Pada tanggal 27 Jun 2019, saya berpeluang untuk hadir ke Kampung Genting, Pulau Tioman bagi memenuhi jemputan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Pahang (MOTAC Pahang) sempena program ‘Start In Tioman’ atau SIT yang berlangsung selama empat hari di sana.
Pada mulanya, saya rasa biasa saja dengan program berkenaan kerana tanggapan kali pertama, ia sama dengan tugasan-tugasan lain yang diterima seorang wartawan untuk membuat liputan mengenai sesuatu program. Tambahan pula, program SIT ini membabitkan aktiviti skuba dan saya tidak mempunyai lesen untuk menyelam.
Terasa rugi untuk saya pergi membuat liputan berkenaan kerana ada rakan sepejabat yang lain mempunyai lesen skuba. Lebih baik beliau yang ke sana kerana boleh turut sama menyelam di dalam laut dan menyaksikan beberapa aktiviti yang direncanakan sepanjang program.
Tapi, atas desakan beliau sendiri, saya akur juga untuk ke Pulau Tioman pada tarikh yang ditetapkan. Kata rakan sepejabat itu kepada saya, “bagus kalau kau yang pergi. Kau sendiri pun tak ada lesen, jadi cerita tu fresh dari sudut pandang orang noob yang tak ada lesen macam kau”, hahahaha.
Tergelak kami apabila dia berkata demikian. Ada betulnya juga, saya sendiri pun tak pernah lagi membuat liputan berkenaan aktiviti yang membabitkan skuba dan menyelam di dasar laut ni.
Jadi boleh saya manfaatkan peluang yang ada untuk ambil tahu serba sedikit berkenaan aktiviti skuba kepada pembaca-pembaca Libur nanti. Bersetuju untuk pergi ke tugasan tersebut, saya pun membuat persiapan di pejabat dan di rumah. SIT 2019, here I come!
Perjalanan dari pejabat di Shah Alam, Selangor menaiki kereta Proton Saga ke Jeti Tanjung Gemuk, Kuala Rompin mengambil masa lebih kurang dalam 5 jam memandu. Membuatkan masa terasa lebih lama adalah disebabkan saya memandu seorang diri.
Terdetik dalam hati betapa ruginya terasa kerana tugasan ini terpaksa saya pergi sendirian – sayalah wartawan dan sayalah jurugambar! Kalau ada kawan kan seronok, tak adalah kesorangan!
Tapi tak apa, dengan jiwa kental yang ada, kita harung je perjalanan yang ada. Lumrah seorang wartawan, tak ada tempat untuk mereka yang berhati tisu untuk kerjaya ini.
Percaya lagi Google, itu makan dia
Saya tiba di Kuala Rompin sekitar pukul 4.30 petang. Hasil maklumat daripada encik Google menunjukkan ada feri yang akan berlepas ke Pulau Tioman pada pukul 5 petang dan saya tiba Jeti Tanjung Gemuk pada pukul 4.50 petang, lebih kurang 10 minit lagi sebelum masa berlepas.
Sempat kot! Sempat beli tiket ni! Getis hati sambil-sambil mata tu laju menjeling jam dan berlari-lari anak menuju ke kuanter tiket. Setibanya di kaunter, Allah! Haru rasanya apabila semua kuanter yang ada di situ tutup!
Macam mana nak beli tiket? Dengan hampa saya berpatah balik ke tempat letak kereta yang berada di luar perkarangan kompleks terminal feri dan terjumpa dengan seorang pakcik yang menjaga tempat letak kereta depan terminal feri.
Lupa saya nak bertanyakan nama beliau tetapi selepas memberi salam dan bersalaman, saya bertanyakan kepadanya pasal feri dari Tanjung Gemuk ke Pulau Tioman. Dalam perbualan kami, pakcik tu kata feri terakhir pada hari tersebut adalah pukul 4.30 petang.
Menurut pakcik itu, jadual pergerakan feri akan berubah-ubah setiap hari berdasarkan kepada pasang surut air laut.
Ohh.. Jadi maklumat saya dari Google tu dah salah. Saya pun mungkin terbaca waktu pelepasan feri tu entah di website mana-mana. Nasihat beliau, ada baiknya telefon dahulu perkhidmatan feri ke Pulau Tioman dari Tanjung Gemuk untuk tahu bilakah waktu terakhir akan berlepas dan terus membuat tempahan. Takut nanti terlepas feri!
Jadi kepada anda yang nak ke Pulau Tioman, nasihat saya, hubungi dahulu perkhidmatan feri supaya tak terlepas feri seperti saya ni ya. Dah la memandu jauh, sekali sampai, feri pula tak ada. Malang sungguh.
Bermalam di Kuala Rompin
Tanpa melengahkan masa, saya ambil keputusan untuk bermalamdi Kuala Rompin. Pada mulanya saya mencari hotel yang berada di sekitar Tanjung Gemuk tapi kesemuanya menawarkan harga yang agak tinggi, lebih kurang RM130 semalam.
