Nama Tasik Chini yang terkenal dengan mitos kewujudan naga kembali disebut-sebut sejak kebelakangan ini, selepas sekian lama tenggelam disebabkan tidak lagi menjadi destinasi pelancongan terkenal negeri Pahang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Pekan, Pahang, dahulunya sinonim dengan bunga teratai memenuhi permukaannya, namun keindahannya dikatakan mula terhakis akibat aktiviti penerokaan tanah secara haram dan perlombongan.
Menyedari akan potensi dan kepentingan Tasik Chini sama ada dalam aspek pelancongan atau sebagai khazanah negara, kerajaan negeri Pahang telah merancang pelbagai inisiatif untuk mengembalikan kegemilangan tasik itu. Pada 13 Mac 2019 telah bersetuju mewartakan kawasan seluas 4,498 hektar di tasik itu sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK). Jumlah 4,498 hektar itu bukanlah satu keluasan yang kecil, kerana jika dihitung secara mudah, ia bersamaan dengan hampir 6,000 saiz padang bola sepak yang berkeluasan 110 meter x 70 meter, menunjukkan keseriusan kerajaan negeri dalam memulih dan memulihara persekitaran Tasik Chini untuk generasi masa depan.
Penanaman 5,000 batang pokok balak terdiri daripada Balau, Meranti dan Merawan di hutan tasik itu sekitar Oktober 2018. Program itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Pahang, pelajar institusi pengajian tinggi di Pekan dan penduduk Felda Chini dan turut disertai penaung SASET, Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Muad’zam Shah Sultan Ahmad Shah. Pokok itu akan mengambil masa sekitar 15 tahun untuk menjadi pokok dewasa dan sepanjang tempoh itu, pemantauan akan dilakukan oleh Jabatan Perhutanan bagi memastikan tiada yang dapat menceroboh ke kawasan itu.
Program ini diharapkan dapat memulihkan alam semula jadi di Tasik Chini kerana masih ada yang bergantung kepada aspek ekopelancongan di situ termasuk masyarakat Orang Asli yang mengambil upah membawa bot pelancong.
Namun, walaupun pelbagai rancangan pemulihan sudah dirancang, sudah pasti kejayaannya memerlukan masa. Orang ramai dijangka dapat kembali menikmati keindahan Tasik Chini dalam tempoh 10 hingga 20 tahun. Dasar khas sudah dibuat tahun lalu dan kini kita memasuki peringkat pelaksanaan dengan keutamaan untuk mengekalkan status tapak rizab biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) selain menjadikannya destinasi pilihan untuk ekopelancongan.
Foto: Tourism Pahang & FB Lake Chini Resort | Sumber: Bernama