Ramai yang berkira-kira untuk bercuti sepanjang bulan November dan Disember. Iylah, cuti tahunan masih banyak dan ramai ingin lepaskan geram bercuti selepas sekian dalam berkurung di dalam rumah.
Buat anda di Lembah Klang sebenarnya tidak perlu pergi jauh. Negeri Selangor mempunyau banyak lokasi menarik. Bak kata Tourism Selangor, Pusing Selangor Dulu!
Selain daripada destinasi yang pelancongan yang sering kita kunjungi seperti pantai, hutan rimba, taman tema dan sebagainya, ada lagi yang lebih menarik di Negeri Selangor untuk anda terokai bersama rakan-rakan dan seisi keluarga. Program Hos Komuniti di Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam bakal memenuhi dua hari percutian anda di Negeri Selangor!
Ikuti itinerari apa yang anda boleh lakukan di dua daerah ini.
Hari Pertama di Pasir Penambang, Kuala Selangor
5:00 PM – Terokai Hutan Paya Bakau di Sepanjang Tebing Sungai
5:30 PM – Aktiviti Memerhati Burung Helang
6:00 PM – Pengalaman Menangkap Kerang
6:30 PM – Pengalaman Memancing Menggunakan Jaring
Hari Kedua di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam
11:00 AM – Pelajari Kaedah Mengekstrak Kelapa
12:00 PM – Pelajari Pembuatan Kuih Onde-Onde
3:00 PM – Ketahui Cara Menangkap Ikan Menggunakan Buluh
5:30 PM – Santai Sambil Menikmati Wadai Kepeng
1) Terokai Hutan Paya Bakau di Sepanjang Tebing Sungai
Program Hos Komuniti di Daerah Kuala Selangor anda akan bermula di Pasir Penambang. Anda akan menikmati pengalaman menaiki bot nelayan kayu tradisional. Di samping itu, anda boleh menerokai hutan paya bakau di sepanjang tebing sungai ini. Pasir Penambang menampilkan persekitaran ekologi yang amat menakjubkan!
2) Aktiviti Memerhati Burung Helang
Aktiviti memerhati burung helang merupakan satu aktiviti yang dianggap sangat memuaskan sekaligus perasaan yang penuh kegembiraan. Cuba aktiviti memerhati burung yang kini telah menjadi daya tarikan untuk program hos komuniti di Pasir Penambang ini.
3) Pengalaman Menangkap Kerang
Di sepanjang perjalanan, anda akan dibawa untuk berhenti seketika bagi menikmati pengalaman menangkap kerang dan ikan. Para nelayan di sini akan memberikan demonstrasi cara menangkap hasil laut dengan menggunakan peralatan memancing tradisional.
4) Pengalaman Menangkap Ikan Menggunakan Jaring!
Bukan itu sahaja, program Hos Komuniti di Pasir Penambang juga akan memberikan anda pengalaman menangkap hasil hidupan laut khususnya kerang dengan menggunakan jaring. Pastinya aktiviti seperti ini mengujakan dan memuaskan anda!
5) Alami Keunikan Menekstrak Kelapa
Tidak jauh dari Daerah Kuala Selangor, habiskan hari kedua anda dengan mengikuti Program Hos Komuniti di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam! Luaskan pengembaraan anda dan jangan lepaskan peluang untuk ketahui pelbagai jenis kelapa mengikut bentuk dan warna yang ada. Selain itu, anda akan diajar untuk mengekstrak kelapa dengan menggunakan kaedah tradisional.
6) Pelajari Pembuatan Kuih Onde-Onde
Dari kelapa yang telah di ekstrak, ia boleh digunakan untuk memasak pelbagai menu makanan antaranya ialah Kuih Onde-Onde. Siapa yang tidak kenal akan kuih tersebut? Rasanya cukup sedap dengan berintikan gula melaka serta diselaputi kelapa diluarnya. Program ini akan memberikan anda peluang untuk mencuba sendiri resepi kuih onde-onde iaitu kuih tradisional yang sangat terkenal di Malaysia.
7) Ketahui Cara Menangkap Ikan Menggunakan Buluh
Jika pada hari pertama anda telah mempelajari cara menangkap hidupan laut menggunakan jaring tradisional, pada hari kedua pula anda akan mencuba sendiri pengalaman menangkap ikan dengan menggunakan buluh pula. Ikan yang sering didapati disini adalah ikan puyu dan banyak lagi!
8) Santai Sambil Menikmati Wadai Kepeng
Salah satu cara untuk menamatkan program Hos Komuniti di Daerah Sabak Bernam adalah dengan bersantai dikelilingi suasana kampung sambil menikmati kuih tradisional masyarakat Banjar iaitu Wadai Kepeng!
Pengalaman Program Hos Komuniti di Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam akan memberikan anda sebuah pengalaman yang luar biasa jauh dari rutin harian anda di kota.
Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Jadi, jangan lepaskan peluang anda untuk mengalami sendiri pengalaman melakukan aktiviti bersama Hos Komuniti di Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Ternyata terdapat permata yang tersorok daripada pandangan para pelancong di sini.
Layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor, atau terus ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas-kini. #PusingSelangorDulu.
Kredit: Tourism Selangor