Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memutuskan solat Jumaat di seluruh Perlis hari ini digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing.
Keputusan itu dibuat bagi menjunjung titah perintah dan perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail susulan penularan kes COVID-19 di negara ini.
“Hal ini adalah rentetan daripada perkembangan terbaru seperti yang telah dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Pihak kementerian meminta agar sebarang perhimpunan berskala besar, termasuklah aktiviti agama, hendaklah dielakkan. Oleh yang demikian, pengurusan masjid-masjid di seluruh negeri Perlis hendaklah mengelakkan daripada melaksanakan apa-apa aktiviti perhimpunan awam berskala besar buat masa ini,” tambahnya,” menurut MAIPs dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu turut menyebut, individu Muslim dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan. Arahan solat Jumaat itu akan dinilai dari minggu ke minggu.
Untuk negeri lain di Malaysia solat Jumaat diteruskan seperti biasa ketika ini walaupun negara dilanda wabak COVID-19. Baca : COVID-19 Solat Jumaat Diteruskan Seperti Biasa
Sumber: Astroawani