Tiap Kali Tengok Pesawat Ni Mesti Panggil Fokker, Ini Bukan Fokker, Ini ATR72-500

Share

Setiap kali kita tengok kapal terbang awam yang mempunyai kipas besar di luar atau turboprop, mesti kita akan panggil Fokker. Perasan tak? Padahal sebenarnya bukan Fokker sahaja yang mempunyai pesawat kipas besar atau proppeller di luar, jenama pesawat lain pun mempunyai jenis pesawat yang sama dan beroperasi di negara kita.

Mungkin pesawat Fokker itu banyak digunakan di kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak, jadi menjadi ikutan masyarakat untuk memanggil semua jenis pesawat sedemikian dengan satu panggilan yang sama iaitu Fokker.

Antara pesawat penumpang yang sering dipanggil sebagai Fokker walhal ianya bukan adalah pesawat ATR milik Firefly. Dek kerana ia juga datang dari pesawat jenis turboprop sama seperti Fokker, maka ramai orang yang memanggil pesawat ATR ini sebagai Fokker.

Untuk pengetahuan anda semua, pesawat turboprop Firefly ini adalah model ATR buatan Perancis-Italy yang beroperasi di Blagnac, Perancis. Model pesawat adalah ATR72-500 dan mula beroperasi bersama Firefly sejak tahun 2007 sehingga sekarang.

Sekalipun saiznya lebih kecil daripada pesawat lain, pesawat ATR72-500 ini cukup popular untuk penerbangan jarak dekat di seluruh dunia.

Jadi apa kelebihan yang ada pada pesawat ATR72-500 ini? Mari, di sini saya senaraikan kepada anda apakah kelebihan yang ada pada pesawat ini.

  • Pesawat ATR72-500 ini mempunyai enjin turboprop berkembar yang mana ianya dikuasakan oleh enjin yang lebih senyap dan propeller yang lebih efisyen berbanding pesawat turbojet – menjadikan pesawat ATR72-500 ini sangat sesuai untuk penerbangan jarak dekat dengan anggaran kelajuan sekitar 725 km/h.
  • Oleh kerana kadar kelajuan yang diperlukan untuk menerbangkan pesawat ini tidak terlalu tinggi, maka pesawat ATR72-500 ini boleh berlepas dan mendarat di atas landasan yang pendek – menjadikan pesawat ini serba boleh dan mampu mendarat di lebih banyak lapangan terbang berbanding pesawat yang dikuasakan dengan jet.

  • Pesawat ATR72-500 ini mempunyai keluasan kabin dengan panjang 17.95 meter, lebar 2.57 meter dan tinggi 1.91 meter dan boleh terbang sehingga altitud 7,620 meter
  • Model ATR72-500 ini mempunyai kapasiti penumpang seramai 70 orang dan krew pesawat seramai dua ke empat orang bergantung kepada keadaan – sesuai untuk penerbangan jarak dekat.
  • Model ATR72-500 ini juga merupakan model pesawat yang terkenal di kalangan syarikat penerbangan di serata dunia daripada Malaysia sehinggalah ke Brazil. Sebanyak 960 buah pesawat model ini telah dibina pada tahun 2017.

Jadi itu adalah serba sedikit mengenai pesawat ATR72-500 yang biasa kita lihat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan dioperasikan oleh Firefly. Jadi jangan tersalah lagi untuk membezakan antara pesawat Fokker dan ATR ya.

Oleh
Epul