Tugasan luar kawasan ni tak ada selera nak ambil hotel yang mahal-mahal. Kalau boleh berjimat, selagi boleh saya akan cuba untuk berjimat. Cara alternatif yang saya terfikir adalah menggunakan aplikasi mencari hotel dan antara yang terbaik saya boleh cadangkan kepada anda adalah aplikasi Booking.com.
Melalui aplikasi tersebut, saya dapat satu guesthouse bernilai RM50 untuk satu malam. Okay la kan? Duduk pun sorang. Tetapi guesthouse tu berada lebih kurang 30 kilometer dari Tanjung Gemuk. Dalam waktu tu tak kisah dah, asalkan ada tempat untuk bermalam sementara menunggu esok pagi.
Esok seawal jam 8 pagi saya dah bertolak semula dari guesthouse ke Tanjung Gemuk untuk naik feri yang paling awal ke Pulau Tioman. Cuba juga untuk dapatkan feri yang paling awal sebab takut terlambat, nanti terlepas banyak perkara menarik membabitkan tugasan di sana.
Tiba di terminal feri, saya terus membeli tiket pukul 11 pagi dan dalam masa membeli tiket, mata ralit memerhatikan keadaan sekeliling di terminal feri Tanjung Gemuk tu.
Dah jadi kebiasaan, kita kena peka dengan keadaan sekeliling dan apa yang dapat saya simpulkan adalah keadaan terminal feri Tanjung Gemuk ini adalah cukup selesa dan bersih untuk kegunaan pengunjung yang tiba.
Keselesaan untuk pengunjung
Terminal itu lengkap dengan kedai serbaneka dan cenderahati bagi memberikan kemudahan kepada pengunjung. Tak perlu risau kalau ada satu dua benda terlupa nak beli di luar. Di terminal ada kedai yang menjual sedikit barang-barang runcit.
Ads
Sebut pasal kemudahan, saya nak salurkan maklumat mengenai kemudahan tempat letak kereta di sini. Kalau anda memandu, tak kisah daripada mana sekalipun, untuk ke terminal jeti Tanjung Gemuk, rasanya tak ada masalah untuk anda tinggalkan kereta beberapa hari di sini.
Kemudahan tempat letak keretanya juga mempunyai penjaga yang akan berkawal di situ 24 jam untuk memastikan keselamatan pengunjung terjamin daripada segala perkara yang tak diingini dengan sedikit bayaran yang akan dikenakan iaitu sebanyak RM10 semalam.
Macam kes saya, saya akan bermalam selama tiga malam di Pulau Tioman, maknanya bayaran sebanyak RM30 dikenakan. Okay la RM30 kalau nak dibandingkan dengan keselamatan kereta kalau parking merata-rata.
Jadual ketibaan feri tepat pada waktunya. Anda jangan berlengah-lengah dan diminta untuk berada 45 minit lebih awal di ruang menunggu sebelum waktu pelepasan sebab feri akan bergerak tepat, tak ada delay macam anda naik pesawat.
Saya menaiki feri Wawasan 2 dan untuk sampai ke Pulau Tioman, jarak perjalanannya lebih kurang 1 jam 30 minit. Pemerhatian saya selama berada dalam perut feri menuju Pulau Tioman adalah ramai pelancong yang mabuk dan muntah-muntah. Habis satu feri berbau minyak angin.
Kalau anda mudah mabuk laut, bersiap sedia dengan segala ubat yang ada kalau tak nak percutian bermula dengan kejadian yang tak elok dan berakhir dengan kekecewaan kerana sakit pening. Rugi tau dah sampai Pulau Tioman tapi kesihatan tak mengizinkan, baik duduk rumah je.
Bang.. Dekat mana Damai Tioman Resort?
Setibanya di Pulau Tioman, saya turun di jeti Kampung Genting. Anda harus peka di sini – feri tersebut akan berhenti di beberapa jeti sebelum berpatah balik ke Tanjung Gemuk. Pastikan anda tahu di mana resort penginapan anda dan jangan tersalah kampung. Kalau anda tersalah, jenuh tau nak berenang balik. Hahaha.
Di Kampung Genting, saya ke lokasi tugasan yang terletak di Damai Tioman Resort mengikut alamat yang diberikan oleh pihak penganjur. Ini kali pertama saya ke Kampung Genting, jadi saya tidak berapa arif tentang selok-belok Kampung Genting ni. Saya ingatkan kampung ni besar pada mulanya.
Saya cuba untuk menghubungi penganjur tetapi gagal. Kemungkinan beliau sedang sibuk dengan acara program, jadi beliau tidak mendengar panggilan daripada saya. Tapi tidak apa, itu semua tak ada masalah. Sekurang-kurangnya saya dah sampai di lokasi tugasan.
Kalau anda seorang traveller yang baik, anda tidak akan duduk setempat terlalu lama. Pada mulanya saya duduk menunggu di hadapan jeti. Mana lah tahu kemungkinan penganjur akan menghubungi saya semula, jadi boleh saya beritahu kepada beliau yang saya sudah berada di sini.
