Perkhidmatan teksi motosikal tempatan, Dego Ride beroperasi hari ini di Lembah Klang setelah mendapat kelulusan khas daripada Kabinet. Akan datang Dego Ride akan meluaskan kawasan perkhidmatan ke negeri-negeri lain secara berperingkat.
Dego Ride yang buat masa kini terhad perkhidmatannya di Lembah Klang, boleh diakses melalui aplikasi telefon pintar dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan, penghantaran makanan dan dokumen.
Sehingga kini terdapat hampir 4,000 orang yang telah berdaftar sebagai ‘rider’ dan sebagai permulaan hanya 700 permohonan yang diluluskan. Untuk mendaftar atau menggunakan khidmat teksi motorsikal ini layari dego.my
Sebelum ini pekhidmatan teksi motosikal itu memulakan perkhidmatan pada November 2016 dengan kadar tambang serendah RM2.50 dan terhad kepada perjalanan sejauh tiga kilometer di sekitar Lembah Klang. Bagaimanapun pada Januari 2017, perkhidmatan itu mendapat bantahan daripada kerajaan terdahulu dan diharamkan atas alasan keselamatan selain dilaporkan bersalahan dengan lesen kenderaan persendirian, serta melanggar Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987.
Menurut Bernama, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata perkhidmatan itu dijangka mampu menawarkan 5,000 peluang pekerjaan kepada golongan belia yang memiliki motosikal, khususnya kalangan berpendapatan rendah (B40) dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,500 hingga RM3,500.
"Walaupun ini bukan pekerjaan jangka masa panjang, segelintir mungkin, tetapi setidak-tidaknya ia dapat dijadikan sebagai batu loncatan (untuk mencari rezeki) jika hendak dibandingkan sebelum ini kerana kerajaan ingin pastikan nasib anak muda sentiasa terbela,” katanya selepas merasmikan pejabat urusan Dego Ride.
Sumber Foto: Bernama