Terbang Seperti Iron Man Di Tasik Putrajaya, Sukan Air Lasak Flyboard Tawar Keseronokan Berbeza

Share

Sesekali kalau dapat terbang di udara umpama Iron Man pasti seronok. Tiada istilah gayat tapi bagi yang sukakan sukan air lasak bolehlah mencuba aktiviti Flyboard. Tak jauh pun, aktiviti menarik ini ada di Marina Putrajaya sahaja.

Bagi yang mahu mencubanya buat pertama kali, berat badan untuk bermain flyboard adalah mesti mencapai 40 kg dan ke atas. Ia sesuai bagi kanak-kanak, remaja dan individu yang sukakan aktiviti sukan lasak air ini.

Menurut Mr Danial Barker, harga untuk mencuba permainan air ini adalah RM300 seorang (harga promosi kala ini) dan kalau datang berdua kosnya cuma RM450 dan ia mengambil masa setengah jam untuk menikmati keseronokan ini.

“Sukan ini sangat popular di kalangan pelancong luar dan ia agak kurang dicuba oleh warga tempatan tapi kini kita menyasarkan pelancong tempatan untuk merasai keseronokan ini,” katanya memaklumkan kanak-kanak seusia 9 tahun pun ada melakukannya.

Jelasnya lagi, sebelum mencuba aktiviti lasak ini, penerangan akan diberi terlebih dahulu cara untuk “terbang” dan jika sudah yakin barulah pengunjung boleh mencubanya.

“Ketinggian flyboard ini boleh pergi agak tinggi, lebih dari lima meter tapi bagi yang pertama kali cuba, kita galakkan antara 1.5 meter ke tiga meter dahulu untuk mereka menyesuaikan diri dengan alat ini,” katanya sambil menambah, sebaik mampu naik ke udara, pemain akan menarik jet ski mengikut arah mereka terbang.

“Masa yang sama, kita akan memberikan arahan dari atas jet ski,” katanya memaklumkan aktiviti ini hanya dilakukan pada hujung minggu dan orang ramai perlu membuat tempahan lebih awal pada mereka.



Jadi, yang rasa nak jadi iron man, bolehlah mencuba peralatan flyboard yang di import khas dari Perancis ini. Syok habis.

Flyboard Malaysia
Marina Putrajaya, No.1, Jalan P5/5, Presint 5, 62200 Putrajaya, Malaysia.

Oleh
almaswa Haji Che Ros