Berita

Travel Mart @ Negeri Sembilan 2019 Pasarkan 50 Produk Pelancongan Tempatan Ke Seluruh Negara

Share

Bahang kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang berbaki kurang lapan bulan semakin terasa apabila Tourism Malaysia kian rancak mempromosikan produk-produk pelancongan tempatan yang terdapat di seluruh negara.

Penganjuran terkini sempena kempen melawat Malaysia tahun depan adalah Travel Mart @ Negeri Sembilan yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Tuan Muhammad Bakhtiar Wan Chik di Hotel Lexis Hibiscus, Port Dickson.

Penganjuran Travel Mart @ Negeri Sembilan 2019 ini bertepatan dengan masanya sebagai persediaan menarik minat pelancong dalam dan luar negara untuk datang ke Malaysia seterusnya mencapai sasaran 30 juta pelancong.

Selain itu, penganjuran ini juga merupakan jambatan penghubung kepada semua pengusaha industri seperti agensi pelancongan, pengusaha hotel, resort, restoran, inap desa, dan taman tema hiburan dalam memberikan khidmat serta tawaran yang terbaik kepada pelancong.

Muhammad Bakhtiar berkata, Negeri Sembilan mempunyai pelbagai produk pelancongan tempatan yang hebat untuk dinikmati dan travel mart yang berkonsepkan perniagaan kepada perniagaan ini sangat dialu-alukan kerana ia merupakan platform terbaik dalam menemukan pengusaha produk pelancongan di bawah satu bumbung.

“Program seumpama ini akan mengukuhkan hubungan kerjasama dan mewujudkan jaringan perniagaan antara pengusaha produk, hotel dan agensi-agensi pelancongan dan ini yang kita mahu lihat dalam industri iaitu kerjasama yang kukuh dan persaingan sihat dalam kalangan penggiat industri pelancongan tempatan”, ujar beliau.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tuan Muhammad Bakhtiar Wan Chik menyampaikan ucaptama kepada peserta Travel Mart @ Negeri Sembilan 2019

Pasar produk secara digital

Dalam pada itu, selain daripada inisiatif penganjuran travel mart, Muhammad Bakhtiar turut menggesa semua penggiat industri pelancongan memanfaatkan teknologi digital seperti media sosial dalam memasarkan produk pelancongan supaya ruang pasaran itu menjadi lebih besar dan meluas.

Beliau berkata, pelancongan secara individu atau dalam kumpulan kecil kini menjadi satu trend yang popular dan kebanyakkan mereka lebih mempercayai review yang diberikan di media sosial oleh pelancong-pelancong yang lain.

“Pemasaran digital semuanya berkenaan review. Kalau review itu bagus, contoh macam hotel orang tulis review,

hotel ini makanan bagus lokasi terbaik, dia punya rating 9.0 daripada 10, sudah tentu mereka akan pilih hotel itu berbanding yang lain (yang mendapat review rendah)”, katanya.

Oleh yang demikian, pemasaran secara digital dilihat lebih memberikan impak yang tinggi berbanding cara konvensional dan memberikan kelebihan yang lebih baik kepada pengusaha industri pelancongan.

Sepanjang program itu berlangsung, seramai lebih kurang 140 pembeli dan 50 penjual produk pelancongan telah hadir untuk menjayakan program berkenaan.

Oleh
Epul