Denda larangan merokok di premis makanan telah berkuatkuasa awal tahun baru lalu. Ramai dalam kalangan perokok meminta agar sedikit kelonggaran diberikan dengan menyediakan kawasan khas untuk merokok di premis makanan.
Namun permintaan tersebut tidak akan terjadi dalam masa terdekat ini. Premis makanan tidak dibenarkan menyediakan ruang khas untuk merokok buat pelanggan di dalam kawasan operasi perniagaan mereka.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata peraturan itu termasuk dalam arahan yang menetapkan tiga meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka sebagai jarak kawasan larangan merokok.
Sekiranya kedai makan menyediakan ruang khas merokok di luar kawasan (lingkungan tiga meter), ia bukan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan tetapi pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kami telah mengadakan perbincangan dengan PBT. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mungkin akan mempertimbangkan premis makanan untuk menyediakan tempat pembuangan puntung rokok (dan bukannya ruang khas untuk merokok),” katanya.
Sumber: Bernama