Travelog ke India ini adalah perkongsian daripada En. Samsudin Ibrahim. Beliau merupakan seorang pesara dan telah bercuti ke India bersama-sama keluarga beliau. Jadi jom kita ikuti kisah beliau bersama keluarga di sana. Selamat membaca..
Catatan perjalanan ke India
Saya sebenarnya telah lama menyimpan perasaan untuk ke India kerana beberapa sebab.
Antaranya kerana ini negara arwah bapa saya dan kerana mahu melihat sendiri apa yang pernah saya dengar dan lihat menerusi cerita dan filem samada hindi mahupun tamil.
Jadi pelawaan abang saya untuk India Utara tidak saya lepaskan. Lawatan pertama saya ini adalah seramai empat orang yang terdiri daripada saya, isteri, abang dan kak ipar dimana kami semua dari Pulau Pinang. Kami bertolak sehari awal dari Pulau Pinang dan bermalam berhampiran Masjid India, Kuala Lumpur. Esoknya semasa hari masih lagi gelap kami telah menempuh perjalanan ke KLIA2.
Penerbangan mengambil masa 5 jam 30 minit dan jarak masa antara Kuala Lumpur dengan New Delhi dibezakan lebih kurang 3 jam. Ini bermakna jika anda naik flight di KLIA2 pada pukul 9 pagi, anda akan tiba disana pada pukul 2.30 petang Malaysia tetapi di sana baru pukul 11.30 pagi.
Perbezaan masa di antara Kuala Lumpur dan New Delhi adalah lebih kurang 3 jam
Untuk melawat kawasan Utara India, kita perlu singgah di New Delhi terlebih dahulu. Ini kerana semua flight ke utara India perlu turun ke Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Ghandi yang merupakan lapangan terbang utama India dan dari sini lah kita perlu ke Srinagar pula untuk melawat ke Kashmir.
Penerbangan menuju ke City of Rallies
Dalam rangka lawatan ke sini, terdapat beberapa peristiwa yang masih saya ingat dengan baik walaupun telah lebih enam tahun berlalu. Pertamanya adalah kawalan di Lapangan Terbang di India yang ketat dan perlu melepasi beberapa tapisan pemeriksaan. Askar dengan senjata berat kelihatan dimana-mana tempat yang strategik di India seperti Lapangan Terbang dan tempat-tempat pelancongan seperti India Gate, Istana presiden dan lain-lain.
Sebelum pesawat tiba di New Delhi, saya sentiasa tertanya apakah keadaan di India itu sama seperti yang saya lihat di filem atau sebaliknya? Dan saya tahu saya cuma akan temui jawapan bila menjejaki kaki sendiri di bumi India. Kami tiba pada bulan Februari di mana musim salji sedang berakhir di utara India dan angin sejuk dari Banjaran Himalaya menyebabkan suhu di New Delhi berada dalam lingkungan 15 darjah celsius.
Di lapangan terbang ini saya tertarik dengan tandas kerana tidak ada perkataan Gents atau Ladies yang membahagikan tandas antara lelaki dan wanita.
Sebaliknya apa yang di paparkan adalah gambar besar muka lelaki dan wanita (hindi rasanya) untuk menunjukkan yang mana tandas wanita dan yang mana tandas lelaki. Gambar besar ini di lekatkan di pintu tandas manakala di dalam nya pula (pada tandas lelaki) ada keratan akhbar untuk hari itu yang di lekatkan pada dinding dalam lapisan plastik. Ini supaya mereka yang sedang buang air kecil (lelaki) boleh berbuat demikian sambil membaca.
Macam-macam kerenah
Selepas melalui pelbagai kerenah di lapangan terbang maka kami tiba di luar kawasan dan di sambut dengan tourist guide yang menunjukkan sekeping kad memaparkan nama ketua rombongan seramai empat orang ini. Di luar lapangan terbang, keadaan India yang pertama saya lihat adalah wujudnya golongan-golongan yang sanggup berbuat apa saja kerana wang. Kerana mahukan tips, maka sebuah beg kecil dan seberat 5 kg di angkat oleh tiga orang budak pengangkat beg. Kejadian sama berlaku di bilik hotel yang kami duduki di New Delhi bila kami meminta air panas maka tiga orang masuk dalam bilik dengan membawa satu gelas cawan dan teko kecil.
