Tawar Promosi Menarik Untuk Rakyat Malaysia Bercuti Dalam Negara! – Presiden MATTA

Share

Penyedia perkhidmatan pelancongan seperti syarikat penerbangan, hotel, restoran dan taman tema, perlu menawarkan promosi hebat yang mampu memikat pelancong domestik dalam kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).


Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Datuk Tan Kok Liang berkata langkah itu akan menarik lebih ramai pelancong tempatan dan mengurangkan kesan kerugian akibat pembatalan tempahan baru-baru ini susulan penularan COVID-19.

  • Profil pelancong tempatan adalah berbeza dan masing-masing mempunyai minat khusus. Jadi kepelbagaian (promosi) adalah penting. Berbekalkan tawaran yang menarik daripada hotel serta pusat peranginan dari empat hingga lima bintang, lebih ramai rakyat Malaysia akan menjadi pelanggan.
  • Hotel mewah juga boleh menawarkan cuti inap kepada penduduk pada harga rendah tanpa menjejaskan pasaran biasa mereka dan melalui langkah ini, orang-orang yang bercuti akan mendapat nilai terbaik untuk wang mereka.



  • Disarankan agar pengusaha pelancongan lebih inovatif dengan menawarkan pakej pengembaraan dan menarik untuk memenuhi kehendak pelbagai segmen seperti menganjurkan ‘lawatan Hari Ahad’ di setiap bandar dengan membawa penduduk ke kilang dan gudang yang memiliki pusat demonstrasi atau pameran sepanjang hari bagi menikmati pengalaman membeli-belah yang hebat.
  • Lawatan luar ke kawasan hutan atau dusun berdekatan juga perlu dipertimbang memandangkan harga buah-buahan tempatan seperti durian telah jatuh susulan penutupan bandar-bandar utama di China akibat penularan COVID-19.

Sebagai langkah untuk memberikan nilai tambah kepada produk tempatan, Datuk Tan Kok Liang menyarankan agar karnival membeli-belah tempatan diadakan di mana hanya hasil tempatan dibenarkan dijual. Ini akan menarik ramai petani dan kilang tempatan untuk mempamerkan produk mereka, yang akan menarik minat penduduk mahupun pelancong tempatan kerana rakyat Malaysia suka membeli-belah


Malaysia menerima kira-kira 3.1 juta pelancong dari China tahun lepas dan 2.94 juta pada tahun sebelumnya dan berharap untuk menerima lebih 3.26 juta pelancong dari negara itu pada 2020 namun susulan penularan COVID-19, suku pertama dan kedua tahun ini dijangka terjejas. Bagi kempen VM2020, Malaysia menyasarkan untuk menarik ketibaan sejumlah 30 juta pelancong antarabangsa dan menjana pendapatan pelancongan berjumlah RM100 bilion.

Sumber: Bernama

Oleh
Husna