Tapi tunggu punya tunggu, bulan tak timbul-timbul (macam cerita P.Ramlee) hahaha. Saya ambil keputusan di saat itu untuk berjalan sekeliling Kampung Genting, kot terjumpa penanda program yang diletakkan, tak perlu lah penganjur susah datang mencari saya.
Dari jeti Kampung Genting, saya berjalan lebih kurang dalam 5 minit ke laluan sebelah kiri kampung dan akhirnya! Saya tiba di lokasi program di Damai Tioman Resort. Tak sempat peluh nak keluar dah sampai, hahaha. Saya ingan kampung ni besar, tapi kecil je. Pusing dua tiga kali dah boleh khatam dah.
Jarak diantara satu resort dengan resort yang lain pun sebelah menyebelah. Tak ada istilah anda akan tersesat di Kampung Genting ni melainkan anda memang jenis makan roti cicah semut sampai tak ingat jalan.
Setibanya di Damai Tioman Resort, saya disambut mesra oleh Anwar Anhar atau lebih mesra dengan panggilan Anwar. Beliau merupakan juruvideo dari Radio Television Malaysia dan juga instructor penyelam untuk program SIT yang berlangsung ketika itu. Beliau juga seorang jurugambar bawah air atau underwater photographer. Nanti saya belanja gambar-gambar yang beliau ambil sepanjang masa SIT 2019 ni berlangsung.
Dengan beliau lah saya berkenalan dengan krew penganjur, Mazlin Suhardi dari MOTAC Pahang, yang ketika itu sedang makan tengah hari. waktu saya tiba di Kampung Genting lebih kurang dalam pukul 2 petang, jadi itu waktunya untuk makan tengah hari. Jadi, terima kasih Abang Anwar sebab sudi melayan saya waktu itu.
Ads
Program skuba ada kenduri? Ya, ada kenduri
Usai bersalam-salaman dan mendapat kunci bilik, saya berjalan ke bilik penginapan yang disediakan untuk urusan kendiri sementara menunggu aktiviti seterus yang dijadualkan pada sebelah malam iaitu kenduri. Oh, ada kenduri? Ya, ada kenduri bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dilaksanakan semasa SIT 2019 kali ini.
Sebelum menjelang malam waktu kenduri, semua peserta SIT 2019 termasuk penganjur bergotong-royong, sama-sama memasak juadah hidangkan malam nanti dan di sini lah titik tolak yang mana saya lihat satu nilai yang amat saya suka berkenaan dengan SIT, seperti yang saya ceritakan dalam entri Libur sebelum ini.
Hubungan yang ada diantara mereka itu seakan dah lama terjalin, penuh mesra dan gelak tawa serta gurau senda sedangkan kedatangan masing-masing ke sini hanyalah untuk menyelam malah, ada diantara mereka yang datang hanya untuk membuat lesen sahaja.
Bagi saya sebagai orang yang baru pertama kali menyertai program tersebut rasa sangat tertarik dengan suasana tersebut. Daripada yang tua hingga yang muda, semuanya saling ringan tulang bergotong-royong untuk memastikan persiapan kenduri di sebelah malam berjalan dengan lancar.
Dalam hati saya berkata, “okey, ini hubungan yang menarik”, sebab mereka tidak kekok untuk bergaul bersama sekalipun ada yang baru pertama kali bersua muka.
Anda mahu rock?! Saya bagi anda rock!
Seusai kenduri pada sebelah malam, satu lagi acara yang menjadi penantian adalah persembahan daripada kumpulan rock terkenal tanah air satu masa dulu – Wings! Baru saya tahu waktu itu bahawa kumpulan Wings adalah duta tetap untuk program SIT sejak penganjuran pertama pada tahun 2010 sehingga sekarang.
Ini sudah menarik! Dalam program skuba, ada lagi aktiviti-aktiviti atas darat yang boleh kita buat. Bukan setakat ‘mati’ dengan aktiviti air sahaja. Jimat duit makan, duit berbelanja dan duit hiburan sekiranya saya menjadi peserta program SIT.
Sepanjang masa kumpulan Wings itu memainkan lagu-lagu rock yang terkenal sepanjang zaman, kami sekampung beramai-ramai berkumpul di sekeliling dataran di hadapan Damai Tioman Resort. Layannn..
Selesai sudah tugasan hari pertama saya di Kampung Genting. Kalau diikutkan itu merupakan hari kedua program tetapi dek kerana saya terlepas feri pada hari pertama, hari itu menjadi hari pertama liputan saya di sana.
Selepas sarapan pagi, saya dimaklumkan bahawa beberapa peserta program akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Ada yang turun menyelam untuk menurunkan tukun-tukun tiruan yang telah dibuat sempena SIT 2019 dan ada yang akan lakukan aktiviti selain skuba – ini acara untuk orang yang tak ada lesen macam saya lahh.
Tukun ketupat, lemang dan pelita bawah laut
Memandangkan SIT 2019 mengambil tema perayaan Hari Raya Aidilfitri, maka tukun tiruan yang dibuat juga bertemakan beberapa elemen penting yang ada sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri iaitu tukun pelita, tukun ketupat dan tukun lemang.
