Tiada Rakyat Malaysia Jadi Mangsa, Insiden Tembakan Rambang di Thailand

Share

Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden tembakan rambang akibat amukan seorang anggota tentera yang mengorbankan 26 orang dan mencederakan 57 lagi di Nakhon Ratchasima, Thailand (juga dikenali sebagai Korat).

Pasukan keselamatan Thailand telah menembak mati anggota tentera terbabit yang dikenali sebagai Jakrapanth Thomma berusia 32 tahun. Dia maut di sebuah pusat membeli-belah di Nakhon Ratchasima lokasi dia bersembunyi selama kira-kira 17 jam.


Sejumlah 57 orang cedera, 25 daripada mereka telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan manakala 32 lagi masih berada di hospital termasuk 12 yang perlu menjalani pembedahan.


Kedutaan Malaysia di Bangkok melaporkan kepada Bernama, setakat ini tiada rakyat Malaysia yang menjadi mangsa. Mereka turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua mangsa dan keluarga mereka yang terjejas akibat insiden tembakan yang begitu mengejutkan itu.

Pemeriksaan di beberapa hospital di Nakhon Ratchasima menyaksikan bahawa terdapat rakyat asing yang cedera dalam insiden itu. Sementara itu, kedutaan dan duta lain yang berada di Thailand turut mengucapkan takziah kepada keluarga serta mangsa insiden tembakan rambang tersebut melalui akaun twitter masing-masing.

Foto:Newsforze

Oleh
Husna