Jika bercadang atau merancang percutian keluarga ke Taiwan, catatkan destinasi Leofoo Village sebagai destinasi yang perlu dikunjungi. Terletak di daerah Hsinchu Taiwan, Leofoo Village antara destinasi terbaik percutian keluarga yang tidak harus dilepaskan untuk dikunjungi. Segalanya terdapat di sini, dari taman tema bertaraf dunia, binaan landskap dunia mengkagumkan, penginapan empat bintang unik lagi esklusif serta sajian makanan lazat yang Halal.
Apabila berada di dalam kawasan Leofoo Village, singgah sebentar di Window On China untuk melihat hasil ketelitian serta kehalusan mini replika pelbagai jenis bangunan dan binaan termasyhur dunia. Window On China telah dianugerahkan antara 10 destinasi tumpuan pelancong ke Taiwan. Kira-kira 133 miniatur bangunan terhidang di hadapan mata termasuk Dewan Memorial Sun Yat-Sen, Taiwan, Menara Pisa Itali, St Basil Rusia, dan patung Statue of Liberty Amerika Syarikat. Jangan lupa untuk mengambil gambar kenang-kenangan di sini.
Bagi menambahkan keseronokan percutian di lokasi ini, berkunjunglah ke Leofoo Village Theme Park. Ia adalah taman tema yang terdiri daripada empat konsep hiburan mengikut tema beberapa negara seperti African Safari, South Pacific, Wild West, dan Arabian Kingdom. Malah, ia menawarkan lebih 30 permainan serta aktiviti di zon basah dan kering yang cukup menghiburkan terutama roller coaster berbentuk U yang kedua tertinggi di dunia.
Terdapat juga haiwan liar dibiar bebas berkeliaran seperti harimau, singa, zirafah dan badak. Setiap spesies haiwan ditempatkan dalam komuniti sendiri dengan pintu jeriji besi sebagai pemisah. Kalau pernah menyaksikan filem pecah panggung Life of Pi, harimau yang digunakan di dalam filem tersebut dipinjamkan dari taman ini dan dikatakan telah menjadi ‘selebriti terkenal’ di sini.
Pengunjung boleh memilih menjelajah seluruh African Safari dengan bas atau keretapi mini yang disediakan. Haiwan lain yang unik terdapat di sini adalah spesies alpaca. Anda dibenarkan memberi haiwan jinak ini makan dengan membeli makanan yang disediakan berhampiran ruang sangkarnya.
Selain bersantai dan mengenali haiwan, pengunjung berpeluang menyelami dunia koboi di Wild West, menghayati hikayat 1001 malam Aladdin di Arabian Kingdom dan mencuba pelbagai permainan air di South Pasific. Jangan lupa untuk singgah di kedai cenderamata untuk membawa pulang beberapa buah tangan sebagai kenang-kenangan, terutamanya ikon haiwan alpaka yang comel.
Sebagai memenuhi keperluan pelancong Muslim untuk dapatkan hidangan halal, pengunjung beragama Islam boleh mendapatkan makanan cita rasa Timur Tengah di Restoran Aladdin dalam kawasan Leofoo Village Theme Park dengan mudah.
Pelbagai menu Asia Barat tersedia buat pengunjung seperti Grilled Squid Salad, Chick Peas Sauce & Pita, Red Lentil, Stewed Mutton, Grilled Chicken Leg dan Puding Nasi. Anda pasti tertarik melihat nasi briyani berbentuk piramid menghiasi pinggan dengan lauk kurma kambing atau ayam tandoori. Apa yang penting, taman tema ini menyediakan pelbagai kemudahan untuk pengunjung muslim termasuk bilik solat dan tandas berpaip.
Rehatkan lelah anda selepas seharian berlibur dengan memilih menginap di Leofoo Resort tidak jauh dari Window On China dan terletak berhampiran Leofoo Village Theme Park.
Membangunkan konsep Safari inspirasi dari negara Afrika, resort ini menawarkan hanya 161 buah bilik esklusif demi menjaga hak bersendirian tetamunya. Tidak kira kanak-kanak atau golongan dewasa pasti terpukau dengan konsep unik yang ditawarkan iaitu menginap bersama haiwan disekeliling resort.
Umpama berada di dalam zoo, anda boleh melihat zirafah, kuda belang, badak, dan banyak lagi hanya dari jendela kamar atau baring di atas katil. Jangan risau mengenai masalah bau-bauan haiwan yang timbul dari persekitaran safari, kerana setiap kamar dilengkapi dengan gelas kaca yang nyah bau.
Bilik anda tidak akan sesekali memberikan bau yang kurang menyenangkan. Jika anda berada di jambatan yang menghubungkan kawasan safari ke resort, terdapat haiwan terutama zirafah menghulur keluar kepala, jangan sentuh atau memberi makanan. Ianya perkara yang sangat dilarang di sini.
Pada malam hari pula, terdapat persembahan dari suku kaum Afrika yang begitu mengujakan dengan rentak tarian yang pasti membuatkan mata anda tidak berkelip. Memang sesuai sekali resort ini diberi pengiktirafan sebagai ‘Asia’s first and only ecological and animal themed resort’.
Keretapi (Taiwan Railway)
THSR (Taiwan High Speed Rail)
Kereta
Bas