Tip Percutiaan Saat Akhir. Ni Cara Korang Boleh Beri Kejutan Kepada Yang Tersayang!

Share

Nampaknya sudah tiga minggu cuti sekolah berlangsung. Pasti ramai keluarga di luar sana sedang menikmati keseronokan waktu senggang ketika ini. Namun tidak semua yang berkesempatan untuk bercuti bersama-sama anak dan yang tersayang dek masalah cuti atau komitmen terhadap kerja yang tinggi membuatkan kadang kala cuti tidak dapat dijangka.

Jauh disudut hati berharap keluarga dan cinta hati dapat bercuti bersama kan? Nak bercuti sekarang sempat lagi ke? Masih ada lagi ke tempat kosong penginapan lokasi yang seronok untuk bercuti? Jangan khuatir, ini ada beberapa tip membantu percutian saat akhir atau percutian tidak dirancang berjalan lancar.

  • Pengangkutan & Perjalanan

Perjalanan menaiki kenderaan mudah kerana dapat merancang perjalanan sendiri. Pilih bertolak awal pagi atau tengah malam kerana waktu berkenaan bukan waktu puncak. Namun, waktu tengah malam lebih berisiko, jadi bertolak selepas Subuh atau awal pagi bagi mengelak kesesakan.

Jika menaiki kapal terbang, pilih penerbangan paling awal, seawal jam 6 atau 7 pagi kerana pada waktu itu harga penerbangan lebih murah berbanding tengah hari. Selain itu, tidak ramai yang mengambil penerbangan waktu itu, jadi perjalanan lebih mudah dan tidak perlu bersesak.

  • Penginapan

Kadangkala, percutian ‘last minute’ anda berlaku pada waktu puncak seperti cuti sekolah dan mungkin hotel tiada kekosongan. Justeru, pilih tinggal di rumah rehat, 'homestay' untuk pengalaman yang baru atau tinggal di rumah keluarga dan saudara terdekat. Selain bercuti, anda dapat menziarahi mereka dan mengeratkan hubungan. Jika bercuti ke luar negara, boleh pilih tinggal di asrama.

  • Tempat makanan

Kebiasaannya restoran atau kedai makan yang ingin dikunjungi adalah yang popular dan menjadi tumpuan pelancong, keadaannya pasti sesak dengan orang ramai. Justeru, buat panggilan atau tempahan dahulu. Tanya penduduk tempatan tempat makan yang biasa mereka kunjungi. Pilih makan di gerai atau makanan jalanan yang banyak mencerminkan budaya tempatan kerana ia mungkin tidak dapat dijumpai di tempat lain. Tapi awas dengan tahap kebersihan di tempat makan yang anda singgah ya!

  • Aktiviti

Memandangkan percutian saat akhir tidak dapat dirancang dulu, aktiviti yang bakal dilakukan mungkin agak terhad. Ini kerana sesetengah aktiviti memerlukan tempahan awal atau membuat bayaran awal terlebih dulu. Tetapi itu bukan halangan untuk anda lakukan aktiviti menarik ketika bercuti. Pilih untuk melakukan aktiviti yang tidak memerlukan bayaran seperti berkunjung ke pantai atau berkunjung ke taman awam yang ada.


Tapi percayalah banyak destinasi menarik masih boleh dikunjungi walaupun anda hanya datang secara walk in sahaja bersama keluarga tersayang.

Oleh
Husna