Berbalik kepada cerita di Lapangan Terbang tadi, selepas semua beg di angkut masuk dalam kenderaan jenama Avanza milik tourist guide tadi, maka wang 100 rupee (lebih kurang RM6.30 sen pada masa itu) telah diberikan kepada mereka bertiga untuk dikongsi. Saya diberitahu bahawa tips yang saya beri itu di kira cukup besar untuk mereka.
New Delhi yang merupakan ibukota pentadbiran India ini menjadi tumpuan rakyat susah dari negeri-negeri lain dan memberikan masalah seperti kesesakan, perumahan dan kesihatan
Dalam perjalanan ke hotel, semasa berhenti di persimpangan lampu merah, terdengar ketukan di cermin kenderaan di tepi saya. Kelihatan seorang kanak-kanak dalam usia lebih kurang 12 tahun sedang mendukung adiknya yang dalam usia dua atau tiga tahun. Kedua mereka kelihatan comot dan sedang meminta sedekah dengan mengharapkan simpati daripada pemandu atau penumpang kenderaan yang berhenti di lampu isyarat. Pemandu kenderaan melarang kami daripada memberikan apa-apa kerana bimbang lebih ramai golongan gelandangan atau peminta sedekah akan datang menyerbu kenderaan ini.
Perkara lain yang mengejutkan saya adalah sikap penduduk dengan kebersihan diri. Di New Delhi yang merupakan ibukota pentadbiran India ini menjadi tumpuan rakyat susah dari negeri-negeri lain dan memberikan masalah seperti kesesakan, perumahan dan kesihatan.
Saya tidak nampak tandas awam seperti mana di Malaysia dan di sana kita tidak boleh suka-suka masuk dalam stesyen minyak, kedai kopi atau restoran untuk tumpang buang hajat.. Jadi pemandangan orang ramai membuang air kecil di tepi jalan berhadapan tembok, pokok atau tepi rumah orang ada lah perkara biasa.
Membuang air besar di tepi jalan juga perkara biasa.
Dalam perjalanan dari lapangan terbang ke hotel, saya ternampak kepala-kepala manusia yang sedang bercangkung atas divider jalan di celah-celah pokok hiasan di mana mereka sedang mencangkung melepaskan hajat. Semasa saya berada di depan Hotel Seven Series di Agra, saya ada terlihat dua lelaki yang sama duduk mencangkung di tepi hotel sambil bersembang seolah-olah tidak ada apa yang berlaku dan mereka kelihatan tidak segan langsung malah kita pulak yang terasa malu dan segan..
Tiba di hotel, kami di pelawa masuk oleh seorang lelaki yang besar tinggi dengan misai yang melentik. Dia memakai serban yang kelihatan seperti kipas dan raut wajahnya tampak garang. Sebenarnya pihak bank, hotel dan lain-lain ini suka mengambil pekerja dari Rajashtan sebagai pengawal kerana saiz badan yang besar dan mereka ini berani serta garang. Tetapi mereka baik bila kita dapat berbual dengan mereka (walau mereka sebenarnya lebih suka berdiam diri).
Makan tidak menjadi masalah untuk pelancong dari Malaysia
Masa rehat kami di hotel tidak lama kerana kami perlu mengikut jadual yang di susun untuk melawat kawasan persekitaran New Delhi pula. Sebelum tiba di tempat yang diaturkan untuk lawatan, saya meminta untuk singgah di mana-mana restoran muslim kerana perut lapar. Di India, walau anda pergi di bahagian mana sekalipun, makanan terbaik briyani biasanya dijual di kedai muslim jadi saya tidak ragu-ragu hal ini..