Saya berkesempatan untuk menemubual Pengarah MOTAC Pahang, Datuk Haji Idros Yahya, dan menurut beliau, setiap edisi SIT mempunyai tema yang berlainan dan setiap edisi turut mempunyai tukun tersendiri yang akan diletakkan di dasar laut.
Ini sebab nak bagi satu kelainan kepada setiap edisi dan menjadi peringatan kepada peserta yang datang pada setiap program SIT akan datang.
Ads
Kalau anda ikut serta dalam program ini, anda akan ada satu tukun sebagai tanda peringatan yang diletakkan di dasar laut – membuat anda akan ada kenang-kenangan dan berasa dialu-alukan di situ.
Di masa akan datang, apabila anda datang menyelam di Pulai Tioman, tukun itu akan mengingatkan anda bahawa anda pernah berada di sini satu masa dahulu dan memori itu yang cuba untuk dizahirkan menurut Datuk Idros.
Ukhwah lebih dari sekadar skuba
Bagi saya, tindakan pengajur mencipta momen seperti itu sangat menarik kerana program ini bukan hanya touch and go kerana ada sentimental value yang ditinggalkan kepada para peserta dan akan membuatkan mereka ingin kembali lagi di masa akan datang.
Bukan kembali sebagai seorang pelajar yang baru nak ambil lesen lagi, tetapi sebagai seorang penyelam yang mahir tentang selok-belok selam skuba satu hari nanti, Insha-Allah.
Datuk Idros juga ada menambah bahawa ramai alumni-alumni skuba yang lahir daripada program SIT datang setiap tahun untuk memeriahkan lagi program disamping datang bagi meraikan kedatangan ahli baharu yang ‘lahir’ daripada SIT pada tahun berkenaan.
Jadi terjawab persoalan saya, mengapa program ini begitu unik sekali dan mengapa saya begitu mengesyorkan kepada anda untuk menyertai program ini untuk mendapat lesen skuba yang pertama!
Aktiviti orang tak ada lesen
Keesokkannya, saya di bawa berjalan mengelilingi pulau di ke tempat-tempat menarik yang ada di sekitar Pulai Tioman. Ada banyak tempat-tempat menarik di Pulau Tioman yang boleh anda lawati dan tempat-tempat menarik ini akan saya kongsikan di entri Libur yang akan datang ya.
Program bersiar-siar kami yang tak menyelam dek kerana tak ada lesen ni berterusan sehingga ke petang. Maklumlah, dah tak ada lesen skuba, kita naik bot sajalah jalan-jalan pusing lihat pemandangan kampung orang.
Koleksi Gambar Start In Tioman 2019
1 of 9
Indah pemandangan Pulai Tioman ni. Bukan setakat pemandangan sahaja cantik, gadis-gadis Melayu yang ada di sini pun cantik belaka! Hahahaha sambil menyelam minum air la katakan. Maafkan la saya, saya ni bujang lagi, kalau ada berjumpa jodoh di sini, apa salahnya betul tak?
Pada malam terakhir saya disitu, saya dan beberapa kawan baik yang baharu di bawa oleh abang yang kami panggil Abang Adik atau nama betulnya Syed Mohd Amieryuzi Syed Abu Bakar melihat keadaan kampung pada waktu malam.
Hantu Pulau Tioman
Rupa-rupanya, ada aktiviti mystery walk di kampung ini dan guide yang tukang cakap kepada aktiviti tersebut adalah Abang Adik sendiri! Hahaha.
Banyak lah kisah-kisah misteri berkenaan Pulau Tioman yang dikongsikan oleh Abang Adik kepada kami seperti kisah Gunung Daik Bercabang Tiga, Naga Tasik Chini dan kaitannya dengan Pulau Tioman, jambatan puntianak bertenggek. Macam-macam cerita hantu yang akan saya tuliskan di entri yang lain kepada anda.
Saya takut, nanti kalau semua tulis panjang-panjang di sini, ada yang akan tertidur. Buku pun boleh bersawang dalam almari tak ada orang baca, ini kan pula cerita saya dalam website, takut orang tekan butang skip! Hahaha
Keesokkan harinya, seawal pukul 8 pagi, berakhirlah program SIT 2019 yang berlangsung selama empat hari di Kampung Genting, Pulau Tioman. Tepat pukul 9 pagi, feri telah tiba dan membawa kami semua balik ke jeti Tanjung Gemuk.
Setelah bersalam surai dengan semua kawan-kawan baharu di jeti Tanjung Gemuk, saya mengambil kereta yang ditinggalkan sebelum ini dan balik semula ke Shah Alam.
Kesimpulan dua perkara paling menarik
Sepanjang saya menulis travelog SIT 2019 ini, ada dua perkara yang saya rasa amat berbaloi untuk saya sampaikan kepada pembaca terutamanya kepada anda yang nak ambil lesen skuba di sini.
