Sesekali travel dari KL ke KB naik sleeper train pun, macam best! Ini lah yang anda patut tahu, dari macam mana nak beli tiket sampai lah tiba di destinasi.
Jika sebelum ini sudah terbiasa menaiki kereta, bas dan juga kapal terbang, apa kata pengembaraan akan datang, anda cuba mencari kelainan dengan menaiki kereta api pula.
Mungkin timbul perasaan takut lebih-lebih lagi kalau ini adalah pengalaman pertama.
Namun usah khuatir, bagi yang teringin untuk mencuba pengalaman baharu ini, apa kata anda rujuk coretan wanita bernama Diyana Mukhayadi untuk dijadikan sebagai panduan.
Orang ramai disarankan memilih katil bawah kerana ruang tingkap lebih luas untuk menikmati pemandangan.
Menerusi laman Twitter, Diyana berkongsi ‘tip dan tricks’ ketika pengembaraannya menaiki Kereta Api Ekspres Rakyat Timuran atau lebih popular dengan nama ‘jungle train’ dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan yang mengambil masa sekitar 13 jam, baru-baru ini.
“Tujuan utama trip ni memang hanya untuk merasa pengalaman naik ‘sleeper train’ selama 13 jam sambil jalan-jalan cari makan (JJCM) dekat Kota Bharu. Very short trip with very different experience,” tulisnya.
Berikut adalah rumusan daripada perkongsian pengalaman Diyana sewaktu bercuti bersama tiga orang rakannya.
1) Memulakan perjalanan dari KL Sentral – Gemas – Wakaf Bharu – Kota Bharu – KL.
2) Mula-mula kena beli tiket sleeper train dahulu melalui apps KTMB untuk merasai pengalaman tidur di atas katil dalam kereta api.
3) Pilih koc berkatil iaitu Koc T6-T8. Sementara itu, koc untuk seat duduk adalah Koc T1-T3. Mereka pilih koc 8, koc paling hujung. Kenapa lebih baik pilih koc 8, penumpang lain tak lalu-lalang untuk ke cafe di koc 5 dan ia yang paling dekat dengan kepala keretapi.
Penumpang boleh menjamu selera di kafe yang terletak di koc 5.
4) Mahu bergambar di Stesen Gua Musang, koc 8 adalah koc paling depan, jadi lebih senang untuk keluar ambil gambar.
5) Elakkan memilih katil paling depan kerana agak bising disebabkan bunyi besi menghubungkan setiap koc.
6) Untuk pilihan katil, nombor genap adalah katil bawah manakala nombor ganjil adalah katil atas. No katil mereka T26, T28, T30, T32. Harga katil/berth atas adalah RM40, katil/berth bawah RM46.
7) Disarankan memilih katil bawah kerana mempunyai ruang tingkap yang lebih luas dan panjang untuk menikmati pemandangan. Ambil perhatian, tiada plug point disediakan, oleh itu dinasihatkan untuk standby power bank.
8) Selesai beli tiket sleeper train, baru beli tiket menuju ke Gemas dari KL Sentral dengan menaiki ETS. Tiket dibeli melalui apps KTMB dengan harga RM30. Perjalanan dari KL Sentral pada pukul 9.40 malam dan tiba di Gemas 12.10 pagi.
9) Sleeper train akan bertolak ke Wakaf Bharu pada pukul 1.18 pagi dan dijangka tiba 12.37 tengahari esoknya. Sementara menunggu kereta api, boleh naik ke ruang menunggu di tingkat atas Stesen Keretapi Gemas yang dilengkapi tandas dan surau.
Kereta api akan melalui kawasan hutan yang pastinya menjanjikan pemandangan yang indah.
10) Selepas menaiki kereta api dan meletakkan barang di katil, boleh menjamu selera di kafe yang terletak di koc 5. Pelbagai menu disajikan antaranya hidangan mi segera, nasi, mihun dan masakan panas yang lain dengan harga berpatutan.
11) Kereta api ini akan melalui kawasan kampung dan hutan yang sangat cantik sekitar awal pagi. Jadi, jangan tidur selepas Subuh kerana inilah masa yang sesuai untuk menikmati pemandangan.
12) Penumpang ‘dihidangkan’ dengan pemandangan Gunung Stong dan air terjun Jelawang dekat Dabong. Sepanjang perjalanan juga disajikan pemandangan bukit batu kapur, sungai, jambatan, terowong, dan jambatan rel terpanjang kat Malaysia iaitu Jambatan Guilemard.
13) Wajib turun seketika di Stesen Gua Musang untuk mengambil gambar dengan kepala keretapi, dan boleh turun membeli makanan dari orang kampung di Stesen Dabong.
14) Dengar ura-ura yang train 13 jam ke Kelantan ini pun akan ditamatkan operasinya tapi tak tahu bila. Jadi jika anda nak rasa this ‘once in lifetime experience’, kena cepat-cepat.
“Tapi sebenarnya rasa sayang, ini antara khazanah Malaysia yang boleh ditambahbaik lagi untuk tarik lebih banyak pelancong,” tulisnya mengakhiri perkongsian.
Jadi, jika anda ingin menikmati view dengan tenang tanpa penat, boleh lah cuba naik sleeper train pula ya. Sambil itu boleh layan pemandangan alam semula jadi.