Satu perkara yang saya suka mengenai India terutama di bahagian utara ini adalah saya boleh makan dengan mudah kerana menepati selera saya. Roti nan, capati, ayam tandori atau briyani adalah makanan2 yang telah biasa di makan dan kelihatan di Malaysia jadi saya tidak ada masalah langsung mengenai makanan di sini. Berbeza dengan China kerana semasa mengunjungi Beijing, saya sukar menyesuaikan diri dengan cara pemakanan di sana.
Saya di bawa oleh tourist guide ke sebuah restoran di tengah kota New Delhi. Dari luar kedai ini tidak nampak seperti sebuah restoran dan bila masuk ke dalam, ianya lebih seperti suasana kelab malam dengan keadaan yang suram, makan di tingkat atas dan di iringi dengan alunan irama hindi yang perlahan.
Saya memesan nasi briyani ayam berpandukan menu yang disediakan. Yang lain enggan makan kerana tidak ada rasa untuk makan. Selepas menu tiba, saya terkejut kerana ianya boleh dimakan oleh empat orang dan harganya cuma RM14. Selepas makan kami kembali ke kenderaan di luar yang sedia menunggu dan menuju ke India Gate.
Saya menghayati perjalanan di kiri dan kanan laluan untuk melihat sendiri suasana yang biasanya di lihat dalam filem sahaja. Suhu 15 darjah celsius di sini menyebabkan ramai berpakaian tebal atau menutup hingga ke pergelangan tangan.
All-India War Memorial
Semasa tiba di India Gate, rasanya jam pukul 6 petang waktu tempatan. India Gate adalah satu tempat kebanggaan dan tarikan pelancong di New Delhi, sama seperti mana Putrajaya atau Dataran Merdeka di Malaysia kerana berlangsung perarakan Kemerdekaan pada setiap tahun selain penempatan bangunan kerajaan di sana.
Apa yang di katakan India Gate adalah satu pintu gerbang yang cukup tinggi dan terletak di tengah-tengah jalan yang luas dan besar. Aktiviti di sini cukup seronok. Kenderaan biasanya tidak boleh masuk ke kawasan India Gate dan perlu berada diluar. Kawasan ini di kawal ketat oleh askar tetapi mereka tidak akan mengganggu aktiviti kita sebagai pelancong.
Berhampiran India Gate ini ada taman dan seperti yang saya katakan, pemandangan manusia ‘membuang’ di celah-celah pokok adalah biasa. Terdapat banyak tupai-tupai dan juga burung kakak tua hijau yang terbang bebas tanpa gangguan. Tupai-tupai di sini sangat jinak bermain di depan kita dan akan datang mengambil makanan jika kita meletakkan di bawah.
India Gate dihiasi dengan bunga-bungaan yang cantik di sekelilingnya yang ditukar setiap hari. Ramai pelancong mengambil kesempatan untuk bergambar hanya kerana kemashyuran India Gate ini.
Ada 3 kejadian menarik di sini:
- Di persekitaran India Gate ini juga turut menjadi tumpuan para peniaga. Ada yang menjaja makanan dan minuman, cenderhati, lukisan dan sebagainya. Ada juga jurugambar yang mempelawa kita untuk bergambar dan berjanji akan menghantar album gambar ke hotel. Saya tidak melayan permintaan ini kerana saya lebih suka ambil gambar menerusi cita rasa saya sendiri kerana saya tidak berminat dengan jenis gambar selfie, wefie dan lain-lain fie. Ini kerana saya suka mengambil gambar keadaan, pemandangan atau lain-lain yang saya rasakan pelik dan unik serta tidak ada di Malaysia untuk di ceritakan bila balik.