Dua perkara ni akan terkait bersekali dengan entri saya yang awal berkenaan mengapa saya kata kan program Start In Tioman adalah satu tempat terbaik untuk anda mulakan perjalanan mengenal dunia skuba.
Yang pertama, adalah kerana kos yang berbaloi untuk anda. Tidak ada hidden cost dikenakan dan segalanya service termasuk sekali dengan harga yang anda bayar. Anda masih tak percaya lagi dengan testimoni yang saya berikan ini, anda boleh tanya sendiri dengan semua alumni SIT sejak tahun 2010 sehingga sekarang.
Saya yakin, pasti semua bersetuju dengan saya berkenaan kos untuk anda mengambil lesen skuba ini.
Keduanya adalah, saya amat tertarik dengan cara bagaimana program ini dianjurkan. Persahabatan dan persaudaraan yang ada itu melebihi daripada aktiviti selam skuba semata-mata. Saya, yang pergi tugasan ini seorang diri tak terasa keseorangan, kerana ada kawan-kawan sempoi sepanjang berada di sini.
Jadi, kalau anda nak ambil lesen skuba dan dalam masa sama nak buat kawan baharu, Start In Tioman adalah satu program yang terbiak untuk anda pertimbangkan. Tapi kena ingat, SIT hanya berlaku setahun sekali. Oleh itu, jumpa anda di SIT 2020 dan saya pasti akan kembali lagi tahun hadapan. Kalau bukan sebagai seorang diver, saya akan datang sebagai seorang kawan untuk berjumpa kawanya di sana..
Jumpa lagi di Start In Tioman! Dive! Dive! Dive!
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Siapa kata wanita hamil tak boleh keluar bercuti? Jangan jadikan alasan hamil untuk terperuk dirumah dan menghalang anda daripada mengendurkan tekanan ya.
Jadi apa caranya untuk wanita hamil keluar bercuti? Libur ada sedikit panduan dan nasihat untuk anda yang hamil tapi mahu keluar bercuti tanpa memudaratkan kesihatan. Jom kita ikuti apa yang perlu anda lakukan.
Bercuti setelah morning sickness reda
Diawal kehamilan, biasanya wanita hamil dihantui dengan gangguan morning sickness. Anda digalakkan untuk tidak melakukan aktiviti yang boleh mendatangkan kemudaratan sebelum kandungan berusia 12 minggu. Saranan waktu yang terbaik untuk anda bercuti adalah sewaktu trimester kedua iaitu antara bulan ke-4 dan ke-6. Waktu yang seharusnya dihindari untuk keluar bercuti terutamanya yang melibatkan penerbangan adalah pada minggu ke-36 hingga minggu ke-38.
Lakukan pemeriksaan kesihatan oleh doktor
Tubuh badan yang sihat akan menjamin kelancaran anda beraktiviti sepanjang masa bercuti. Jadi, sebelum bercuti lebih-lebih lagi jika melibatkan penerbangan, anda perlu lakukan pemeriksaan kesihatan oleh doktor dan jangan lupa untuk membawa rekod kesihatan anda bersama ketika bercuti. Ini kerana, jika berlaku perkara yang tidak diingini terutama berkaitan kehamilan anda, buku berkenaan dapat dijadikan rujukan oleh doktor yang bakal membuat pemeriksaan di tempat kejadian.
Pilih destinasi yang tidak terlalu jauh
Cuba dapatkan tempat percutian yang tidak terlalu jauh dari tempat anda bermastautin ketika sedang hamil. Anda boleh pergi ke luar negara jika mahu tapi tidak digalakkan untuk berada lama di dalam pesawat. Sebaiknya, pilih destinasi domestik sahaja. Bagi yang mahu bercuti di tanah tinggi pula, tidak digalakkan untuk berada di ketinggian yang melebihi 3600 meter dari aras laut kerana ia boleh memudaratkan kesihatan.
Utamakan keselamatan lebih-lebih lagi sewaktu menaiki kenderaan
Safety was made for a reason. Sentiasa pakai tali pinggang keselamatan dengan betul tidak kira anda sedang menaiki kenderaan jenis apa sekalipun. Sama ada kereta, pesawat atau apa sahaja. Dah berlaku banyak kejadian buruk yang boleh kita jadikan tauladan. Jadi, utamakan keselamatan, ingatlah orang yang tersayang.
Dapatkan suntikan vaksin jika pergi ke tempat yang berisiko
Semasa hamil, sebaiknya elakkan daripada melawat negara-negara yang memerlukan vaksinasi. Jika tidak dapat dielakkan dan anda tetap perlu pergi ke sana, dapatkan nasihat daripada doktor yang pakar berkenaan vaksin dan selamat untuk anda dan kandungan. Jika anda sedang berusaha untuk hamil, dapatkan vaksin yang diperlukan sekurang-kurangnya empat minggu sebelum berusaha untuk hamil.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Flea Market atau lebih dikenali sebagai pasar karat adalah lokasi seperti yang kebiasaannya menjadi tempat menjual barang-barang lama (antik) dan juga terpakai.
