Sempena musim cuti sekolah ini, menarik juga jika anda membawa seisi keluarga pergi bercuti ke Pulau Pangkor.
Namun, sebelum berkunjung ke Pulau Pangkor, elok ketahui tip untuk bercuti di sana seperti yang dikongsikan oleh Sis Hawa ini.
Menurutnya ada 5 tips untuk bercuti di Pulau Pangkor, mungkin sangat berguna untuk anda yang pertama kali sampai ke sini.
Cara nak ke pulau pangkor tidaklah terlalu susah. Untuk pergi ke Pulau Pangkor, kita perlu menaiki feri. Jangan risau kerana terdapat banyak feri yang beroperasi seawal 6.30 pagi hingga lewat petang.
Perkhidmatan feri yang bermula dari pagi hingga ke malam ini sangat memudahkan pelancong. Ada dua terminal feri untuk ke Pulau Pangkor. Terminal asal adalah Jeti Lumut. Jeti Lumut ini sudah lama dan masih berfungsi hingga ke hari ini. Selain jeti Lumut, ada juga terminal baru iaitu Kompleks Jeti Marina Island. Kompleks Jeti Marina Island yang baru di bina ini kedudukannya adalah lebih hampir dengan Pulau Pangkor.
Untuk harga feri pergi balik antara Marina – Pangkor – Marina hanyalah dalam anggaran RM14 seorang untuk pergi dan balik.
Pulau Pangkor tidak seperti pulau-pulau yang terletak di kawasan pantai timur. Pulau Pangkor cukup strategik dan sepanjang tahun boleh datang bercuti ke sini. Cuma, kena pilih tarikh yang sesuai supaya tidak bertembung dengan tarikh cuti umum.
Andainya terpaksa datang bercuti hanya pada waktu cuti umum itu juga, terpaksalah berdepan dengan waktu puncak musim cuti sekolah dengan jumlah pengunjung yang agak ramai.
Jika mahu bawa kereta atau motor terus ke pulau, boleh gunakan khidmat feri kargo untuk bawa kereta atau motor ke pulau tersebut.
Ada 3 bot kargo yang menyediakan perkhidmatan sebegini iaitu Bot Kargo Ah Seng, Bot Kargo Hua Wei dan Bot Kargo Jeti Marina.
Di Pulau Pangkor ini ada banyak juga kesan peninggalan sejarah. Pemandangan di sini juga cantik. Kerana itu terdapat banyak tempat-tempat menarik di Pulau Pangkor. Pastinya percutian sekeluarga akan lebih sempurna.
Kota Belanda
Pulau Sembilan
Batu Bersurat
Tortoise Hill
Galeri Panorama Pangkor
Pantai Teluk Nipah
Pekan Pangkor
Teluk Ketapang
Masjid Terapung Pulau Pangkor dan banyak lagi.
Percutian waktu siang di Pangkor boleh dipenuhi dengan aktiviti yang pelbagai. Antaranya ronda-ronda sekitar pekan Pangkor, lihat nelayan menangkap ikan guna pukat tarik, lihat penduduk setempat usahakan perniagaan ikan kering, lakukan aktiviti snorkeling di Pulau Pangkor, naik bot di Pulau Pangkor untuk keliling pulau dan banyak lagi.
Untuk aktiviti malam di Pulau Pangkor ini pula, boleh berjalan di persisiran pantai, bina unggun api sambil berbbq, nikmati makan malam menu ikan bakar di restoran Shema Hashim Pulau Pangkor dan lain-lain lagi.
Dengan pelbagai aktiviti yang ada siang dan malam di Pangkor, pastinya pengalaman percutian selama tiga hari dua malam di Pulau Pangkor akan terasa sangat pantas.
sumber: Sis hawa via Perak Sana Sini