Di sini apa yang menarik perhatian adalah mengenai seorang kanak-kanak dalam lingkungan usia mungkin 10 tahun menjual teh tarik. Caranya adalah dengan membawa teko yang telah siap ada minuman teh sambil membawa beberapa cawan plastik di tangannya. Jika ada pelanggan yang mahukan teh, maka akan dituang dalam cawan plastik dan dihulurkannya. Biasanya dia akan menunggu hingga pelanggan habis minum samada untuk kutip cawan dan membuangnya atau mungkin untuk di guna semula. Wallahualam.
- Ada beberapa wanita remaja yang usia mereka mungkin dalam lingkungan 16 atau 17 tahun yang menawarkan khidmat melukis inai kepada pelancong-pelancong terutama bukan warga India. Isteri dan kakak ipar turut dikerumuni mereka dengan taktik melaungkan ayat “free..free..” pada mulanya. Dan selepas tangan dihulur, mereka akan berkata 50 rupee (RM5.15) dan kita sangka kedua tangan tetapi rupanya untuk sebelah tangan saja.Lucunya adalah semasa mereka sedang melukis inai pada sebelah tangan dan baru siap sikit tiba-tiba mereka semua lari lintang pukang sambil menjerit-jetir. Rupa-rupanya pihak polis datang untuk menghalau mereka kerana mereka telah memasuki kawasan yang di larang untuk penjaja dan mengganggu pelancong.
Dan kemudian selepas polis tiada, entah dari mana mereka muncul semula dan pandai pula mencari pelanggan tadi yang ditinggalkan di celah-celah ratusan orang yang ada untuk menyambung semula kerja melukis inai..
- Saya berkesempatan melihat 1 babak filem yang dilakonkan di sini tetapi tidak pasti apakah ianya filem atau drama. Dan saya tidak pasti apakah ianya filem Hindi, Kashmiri, Benggali atau lain-lain kerana India mempunyai lebih 20 produksi perfileman mengikut bahasa, etnik dan negeri.Terdapat lelaki berbadan besar dan memakai bush jacket yang mengawal sekeliling lokasi penggambaraan untuk menghalang orang ramai daripada mendekati pelakon yang saya kurang kenali. Mengambil gambar juga dilarang tetapi saya sempat snap beberapa gambar dengan berselindung dibalik keluarga tetapi sebenarnya fokus kepada pelakon di belakang.
Adegannya mudah tetapi dibuat beberapa kali. Hero mendekati heroin yang sedang memegang belon yang diikat dengan tali, lalu dipeluknya heroin daripada belakang sambil berpusing-pusing di depan India Gate dan belon-belon dilepaskan ke udara. The End!
Untung saya kerana dapat melihat satu babak penggambaraan filem di depan mata dan di India. Ini satu kesempatan yang jarang terjadi kepada mana-mana pelancong dari Malaysia rasanya.
Selepas berjalan-jalan di kawasan sekitar India Gate, kami tidak sanggup lagi berjalan hingga ke hujung kerana jarak jauh maka kami berpatah balik ke tempat permulaan. Masalah komunikasi antara kami dengan tourist guide menyebabkan kenderaan tidak ada di tempat tersebut. Kesukaran untuk menghubunginya melalui telefon juga menyebabkan kami mengambil keputusan untuk kembali ke hotel dengan menggunakan kenderaan India yang terkenal iaitu auto.
Auto adalah kenderaan 3 roda yang menjadi nadi pengangkutan utama di semua bandar-bandar besar di India dan warnanya tidak sama mengikut negeri. Auto di New Delhi berwarna hijau kuning dan di Kashmir kuning hitam. Negeri lain saya tidak pasti pula.
Di dalam auto, ianya mempunyai handle seakan vespa dan dihidupkan dengan pedal yang perlu di tarik. Sebelum kami memasuki auto, kami bertanya kepada pemandu samada dia tahu di mana hotel kami berdasarkan nama hotel yang kami sebut dan pemandu itu mengangguk tanda dia tahu. Ini membuatkan kami lega tetapi sepanjang perjalanan dia asyik berhenti dan bertanya kepada orang ramai di mana hotel tersebut.
