Tip & Panduan Ke Air Terjun Pelangi Sungai Lembing Bersama Keluarga & Anak Kecil

Share

Air Terjun Pelangi bukan sahaja menjadi destinasi utama penduduk tempatan bersantai malah sangat terkenal dalam kalangan pengunjung luar lebih-lebih lagi setelah menjadi viral di sosial media.

Bagi tujuan berlibur dan berekreasi pada hujung minggu, para pencinta alam semulajadi dan yang berjiwa adventure pasti memilih lokasi air terjun ini. Keindahan Air Terjun Pelangi sangat mengasyikkan umpama berada di satu dunia yang lain, atau pun boleh diandaikan seperti pemandangan dalam filem fantasi. Di sini sungguh sesuai untuk menjalankan pelbagai aktiviti seperti berendam, berenang, sesi fotografi ataupun hanya merenung menghargai alam. Para pencinta alam semulajadi akan terpesona dengan percikan aliran air terjun setinggi 250 meter dan kejernihan kolam air yang dihiasi dengan biasan sang pelangi yang indah.

Ini panduan untuk anda yang bercadang ke Air Terjun Pelangi bersama keluarga dan anak kecil dikongsi oleh Azizi Aziz

Pernah tak tengok pelangi depan-depan? Kami pun tak pernah terbayang selama ni pelangi ni sebenarnya boleh nampak terang dan jelas di satu tempat yang kami kunjungi baru-baru ini Sg. Lembing, Pahang.

  • Jika anda dari KL, anda perlu pandu menghala ke Kuantan. Tapi takde la sampai ke ke bandar. Ada sebuah pekan yang dinamakan Sg. Lembing.
  • Kami bermalam di The Backpacker’s Village. Tempat penginapan ini adalah hostel yang menyediakan bilik air berkongsi dan dapur untuk memasak. Cuma bawa sendiri dapur stove. Taknak masak pun takpe. Kedai makan ada banyak.

  • Kami menginap 5 orang sekeluarga. 2 dewasa dan 3 kanak-kanak. Jadi, pihak hostel berikan satu bilik mempunyai satu katil queen dan 2 katil double decker. Kebetulan pergi bukan waktu peek hour. Jadi, kami tidak perlu berkongsi bilik air dengan penginap lain.
  • Kami upah guide untuk masuk dengan bayaran RM70. Harga tu termasuk mohon permit, naik 4 wheel dan makan minum (meggi & air milo) Kalau nak masuk sendiri, takde masalah. Cuma kena mohon juga permit di food court pukul 6.30 pagi hari berkenaan.
  • Bagi yang pergi dengan guide, anda perlu bergerak seawal 6.15 pagi lagi. Kemudian guide akan bawa anda untuk sarapan sekejap di area food court. Sebagaimana saya nyatakan tadi, di situ jugalah tempat mohon permit.
  • Kami tidak makan di situ kerana telah sediakan makan sendiri di hostel.
  • Selesai peserta lain makan pagi dan permohonan telah dibuat, kami dibawa ke tempat sunrise. Jalan ke sana tidak bertar. Jadi, bersiap sedia untuk rasa bergegar sepanjang perjalanan.

  • Nasib kami tidak baik kerana awan banyak pagi tu. Jadi, tak dapat la tengok sunrise. Malam semalam hujan. Itu yang berawan banyak. Tanpa berlengah, perjalanan diteruskan lagi selama 40 minit menuju ke Lubuk Beruk.
  • Sampai ke Lubuk Beruk, anda diberi masa untuk ke tandas, beli air atau sewa kasut. Kalau rasa kasut tu tidak jenis tak grid, boleh sewa RM3 sepasang.
  • Perjalanan menuju ke Air Terjun Pelangi mengambil masa selama 30 minit. Lebih kurang 1 kilometer jauhnya. Trek tidak la terlalu sukar. Cuma agak licin di kawasan berbatu yang menghampiri air terjun. Sila berhati-hati. Ramai yang terjatuh termasuk isteri saya. Tapi, alhamdulillah semua yang jatuh tu takde apa-apa.

  • Pandangan saya, jika dah rasa kasut tidak bersesuaian, elok sewa kasut dengan uncle di Lubuk Beruk tu tadi. Kasut saya nasib baik bersesuaian. Takde pun tergelincir semasa melalui batu.
  • Pelangi yang cantik akan muncul pukul 9 pagi. Jadi, anda perlu bergegas mengikut masa yang ditetapkan. Kami tiba pukul 8.55 pagi di kawasan air terjun. Besar pelangi muncul ketika itu. Jika cahaya matahari kurang, maka pelangi kelihatan kabur.
  • Nasib kami baik kerana matahari terang benderang sehingga menampakkan pelangi yang sangat cantik. Kejap je. Pukul 10 dah hilang. Sebab matahari dah meninggi dan menghala ke belakang air terjun.

  • Aktiviti di Air Terjun Pelangi ni tak lain tak bukan ambil gambar jela. Mandi tu dah jatuh aktiviti tempat kedua. Guide akan menghidangkan meggi dan air panas kepada peserta.
  • Itu sahaja perkongsian saya. Elakkan pergi hari hujan. Bawa beg kalis air. Sebab memang akan basah disebabkan biasan air terjun. Kalau nak pergi, pastikan kasut bersesuaian. Nak bawa anak boleh. Pakaian dan kelengkapan perlu juga bersesuaian. Setakat tengok, budak-budak takde jatuh pun. Semuanya bapak dan mak budak je yang tergolek.

Satu lagi, hujung minggu memang ramai. Sekian.

Oleh
Husna