Tasik Chini, Tasik Semula Jadi Kedua Terbesar Malaysia Bakal Diwartakan Sebagai Taman Negeri Pahang Yang Baru

Share

Nama Tasik Chini yang terkenal dengan mitos kewujudan naga kembali disebut-sebut sejak kebelakangan ini, selepas sekian lama tenggelam disebabkan tidak lagi menjadi destinasi pelancongan terkenal negeri Pahang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Pekan, Pahang, dahulunya sinonim dengan bunga teratai memenuhi permukaannya, namun keindahannya dikatakan mula terhakis akibat aktiviti penerokaan tanah secara haram dan perlombongan.

Terbaru, Kerajaan Negeri Pahang akan mengambil langkah untuk mewartakan tasik semula jadi, Tasik Chini, sebagai sebuah taman negeri yang baharu dan kawasan hutan simpan bagi menjadikannya sebagai destinasi pelancongan dan rekreasi pilihan pelancong termasuk dari luar negara.

Kerajaan negeri akan menghentikan aktiviti perlombongan dan pembalakan di sekitar Tasik Chini bagi membolehkan aspek pemulihan berlangsung. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, juga bersetuju Tasik Chini yang terkenal dengan legenda naga dan keindahan bunga teratai sebelum ini diwartakan sebagai kawasan hutan simpan kekal supaya ia terpelihara. Langkah untuk mewartakan kawasan ini perlu dilakukan supaya alam sekitar ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang, dalam keadaan yang baik dan semula jadi tanpa dicemari aspek pembalakan atau perlombongan.

Usaha ini yang bermula sekarang, membolehkan orang ramai dijangka dapat kembali menikmati keindahan Tasik Chini dalam tempoh 10 hingga 20 tahun. Dasar khas sudah dibuat tahun lalu dan kini kita memasuki peringkat pelaksanaan dengan keutamaan untuk mengekalkan status tapak rizab biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) selain menjadikannya destinasi pilihan untuk ekopelancongan.

image via google & Tourism Malaysia | Sumber: Bernama

Oleh
Husna