Hujan mula turun menyebabkan dia menurunkan tingkap pada auto tersebut dan tingkap itu sebenarnya adalah lapisan plastik yang di gulung dengan kayu dan boleh dilipat dan di turunkan. Saya menganggap kesemua ini sebagai satu pengalaman menarik dalam hidup dan seronok menikmatinya.
Selepas keluar masuk sana sini dan bersimpang siur, akhirnya kami tiba di depan hotel. Kadar tambang yang diminta memang murah iaitu RS20 untuk dua orang atau sekadar RM1.20 sahaja. Semasa saya mengambil dompet dan mencari wang kecil RS20 untuk diberikan kepada pemandu auto yang sedang menunggu itu, tidak semena-mena ada orang yang lalu lalang berhenti dan turut beratur untuk meminta wang. Pengawal hotel kami yang besar sedang berdiri di depan pintu ternampak kejadian itu dan segera turun untuk mengusir orang tersebut.
Keesokan pagi selepas sarapan dan pada jam lebih kurang pukul 9 pagi, terpacul tourist guide kami di hotel. Selepas memberi sedikit tips kepada pengangkat barang dan tukang jaga pintu maka barang-barang di punggah masuk dalam kenderaan dan kami terus ke Lapangan Terbang New Delhi.
Lapangan Terbang di sini ada dua iaitu satu untuk penerbangan keluar masuk luar negara dan satu lagi dalam negara. Hari ini hari kedua dan kami akan ke Kashmir selama 3 hari 2 malam dan saya akui memang tidak sabar untuk kesana.
Di lapangan terbang, sekali lagi karenah pengawal keselamatan merimaskan kami kerana perlu melepasi beberapa kawalan dan pemeriksaan. Air mineral yang bukan dari India tidak akan dibenarkan dibawa masuk. Pesawat yang akan kami naiki adalah Spicejet yang di anggap pesawat dalam negara yang popular.
Sementara menunggu pesawat, saya berjalan di kawasan balai berlepas yang cukup besar. Apa yang menarik di sini ada adalah disediakan bangku untuk mereka yang mahu tidur jika terlalu lama menunggu dan tiada pengawal yang akan mengusir anda.
Untuk ke pesawat SpiceJet yang sedang menunggu, semua penumpang perlu menaiki bas walau jarak pesawat dengan pintu berlepas cuma 20 meter saja. Ini prosuder dan perlu di ikuti.
Tidak ada penerbangan terus ke Kashmir di mana pesawat perlu singgah ke Jammu terlebih dulu untuk menurunkan dan mengambil penumpang, kemudian ke Srinagar. Dari Srinagar, kita perlu menaiki kenderaan ke Kashmir dengan jarak perjalanan lebih satu jam.
Dalam pesawat ini saya lihat majoriti penumpang adalah orang Islam. Ini kerana Jammu dan Kashmir adalah wilayah di mana penduduknya ramai Islam malah Kashmir mempunyai 90 peratus penduduk Islam dan bakinya adalah Sikh.
Pesawat yang kami naiki singgah di Jammu untuk penumpang transit dan bila saya meninjau dari tingkap, kelihatan seakan kami mendarat di medan perang. Ini kerana terdapat ramai askar berkawal wujudnya kubu-kubu pertahanan dan pos pengawal dalam kawasan lapangan terbang ini.
Untuk pengetahuan anda, ada konflik antara puak pemisah dengan kerajaan India di Jammu dan Kashmir yang mana puak pemisah mahu kemerdekaan atau pemerintahan negara sendiri. Tetapi anda tidak perlu risau kerana sasaran mereka cuma sesama tentera dan puak pemisah dan pelancong tidak akan di apa-apakan kerana pelancong merupakan sumber pendapatan kepada kedua-dua pihak iaitu kerajaan India dan juga penduduk Kashmir.
Lebih kurang setengah jam selepas beberapa penumpang naik maka pesawat kembali meluncur ke udara dan membelah langit Jammu untuk turun ke Srinagar. Semasa di udara saya amat takjub dengan keindahan bumi Allah bila melihata banjaran gunung dari tingkap pesawat SpiceJet.
