadi kalau anda ingin ke sana kelak, boleh layari www.erinjani.id ya!