Terminal Bas Larkin Sentral Kembali Beroperasi. Tiket Balik Raya Tidak Akan Dijual

Share

Terminal Bas Larkin Sentral di negeri Johor telah kembali beroperasi secara berperingkat sejak awal minggu ini selari dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Terminal bas ini beroperasi semula untuk menampung keperluan pengguna bas yang dijangka meningkat memandangkan sebahagian besar masyarakat sudah mula bekerja serta ingin pulang semula ke rumah masing-masing selepas terkandas di kampung halaman mereka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Pengoperasian semula itu bagaimanapun tidak melibatkan bas rentas sempadan antara Johor dan Singapura.

Semasa PKP fasa 1 hingga 3 dikuatkuasakan sebelum ini, operasi perkhidmatan bas ekspres di sini telah turun sehingga 99.2 peratus dengan hanya dua hingga tiga perjalanan sahaja sehari berbanding 350 trip sehari pada hari biasa. Situasi sama turut berlaku ke atas bas bandar dengan penurunan hampir 97 peratus iaitu hanya 30 perjalanan sahaja berbanding 350 trip sehari (hari biasa) manakala bas rentas sempadan pula diberhentikan operasi.

Dijangkakan berlaku peningkatan perjalanan bas bandar kepada 50 peratus atau bersamaan dengan 180 trip sehari dan bas ekspres meningkat kepada 100 perjalanan sehari.

Meskipun jumlah perjalanan bas ekspres akan meningkat, pengguna masih perlu mengemukakan dokumen seperti surat kebenaran pergerakan, surat kematian, surat pemeriksaan kesihatan dan surat majikan, sebelum dibenarkan membeli tiket. Pengguna juga boleh menunjukkan bukti pendaftaran melalui aplikasi Gerak Malaysia. Tempahan tiket bagi tujuan balik hari raya adalah tidak dibenarkan seperti diarahkan Majlis Keselamatan Negara.

Sumber: Bernama

Oleh
Husna