Kewujudan pasar karat ini sangat menarik pelancong asing selain penduduk tempatan sendiri dan mampu menjana ekonomi masyarakat setempat.Nama lain yang sering digunkan untuk pasar karat adalah Pasar Lambak, Boot Sale, Rope Walk, Roadwalk, Pasar Loken, Memory Lane dan Pasar Warisan. Antara pasar karat yang terkenal terdapat di Malaysia yang menjadi ‘trademark’ untuk dikunjungi seperti:
Pasar Karat Lorong Kulit Pulau Pinang
Ia dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 2 petang. Lokasinya bersebelahan dengan Stadium Bandaraya Pulau Pinang. Barang yang boleh didapati di sini adalah matawang lama dan barang antik.
Pasar Loken Ipoh (Memory Lane)
Pasar Loken telah wujud sejak tahun 1970an beroperasi setiap hari Ahad jam 7 pagi hingga 1 petang.Terdapat lebih 400 gerai menjual pelbagai barang antik dan terpakai dari eksesori diri hingga perabot rumah dan juga kenderaan.
Pasar Karat Jalan Hang Lekir, Melaka
Lokasinya berdekatan dengan Jonker Street dan dibuka pada setiap Ahad dari jam 9 pagi hingga 3 petang. Terdapat lebih 25 gerai yang menjual barangan yang selalunya terdapat di pasar karat lain.
Pasar Warisan, Seremban
Terletak di Jalan Utam Singh berdekatan dengan Pasar Besar Seremban. Dibuka setiap hari Ahad dari jam 7pagi hingga 5 petang.
Tip Membeli-Belah Di Pasar Karat
1. Fikir terlebih dahulu apa barangan yang ingin dibeli, dan tahap keperluannya.
2. Pastikan barangan dalam keadaan baik supaya tidak menyesal dikemudian hari.
3. Semak label harga jika ada pilihan buat perbandingkan harga terlebih dahulu.
4. Elak untuk singgah setiap kedai atau lokasi jualan. Dengan cara itu dapat membantu anda mengurangkan duit yang keluar dari poket.
5. Berbelanja di pasar malam kadangkala lebih menjimatkan, jika bernasib baik anda akan memperoleh barang yang berkualiti sama seperti di dalam pasaraya.
6. Jika terbaca iklan jualan murah, pastikan anda telefon terlebih dahulu untuk yakinkan barang yang anda inginkan ada dalam stok.
7. Pertimbangkan tawaran yang diberikan. Misalnya “buy one get one free” atau “free gift with purchase”. Apabila anda tidak memerlukan barangan yang dikatakan diberi secara percuma apatah lagi barang percuma itu membuatkan harga barang anda menjadi lebih mahal, sebaiknya batalkan sahaja hasrat anda untuk membeli barang tersebut. Lebih elok anda membeli barang yang lebih anda perlukan.
8. Elakkan membeli barang curi walaupun dijual dengan harga yang begitu rendah. Awas, anda mungkin akan didakwa kerana bersubahat.
Kalau anda tahu port Pasar Karat best yang lain, jangan lupa kongsikan dengan LIBUR ya.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Jika anda berada berhampiran Lembah Klang, tidak perlu pergi jauh untuk lepak santai bersama teman dan keluarga. Pusing-pusing sahaja sekitar Selangor, anda pasti jumpa ‘port’ menarik untuk singgah. Paling istimewa lokasi yang dicadangkan ini sangat photo-worthy! Jom plan ke sini..
1) KAFE LA FLEUR X UNIQORN, SUBANG JAYA
Daerah Petaling terkenal dengan kafe yang hipster dan unik. Antaranya adalah Kafe La Fleur x Uniqorn yang bertemakan ‘Unicorn’. Kafe ini dihiasi warna merah jambu dengan patung-patung unicorn yang sangat comel untuk pengunjung mengambil gambar bersama. Nama ‘La Fleur’ ini dimaksudkan dengan minuman panas seperti kopi, coklat panas dan lain-lain lagi manakala ‘Uniqorn’ pula dimaksudkan dengan makanan yang dihias dengan tema ‘unicorn’ tersebut pada wafel, ais krim, pancake
dan lain-lain lagi. Alamat: 01, E1, 02, Jalan Lagoon Selatan, Sunway Geo Avenue, 47500 Subang Jaya, Selangor
2) KAFE JIBBY & CO, SUBANG JAYA
Kafe Jibby & Co yang cantik dan unik ala-ala kafe Melbourne terletak bersebelahan
dengan pusat beli-belah Empire, Subang. Anda perlu singgah ke kafe ini sekurang-
kurangnya sekali kerana suasananya yang sangat estetik. Kafe 2 tingkat ini juga
bertemakan konsep minimalis, lampu-lampu digantung di siling, tanaman pasu
berwarna-warni, tingkap kaca yang besar ditembusi dengan cahaya semula jadi dan
dipenuhi dengan pelbagai jenis makanan yang dihias dengan menarik untuk diambil
