Selain berpuasa di siang hari sepanjang Ramadan, umat Islam juga digalakkan untuk memperbanyakkan amal ibadat dan juga memeriahkan masjid-masjid sepanjang bulan ini. Hadirkan diri ke masjid untuk berterawih, iktikaf dan juga solat-solat wajib yang lain bagi menghidupkan suasana Ramadan yang datang setahun sekali ini.
Bagi yang berada di Kelantan, atau pengembara yang melawat ke Kelantan, kalau berkesempatan jangan lupa singgah di Masjid Iktikaf Ibadul Rahman di Kampung Belukar, Wakaf Bharu, Tumpat. Masjid ini dibina dengan keaslian senibina negeri Cik Siti Wan Kembang termasuk ciri-ciri senibina Istana Balai Besar Kelantan.
Masjid yang memakan masa selama dua tahun untuk siap dibina ini menggunakan 80 peratus kayu jenis seraya kitam dan seraya merah manakala 20 peratus lagi kayu Chengal dan Merbau yang diperoleh dari Kelantan dan Terengganu.
Menurut pemilik masjid ini, Mohd Arpi Arifin, 45, Idea untuk membina masjid ini tercetus apabila melihat ukhwah kejiranan di sekitar kampung ini semakin suram. Memandangkan peranan masjid penting dalam pembangunan masyarakat disamping mengekalkan tradisi dan semangat kejiranan penduduk kampong, beliau berharap masjid ini dapat mengeratkan lagi hubungan masyarakat setempat.
Berkeluasan lebih 304 meter persegi, masjid ini boleh memuatkan kira-kira 80 jemaah pada satu-satu masa dan dibahagikan kepada ruang solat termasuk untuk jemaah lelaki serta wanita, manakala bahagian beranda dijadikan tempat untuk mengadakan majlis atau jamuan.
Antara nilai estetika kesenian melayu Kelantan yang dikekalkan menerusi pembinaan masjid berkenaan termasuklah pemeleh, tebar layar, ekor itik, tunjuk langit, dinding janda berhias dan sebagainya.
“Nilai-nilai estetika ini menjadi karakter kuat dalam senibina rumah-rumah traditional Kelantan selain ia juga dapat dilihat di rumah-rumah lama seperti sisip angin bagi memudahkan pengudaraan dan juga eksesori yang terdapat pada bumbung terutamanya ekor itik,” jelas Mohd Arpi.
Memang cantik dan penuh nilai kesenian, selesa dan tenang untuk beribadah!
Sumber: BERNAMA
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI