Roti canai yang gemar diambil sebagai juadah sarapan pagi bersama teh tarik tercetus selepas kedatangan orang India ke Tanah Melayu. Hari ini, roti canai antara menu kegemaran di Malaysia yang dimakan pada bila-bila masa sama ada dicicah kuah kari kambing, kuah dal, sambal sardin atau manisan seperti gula dan susu.
Orang Malaysia dan roti canai memang tak dapat dipisahkan. Untuk kelaianan terdapat banyak jenis roti canai yang dihasilkan untuk menarik minat si pemakan. Kalau setakat roti kosong, roti telur, roti banjir, roti bom dan roti tisu, itu sudah biasa kita dengar. Tetapi lain pula di Warung Dimyati Roti Canai yang terletak di Kampung Sungai Yu 1, Kuala Selangor, roti canai yang disediakan di sini ada pelbagai warna dan perisa.
Umpama warna pelangi, roti canai yang disediakan di premis makanan ini terdiri daripada empat perisa iaitu durian (kuning), epal (hijau), strawberi (merah) dan keladi (biru). Penyediaan Roti Canai Pelangi ini sama sahaja dengan roti canai biasa. Bezanya, adunan doh untuk Roti Canai Pelangi ini ditambah perisa dan pewarna makanan yang dibenarkan.