gambar. Alamat: Empire Shopping Gallery, Jalan SS 16/1, Ss 16, 47500 Subang Jaya,Selangor
3) KAFE KUEH, SHAH ALAM
Jika anda ingin menikmati makanan tradisi melayu, singgahlah di Kafe Kueh. Bertemakan tradisi Melayu, mereka menyediakan hampir 40 jenis kuih yang boleh anda nikmati. Kafe ini terdiri daripada dua bahagian iaitu di luar dan juga di dalam berserta dengan penghawa-dingin yang selesa dihiasi dengan lukisan mural pada dinding untuk mengambil gambar. Bukan itu sahaja, terdapat juga menu lain seperti Laksam, Nasi Lemak, Nasi Hujan Panas, Lempeng, pelbagai jenis minuman dan banyak lagi. Alamat: No 6 Jalan Renang 13/26 Seksyen 13, Tadisma Business Park, 40100 Shah Alam, Selangor
4) KAFE LE GARDENZ, KUALA SELANGOR
Kafe yang dibuka pada tahun 2014 ini terletak di Daerah Kuala Selangor. Semestinya menjadi pilihan ramai untuk berehat dan menenangkan fikiran sambil menikmati kepelbagaian makanan yang disediakan dari hidangan utama hingga pencuci mulut. Kafe 4 tingkat ini mempunyai tema tersendiri yang berkonsepkan kontena, corak-corak dinding yang menarik serta konsep kehijauan di tingkap 4. Kafe ini sering dipenuhi dengan pelanggan kerana sering menawarkan menu promosi serta terdapat juga ruang untuk sambutan hari jadi dan majlis. Alamat: Jalan Kpb 5, Kawasan Perindustrian Balakong, 43300 Seri Kembangan,Selangor
5) THE PICNIC TABLE/SIMPLYSANDWICH, PETALING JAYA
Dengan cuaca yang agak panas dan tidak menentu sepanjang tahun, berkelah merupakan satu masalah di Malaysia. Oleh itu, Kafe The Picnic ini boleh menyelesaikan masalah tersebut kerana kafe ini bertemakan suasana berkelah tetapi di dalam bangunan. Jadi, tidak akan ada masalah dengan cuaca jika ingin berkelah. Kafe ini dihiasi karpet rumput yang mana pengunjung boleh duduk di lantai sanbil menikmati makanan, meja-meja kayu, tempat khas ‘jamming session’ dan banyak lagi. Kafe ini menyediakan seleksi menu yang lazat seperti sandwich ayam bakar keju, kek lapis, kek ‘slice’ dan juga minuman yang pelbagai. Alamat: 62A-G, The Strand, Kota Damansara The Strand, 21, Jalan PJU 5/21, Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor
6) THE BOTANIST, SEPANG
Bagi pengunjung yang ingin bersiar-siar di Sepang, anda boleh singgah di kafe The Botanist 2 tingkat yang estetik dan cantik yang mana hiasan perabot, dinding malah bingkainya dibuat daripada kayu. Pada luaran kedai pula, dipenuhi dengan kehijauan pokok-pokok alam semula jadi memberikan anda ketenangan fikiran. Antara menu yang disediakan oleh Kafe The Botanist ini adalah seperti beger buatan sendiri, kek, kopi, jus buah, dan banyak lagi dengan harga yang berpatutan. Alamat: GP3A-03M, LEVEL 3M, Tamarind square, Persiaran Multimedia, 63000 Cyberjaya
7) KAFE N16, SABAK BERNAM
Terletak di kawasan sawah padi, kafe mini yang unik ini merupakan hasil daripada bas antik lama yang diubah suai menjadi kafe. Pengunjung yang ingin datang meluangkan masa bukan sahaja dapat menikmati makanan malah dapat menikmati pemandangan lautan kehijauan padi yang luas. Kafe N16 ini menyediakan makanan seperti spaghetti, ayam goreng Korea, kek dan minuman. Para pengunjung juga dapat mengisi memori telefon mereka dengan mengambil gambar kawasan padi dan juga gambar bas antik ini. Anda mungkin akan mengambil masa hampir 2 jam untuk sampai ke sini dari Shah Alam, tetapi ianya berbaloi kerana persekitaran kafe ini yang cantik dan unik. Alamat: Jalan Tali Air 4, Tanjong Karang, 45400 Sekinchan, Selangor
8) KAFE BLOCK, GOMBAK
Kafe Block yang dibuka pada tahun 2018 ini menjadi tempat kegemaran ramai untuk meluangkan masa mereka. Dengan seni bina berkonsepkan minimalis moden yang cantik, amat sesuai bagi pengunjung untuk mengambil gambar di kafe ini sambil menikmati makanan. Kafe Block ini menyediakan menu ‘Asian’ dan ‘Western’ untuk dinimkati pelanggan. Kafe ini juga bukan sahaja boleh dijadikan tempat makan dan berehat, malah boleh dijadikan lokasi majlis yang mana ianya mampu untuk memuatkan 50 orang pada satu-satu masa. Kepada mereka yang singgah di Kafe Block, jangan lupa untuk mencuba menu Ayam Penyet (Javanese Fried Chicken) terkenal yang merupakan makanan kegemaran para pelanggan yang singgah ke kafe ini. Alamat: No. 59-G, Lorong Perusahaan Ringan 1, Kawasan Perusahan Ringan Seri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor
9) KAFE BACKSTREET, KUALA LANGAT
Kafe Backstreet merupakan salah satu kafe ‘hipster’ di Daerah Kuala Langat. Dibuka
pada tahun 2014, kafe ini dihias kreatif dengan hiasan bercorakan tapak tangan dan
tulisan menu makanan di dinding dengan menggunakan kapur putih dan amat sesuai
untuk pengunjung yang datang mengambil gambar sambil menikmati makanan. Alamat: C-G-, Pekan 4, 19, Taman Seri Bayu Morib, Medan Seri pekan, 42700 Banting, Selangor
10) KAFE DENALI & PINNACLES, BANGI
Kafe Denali & Pinnacles yang luas ini terletak di Bangi dan mempunyai 2 ruangan luar dan dalam. Kafe ini berada di tingkat 2 bangunan yang mana pengunjung yang singgah akan menikmati pemandangan yang indah pada waktu petang. Kafe yang berkonsepkan bohemian ini amat sesuai untuk bergambar atau ‘OOTD’ kerana hiasan dan dekorasinya yang pelbagai warna serta menampilkan tekstur unsur-unsur segar dari alam semulajadi. Alamat: Lot 1-4, Tingkat 1, Pusat Perniagaan Seksyen 3, off, Jalan 3/70, Seksyen 3 Bandar Baru Bangi, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor
11) KAFE PROVISION, DAMANSARA
Kafe Provision ini dibuka hanya pada pukul 8 pagi hingga 6 petang sahaja. Jika singgah di kafe ini, sangat sesuai datang pada waktu pagi kerana kafe ini menyediakan menu yang kecil dan ‘simple’ seperti roti-roti hasil buatan sendiri seperti sandwich, roti bakar, ‘sourdough’ dan lain-lain lagi. Dengan kecantikan elegen dan simple, di hadapan kedai ini dicat dengan warna oren dan sesuai untuk bergambar dan juga ‘OOTD’ untuk dimuat naik dalam media sosial anda. Alamat: 49, Jalan SS 22/23, Damansara Jaya, 47400 Petaling Jaya, Selangor
12) TINY BAKER IN PINK, DAMANSARA
Kafe ala-ala Korea ini sesuai untuk pengunjung datang meluangkan masa sambil bergambar kerana hiasan yang menarik di setiap sudut kedai. Kafe ini menyediakan menu kek yang dihiasi cantik dengan pelbagai corak, warna dan dekorasi. Kafe ini juga menyediakan ruang jika ingin mengadakan majlis hari jadi dan lain-lain lagi. Alamat: C58-2, Jalan PJU 5/21, Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor
13) KAFE TUJOH, PETALING JAYA
Kafe Tujoh terletak di Seksyen 17 di mana kafe ini mempunyai ruang yang selesa dan cantik kerana dilengkapi dengan dua ruang berbeza di dalam kafe. Seni bina dan dekorasi di dalam kafe ini dipenuhi dengan perabot yang bergaya termasuk televisyen dan radio klasik dan vintaj, dihias dengan pokok-pokok hijau, poster, lukisan hitam dan putih moden serta gabungan lampu yang digantung. Latar belakang yang rimbun dan biasan cahaya matahari dari luar membuatkan Kafe Tujoh ini menjadi lebih menarik dari pelbagai sudut untuk dimuat naik di landasan Instagram. Alamat: 617, Jalan 17/10, Seksyen 17, 46400 Petaling Jaya, Selangor
14) KAFE BUKKU, KLANG
Dengan memiliki senibina dan reka bentuk dalaman yang minimalis dan estetik seperti di Jepun, kafe ini sangat cantik untuk pengunjung singgah dan mengambil gambar. Nama kafe ‘Bukku’ bermaksud buku dalam Bahasa Inggeris yang mana perabot dalaman kafe ini dihias dengan kayu rak buku berserta susunan buku dan hiasan kopi yang dibalut cantik. Jika singgah ke kafe ini, jangan lupa untuk mencuba ‘Salted Egg Croissant’, ‘Almond Tiramisu’ dan ‘Burnt Cheesecake’ yang sering disebut-sebut oleh orang ramai. Alamat: No.1, Jalan Singgahsana 4A/KU5, Bandar Bukit Raja, 41050 Klang, Selangor
15) KAFE TUAH, BANGI
Kafe yang berkonsepkan santai ini dikenali ramai dengan menu yang pelbagai bermula dengan makanan hinggalah ke minuman. Jika singgah ke kafe ini, jangan lupa untuk mencuba hidangan makanan Western seperti Trip Platter yang terdiri daripada gabungan buffalo wings, meatball daging dan juga kentang goreng yang dijamin sedap dan mengenyangkan. Selain itu, terdapat juga pelbagai perisa kopi frappucino seperti Cookies Cream, Black Forest dan banyak lagi. Alamat: No20, Jalan 7/1c, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor