Travelog New Zealand, Pemandangan Indah Yang Tidak Akan Sesekali Kami Lupakan

Share

Travelog ini adalah perkongsian oleh Nur Amanina Shukor

New Zealand dipilih sebagai lokasi percutian kerana ia terkenal dengan pemandangannya yang sangat indah, sesuai dengan tujuan percutian kali ini yang lebih kepada merehatkan minda serta lari sebentar dari kesibukan kerja. Memilih syarikat penerbangan Malaysia Airline, saya serta beberapa ahli keluarga yang lain telah menempah tiket seminggu sebelum percutian dengan harga RM2600.00 seorang untuk perjalanan pergi balik Malaysia dan Auckland, New Zealand.

Pada hari kejadian, kami berangkat dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA) pada jam 11.20 malam. Perjalanan mengambil masa selama 10 jam dan kami selamat tiba di Auckland Airport, New Zealand pada jam 12.00 tengah hari. Dengan menaiki Super Shuttle atau van yang telah ditempah dari Malaysia melalui atas talian, kami bergerak ke rumah apartment di tengah bandar Auckland bersebelahan dengan Sky Tower. Harga perkhidmatan Super Shuttle adalah NZ$55, sedikit murah berbanding teksi NZ$70.

Mission Bay

Dengan mengikut itinerari yang disusun, kami pergi ke Mission Bay pada hari kedua dengan menaiki Uber berharga NZ$16. Perjalanan dari Auckland ke Mission Bay mengambil masa 15 minit sahaja. Ini merupakan salah satu tempat yang disyorkan sekiranya anda bercuti di New Zealand. Pantai yang cantik, dengan pasir putih serta rumput yang kehijauan semestinya dapat memberi ketenangan jiwa. Di sini terdapat banyak pilihan kafe dan outlet makanan, kami tidak melepaskan peluang untuk menjamu selera di kedai Fish & Chips serta menikmati pencuci mulut, kek dan aiskrim. Setelah hampir seharian berada di sana, kami pulang semula ke Auckland untuk berehat.

Christchurch

Hari seterusnnya, kami berangkat ke Christchurch menaiki Jetstar, dengan harga tiket lebih kurang RM400 seorang dan perjalanan mengambil masa 1 jam 40 minit. Setibanya di Chrischurch, kami menguruskan hal pengangkutan dengan menyewa campervan dari Syarikat Juicy dan terus bergerak ke Timaru yang mengambil masa 2 jam 30 minit. Kami merancang untuk melakukan roadtrip dengan menggunakan campervan kerana ia merupakan cara yang paling efektif, dengan kemudahan yang disediakan seperti katil, meja makan serta dapur masak. Di Malaysia biasanya disebut sebagai caravan di mana ia adalah seperti kontena yang diubahsuai menjadi mini rumah, tetapi bezanya ia perlu ditarik menggunakan kenderaan.

Timaru

Kami memilih campsite Timaru Top 10 Holiday Park sebagai lokasi penginapan dan kami berasa seperti berada di rumah sendiri kerana kemudahan yang lengkap termasuklah bilik mandi, dapur, dobi dan lain-lain. Di sini, kami dapat berkenalan dan beramah mesra dengan pengunjung dari pelbagai negara. Masing-masing tidak dapat melelapkan mata pada waktu malam kerana suhunya yang mencecah -3 Darjah Celcius.

Queenstown

Dari Timaru, kami meneruskan perjalanan ke Queenstown yang mengambil masa selama lebih kurang 4 jam dengan menaiki van dan perkara yang paling menarik ialah kami telah melalui kawasan berbukit-bukau yang sangat indah, dengan tasik serta ladang biri-biri dan lembu yang terbentang luas. Lokasi penginapan jenis standard cabin dipilih di Queenstown Top 10 Holiday Park, dimana penghuni di kabin ini harus berkongsi dapur serta tandas bersama pengunjung-pengunjung lain. Bagi sesiapa yang ingin memasak, anda tidak perlu risau kerana ruangan yang disediakan sangat luas dan bersih. Penghuni hanya perlu membawa peralatan memasak seperti kuali dan lain-lain.

Skyline Gondola

Queenstown adalah sebuah bandar yang dikelilingi tasik dan banjaran gunung yang indah dan antara tempat yang harus dikunjungi ialah Skyline Gondola. Ia boleh dikatakan seperti kereta kabel yang membawa pengunjung ke puncak bukit untuk melihat keindahan bandar Queenstown. Harga Skyline Gondola adalah NZ$39 untuk seorang dewasa. Pemandangan yang kami lihat sepanjang menaiki gondola sememangnya tidak akan kami dapat lupakan kerana ia sungguh indah tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata.

Lake Tekapo

Keesokan harinya, kami bergerak ke Lake Tekapo dan perjalanan mengambil masa selama 3 jam. Lake Tekapo merupakan tasik kedua terbesar di New Zealand dan ia merupakan destinasi pelancongan yang popular kerana pemandangannya yang sangat cantik dan luar biasa dengan air tasik yang berwarna seperti cahaya kebiruan, tanah rumput yang cantik, serta kelihatan dari jauh gunung yang disaluti salji. Kami sekeluarga meluangkan masa bersantai di tepi tasik sambil menikmati keindahan suasana. Selepas hampir 2 jam berada di sana, kami pulang semula ke Chrischurch.

Geraldine

Dalam perjalanan dari Lake Tekapo ke Chrischurch, kami singgah di Geraldine yang merupakan sebuah perkampungan kecil terletak jauh dari kawasan bandar. Setibanya di pekan Geraldine, kami terus ke The Barker’s Shop iaitu kedai menjual pelbagai jenis jem, chutney, sos dan bermacam-macam lagi. Sesuai lah untuk dijadikan sebagai buah tangan atau ole-ole apabila pulang ke Malaysia nanti. Setelah selesai membeli-belah, kami teruskan perjalanan ke Chrischurch untuk menetap di sana semalaman sebelum pulang ke tanah air.

Auckland

Sejak dari awal pagi lagi, kami telah bergerak ke Auckland dengan menaiki Jetstar dan setibanya di Auckland Airport, kami menunggu beberapa jam lagi untuk menaiki penerbangan ke Malaysia. Berat hati mahu meninggalkan negara sejuk ini, walaubagaimanapun kami pasti akan kembali lagi ke sana dengan membawa lebih ramai lagi ahli keluarga lain. Selamat tinggal New Zealand, terima kasih untuk segala kenangan manis dan memori indah!

Oleh
Epul