Saya nampak dengan jelas keputihan salji dan menutup banjaran-banjaran dan terbentuknya kolam-kolam atas banjaran kesan daripada salji yang mencair dan juga air-air terjun yang turun dari gunung. Pancaran matahari membuatkan salji ini bersinar bagai mutiara dan kolam-kolam kecil itu pula membiaskan cahaya yang bersinar seperti emas.
Dengan berlatar belakangkan langit biru dan pokok-pokok fir yang menhijau di celah-celah pergunungan, pemandangan yang saya lihat amat indah. Benarlah kata orang bahawa Kashmir itu bagaikan syurga dunia.
Kashmir pada masa ini masih dalam suasana dingin dan beberapa hari sebelum kami tiba ada berlaku ribut salji yang menyebabkan jalan-jalan tidak boleh dilalui kerana ketebalan salji menyebabkan jentera majlis tempatan perlu digunakan untuk menolak salji dan kakitangan majlis menggunakan skop serta cangkul bagi membersihkan jalan.
Suhu pada masa ini -4c dan memang sangat sejuk. Suhu sejuk ini mula kami rasai sebaik saja tiba di Srinagar dan angin sejuk mencuri masuk dalam balai ketibaan Srinagar. Kami disambut oleh tour guide yang masih saya ingat namanya – Farhan. Satu perkara di Kashmir, rata-rata penduduk nya boleh dikatakan cantik dengan kulit putih dan kemerah-merahan. Jika kita rasakan Shah Ru Khan itu kacak dan Karisma Kapoor cantik maka mereka cuma biasa di kalangan penduduk Kashmir jika bukan kerana status artis.
Farhan mampu bertutur bahasa inggeris dengan baik dan dia ditemani seorang lagi kawan sebagai pemandu kenderaan. Mereka adalah wakil kepada ejen yang kami tempah. Kereta yang akan kami guna juga Avanza dan seperti yang saya terangkan di India kereta Avanza adalah pilihan utama agensi pelancongan.
Dalam perjalanan, kami berbual-bual dengan Farhan dan kawan pemandunya mengenai India dan Kashmir. Kami memberitahu kami mampu bercakap bahasa hindi sikit kepada mereka “Hum thoda – thoda hindi malum hai” (saya boleh berbahasa hindi sikit-sikit). Ayat ini cukup untuk mendapatkan hormat daripada mereka apalagi bila mereka tahu kita dari Malaysia yang sangat mereka sanjungi sebagai saudara Islam.
Ini juga penting supaya mereka tidak ada niat nak menipu kerana mereka pasti risau kita mampu memahami sebarang perbualan sesama mereka samada bahasa hindi atau Inggeris.
Perjalanan dari Srinagar ke Kashmir memberikan kesempatan kepada saya untuk mengenali sedikit kehidupan mengenai Kashmir dan penduduknya. Oleh kerana sekarang musim sejuk, ramai penduduk di sini yang kelihan memakai jubah besar dengan tangan masing-masing disembunyikan dalam jubah besar dan di dalam jubah itu ada yang membawa bara yang di tutup rapat dalam bekas seakan teko untuk di keluarkan asap supaya mereka rasa panas di dalam.
Askar-askar masih boleh dilihat berkawal di tempat-tempat tertentu dan penduduk membuat aktitviti mereka seperti biasa. Ada yang berjalan, berbual sesama mereka, berniaga dan lain-lain tetapi untuk melihat kaum wanita agak sukar kerana mereka tidak akan pergi di tempat yang ada ramai lelaki.
Oleh kerana sekarang musim sejuk maka banyak pokok-pokok yang tinggal rangka dengan salji masih ada di sana sini terutama di puncak bukit. Menurut Farhan, hanya pada hari ini (hari kami datang) baru matahari kelihatan di langit dan ada sedikit kepanasan (padahal sejuk nak mampus)..
Bersambung..
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI