Tersenarai Dalam Malaysia Book of Records, Arca Dasar Laut Tarikan Baharu Di Langkawi. Rugi Tak Tengok Sendiri!

Share

Langkawi cukup terkenal sebagai pulau pelancongan yang mempunyai banyak tempat menarik untuk dilawati. Kini tarikan terbaharu yang menjadi tarikan di pulau lagenda ini merupakan Arca-arca berkonsepkan mitos dan lagenda yang baru sahaja dilabuhkan ke dasar laut di perairan Pulau Pasir, Langkawi.

Baru sahaja dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri pada 23 Julai yang lalu, 14 Arca Dasar Laut yang dihasilkan oleh sembilan artis tempatan itu dilabuhkan di sekitar pulau tersebut pada 2 Jun yang lalu.

Datuk Seri Nancy Shukri pada majlis perasmian Arca Dasar Laut di Pulau Pasir, Langkawi
Foto: Balai Seni Negara

Merupakan program Community Based Tourism, Arca Dasar Laut yang dianjurkan oleh Balai Seni Negara ini adalah salah satu usaha menggalakkan lagi ekosistem seni dan pelancongan negara.

Arca Dasar Laut disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai Most Underwater Sculptures

14 arca yang dihasilkan oleh sembilan artis tempatan ini bermula pada Disember 2021 di Pengkalan Kubang Badak. Turut tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Most Underwater Sculptures, antara arca yang boleh anda lihat bila berkunjung ke Pulau Pasir adalah Sang Kelembai Meletus, Sumpahan Mahsuri, Belanga Pecah dan banyak lagi.

Datuk Seri Nancy Shukri bersama barisan artis yang menjayakan Arca Dasar Laut

Majlis perasmian pada hari tersebut turut dihadiri YBhg. Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha MOTAC, YB Tuan Mohd Firdaus Ahmad, Exco Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Kedah, YBhg. Dato’ Indera Dayang Fatimah Tom Abang Saufi, Pengerusi LPSVN, YBrs. Encik Amerruddin Ahmad, Ketua Pengarah LPSVN, serta pegawai-pegawai kanan MOTAC, Jabatan dan agensi.

Snorkeling Atau Selam Skuba Untuk Lihat Sendiri Arca Dasar Laut

Kesemua arca ini diletakkan di dua tempat berbeza yang membolehkan anda melihat sendiri melalui aktiviti snorkeling ataupun selam skuba di Pulau Pasir. Bagi yang ingin ke Pulau tersebut, anda boleh menaiki bot dari Pengkalan Kubang Badak selama lebih kurang 15 hingga 20 minit untuk sampai ke Pulau tersebut.

Datuk Seri Nancy Shukri turut melakukan aktiviti selam skuba untuk melihat sendiri arca di dasar laut Foto: Balai Seni Negara

Meskipun ada beberapa arca ditenggelamkan ke dasar laut dan boleh dilihat menerusi aktiviti menyelam, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Ameruddin Ahmad berkata pihak mereka turut meletakkan beberapa arca lain di kawasan pesisir pantai dan separa tenggelam untuk memudahkan pelancong melihat dengan lebih dekat

Pulau Pasir yang menempatkan arca laut karya artis tempatan

Penghasilan arca-arca tersebut adalah sebahagian daripada program Community-Based Tourism anjuran Balai Seni Negara dengan kerjasama beberapa pihak antaranya Marine Research and Excellent Centre (MAREC) UiTM Perlis, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Pelancongan Seni dan Budaya Negeri Kedah, Geopark Langkawi, Jabatan Perikanan Malaysia, Pejabat Tanah Daerah Langkawi dan Polis Marin Langkawi.

Program ini juga telah mendapat tajaan daripada pihak Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan juga LADA.

 

Sembilan arca itu dihasilkan dengan saiz minimum lima kaki setiap satu turut dilabuhkan di perairan Pulau Pasir dan akan berada pada kedudukan di daratan, sekitar pesisir dan gigi pantai dan paling menarik ‘dibenam’ ke dasar laut yang mengambil masa lima bulan untuk disiapkan.

Antara artis yang terlibat dalam program itu adalah Mohd Al Khuzairie Ali menerusi karya Sang Kelembai Meletus, Mohd Radzi Ismail (Belanga Pecah), Ahmad Fuad Osman (Tugu Antroposen), Umibaizurah Mahir @ Ismail (Permata Hinggap) dan Dr. Zainuddin Abindinhazir @ Abdul Rashid (Sumpahan Mahsuri).

Sumpahan Mahsuri oleh Dr. Zainuddin Abindinhazir @ Abdul Rashid Arca sebelum dilabuhkan ke dasar laut Foto: Balai Seni Negara
Archelon oleh Yang Mulia Tengku Sabri Tengku Ibrahim. Arca sebelum dilabuhkan ke dasar laut Foto: Balai Seni Negara
Curse of Passing oleh Low Chee Peng. Arca sebelum dilabuhkan ke dasar laut Foto: Balai Seni Negara

Selain itu adalah karya Tengku Sabri Tengku Ibrahim berjudul Archelon, Abdul Multhalib Musa (Segitiga Langkawi), Low Chee Peng (Curse of Passing) dan Maxine Xie Xian Xin (Mushrooms For MuchRooms To Let).

Memang amaze bila dapat tengok sendiri Arca Dasar Laut yang  pertama di Langkawi ini. Rugi kalau tak singgah ke Pulau Pasir bila datang ke Pulau Langkawi!

 

 

 

 

 

 

 

Oleh
SAHR