Percutian adalah satu perkara yang sangat menyeronokkan tapi kerisauan akan tetap timbul apabila mengenangkan sesuatu yang kita tinggalkan sepanjang masa percutian tersebut.
Sebagai contoh, kediaman tempat tinggal kita. Macam-macam perkara akan melayang dalam pemikiran sekiranya kita tinggalkan rumah dalam tempoh masa percutian yang lama contohnya trip ke Eropah memakan masa selama lebih seminggu. Jadi sepanjang tempoh tersebut, tiada siapa diantara kita yang akan tahu, apakah yang mungkin berlaku sepanjang tempoh tersebut.
Untuk mengelakkan kerisauan itu daripada terjadi memang mustahil, tetapi kita mampu kurangkan supaya kita lebih enjoy dalam menikmati percutian tanpa terlaku memikirkan soal rumah.
Bagaimana boleh kita kurangkan kerisauan tersebut? Pihak Polis Diraja Malaysia atau PDRM sebenarnya ada mengeluarkan beberapa panduan yang boleh anda ikuti sekiranya ingin keluar rumah untuk bercuti dalam jangka masa yang panjang.
Panduan yang disenaraikan ini boleh membantu anda untuk mengelakkan kes-kes pecah rumah, kebakaran dan sebagainya. Walau bagaimanapun, harus ingat risikonya tetap ada tetapi dapat kita kurang kepada kadar yang paling minima dengan mengikuti setiap langkah yang disarankan oleh PDRM ini.
Langkah-langkah yang boleh anda ikuti adalah;
- Pastikan pintu dan tingkap rumah ditutup dan dikunci dengan ibu kunci yang tidak mudah dipecahkan atau diumpil.
- Pastikan lampu di sekeliling rumah dipasang mulai pukul 6 petang hingga 7 pagi setiap hari. Pastikan juga alat penggera keselamatan berada dalam keadaan baik dan berfungsi. Disarankan anda untuk memasang alat timer di suis lampu luar rumah anda supaya dapat bernyala dalam tempoh masa yang ditetapkan tadi.
- Pasangkan alat keselamatan tambahan seperti rantai dengan ibu kunci dipasang di tempat yang dianggap mudah pecah masuk seperti pintu pagar hadapan dan belakang rumah, pintu besi hadapan dan belakang. Pastikan kesemua alatan tersebut di pasang sebelum meninggalkan rumah.
- Jangan biarkan binatang peliharaan anda tanpa makanan yang mencukupi semasa tempoh percutian.
- Pastikan jiran anda tahu dan maklum akan ketiadaan anda. Berikan nombor telefon atau email yang boleh dihubungi sepanjang masa anda tiada di rumah.
- Pastikan barang kemas seperti emas, wang tunai, jam dan barang berharga yang lain disimpan di tempat yang selamat dan sesuai.
- Hentikan sebentar langganan surat khabar bagi mengelakkan penjenayah tahu yang anda tiada di rumah. Minta pertolongan jiran untuk menyimpan surat kiriman yang diterima di peti surat atau pintu pagar semasa ketiadaan anda di rumah.
- Maklumkan kepada pegawai atau anggota polis di bilik gerakan balai polis berhampiran rumah anda yang anda sedang bercuti untuk sekian masa dan sekian tempat. Dapatkan nombor telefon bilik gerakan balai polis terbabit dan berikan juga nombor telefon anda kepada mereka. Berikan maklumar seperti nama dan alamat rumah, nombor telefon yang mudah dihubungi, tarikh pergi dan balik bercuti dan nombor kenderaan yang ditinggalkan di rumah.
- Anda dinasihatkan untuk melindungi harta benda dan kediaman anda dengan polisi insurans yang mampu meringankan beban kerugian anda sekiranya rumah di pecah masuk.
Itu kesemua sembilan nasihat yang boleh diberikan kepada anda. Semoga semuanya selamat sepanjang masa anda bercuti!