‘Tasik Pepsi Blue Terengganu’ Kawasan Larangan, Bakal Jadi Destinasi Wajib Singgah Untuk Bergambar

Share

Lubuk Mandi atau digelar sebagai Tasik Pepsi Blue, yang terletak di Mukim Rusila berhampiran Kuala Terengganu bakal dijadikan tarikan baharu destinasi pelancongan Terengganu.

Sebelum ini, lokasi ini memang sudah terkenal dalam kalangan penduduk tempatan datang merakam gambar namun segala aspek keselamatan di bawah pengawasan sendiri. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menceroboh kawasan tersebut atas faktor keselamatan, sehingga ia dibuka secara rasmi kepada pengunjung kelak.

 

Kawasan ini bakal dibangunkan Kerajaan Terengganu menjadi popular seperti destinasi Kawah Putih di Bandung, Indonesia, sebuah tasik semula jadi yang muncul akibat letusan gunung berapi, yang kini menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Beberapa pengubahsuaian akan dilakukan oleh kerajaan Terengganu sebelum tasik ini dibuka kepada pelancong dan dibangunkan. Antaranya pemasangan pagar di kawasan berbahaya dan menaik taraf kemudahan laluan menyusuri hutan (jungle trekking) di situ. Keutamaan adalah keselamatan pengunjung.

Kecantikan air di Tasik Pepsi Blue yang biru kehijauan memang luar biasa dan boleh diperkenalkan kepada pelancong luar. Jarak lokasi ini yang berdekatan dengan Kuala Terengganu menjadikan ia lokasi yang mudah untuk dikunjungi pelancong bagi menikmati panorama dan merakam gambar berlatarbelakangkan tasik tersebut.

Pengunjung hanya perlu ‘jungle trekking’ kira-kira lima hingga 10 minit untuk sampai ke kawasan atas tasik bagi menyaksikan keindahannya. Berdekatan Tasik Pepsi Blue ini juga terdapat kawasan perumahan, jadi jalan untuk ke sini sudah cantik dan sesuai dilalui kenderaan.

Tasik Pepsi Blue merupakan tasik buatan yang terhasil daripada aktiviti melombong secara mendulang emas yang suatu ketika dahulu sangat terkenal dalam kalangan penduduk tempatan. Namun, aktiviti melombong emas itu telah diarah dihentikan beberapa tahun lalu ekoran berlaku beberapa tragedi yang meragut nyawa pelombong termasuk tanah runtuh dan akhirnya dijadikan kawasan larangan. Namun, kebelakangan ini Lubuk Mandi kembali diperkatakan di laman sosial selepas terdapat beberapa individu yang memasuki kawasan tasik itu dan mengambil gambar.

image via google | Sumber: Bernama

Oleh
Husna