
Nama Tasik Chini yang terkenal dengan mitos kewujudan naga kembali disebut-sebut sejak kebelakangan ini, selepas sekian lama tenggelam disebabkan tidak lagi menjadi destinasi pelancongan terkenal negeri Pahang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Pekan, Pahang, dahulunya sinonim dengan bunga teratai memenuhi permukaannya, namun keindahannya dikatakan mula terhakis akibat aktiviti penerokaan tanah secara haram dan perlombongan.
Terbaru, Kerajaan Negeri Pahang akan mengambil langkah untuk mewartakan tasik semula jadi, Tasik Chini, sebagai sebuah taman negeri yang baharu dan kawasan hutan simpan bagi menjadikannya sebagai destinasi pelancongan dan rekreasi pilihan pelancong termasuk dari luar negara.
Kerajaan negeri akan menghentikan aktiviti perlombongan dan pembalakan di sekitar Tasik Chini bagi membolehkan aspek pemulihan berlangsung. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, juga bersetuju Tasik Chini yang terkenal dengan legenda naga dan keindahan bunga teratai sebelum ini diwartakan sebagai kawasan hutan simpan kekal supaya ia terpelihara. Langkah untuk mewartakan kawasan ini perlu dilakukan supaya alam sekitar ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang, dalam keadaan yang baik dan semula jadi tanpa dicemari aspek pembalakan atau perlombongan.
Usaha ini yang bermula sekarang, membolehkan orang ramai dijangka dapat kembali menikmati keindahan Tasik Chini dalam tempoh 10 hingga 20 tahun. Dasar khas sudah dibuat tahun lalu dan kini kita memasuki peringkat pelaksanaan dengan keutamaan untuk mengekalkan status tapak rizab biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) selain menjadikannya destinasi pilihan untuk ekopelancongan.
image via google & Tourism Malaysia | Sumber: Bernama
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Wave Rock’ Bukit Baginda Tarikan Popular Kuala Pilah

Siapa yang pernah sampai ke Bukit Baginda di Kampung Majau? Kepada yang belum sampai, Bukit Baginda di Kampung Majau ni terletak di daerah Kuala Pilah, 13 kilometer dari pekan Batu Kikir dan lokasi ini antara tempat popular untuk orang ramai datang melakukan aktiviti rekreasi.
Apa yang menarik di Bukit Baginda ni selain daripada persekitarannya yang menghijau dengan tumbuh-tumbuhan adalah kewujudan Waze Rock atau Batu Berombak yang cukup unik dan menjadi ‘magnet’ penarik pelancong untuk berkunjung ke sana.
Keunikkan Waze Rock itu berjaya menarik ramai pelancong semenjak kawasan itu dibuka kepada orang awam kerana rupa bentuk batunya bulat dan tekstur permukaan batu tersebut beralun seperti ombak. Dek kerana itulah batu tersebut mendapat jolokan nama Wave Rock atau Batu Berombak.
Populariti Waze Rock Bukit Baginda itu bukan sahaja menarik minat pelancong tempatan malah ramai pelancong dari luar negara juga tiba bagi merasai sendiri pengalaman mendaki Bukit Baginda dan melihat sendiri Waze Rock tersebut. Rata-rata pelancong luar negara yang datang adalah dari Perancis, Jepun, United Kingdom, Vietnam dan Filipina.
View this post on Instagrambukit kedua yg ditawan hari ini! . . 12.00pm #bukitbaginda (450m)✅✅ #batuKikir nismil9n
A post shared by Adasandha Anuar (@adasandha) on
Sekiranya anda ingin mendaki ke Wave Rock disarankan untuk mempunyai daya tahan mental dan fizikal yang baik kerana lokasi batu itu terletak di ketinggian lebih kurang 450 meter dari aras laut dengan jarak sepanjang 2 kilometer mendaki sahaja.
Masa untuk orang dewasa normal mendaki adalah lebih kurang 1.5 hingga ke 2 jam sahaja untuk sampai puncak Bukit Baginda. Anda yang ingin ke sana dikehendaki untuk membayar yuran masuk lebih kurang RM8 seorang iaitu RM5 untuk permit dan RM3 untuk yuran pengurusan kawasan berkenaan.
View this post on InstagramA post shared by Akira Star (@akira_nette) on
Selain daripada Wave Rock itu, kawasan Bukit Baginda juga mempunyai empat buah gua yang masih belum diterokai sepenuhnya dan di sekitar daerah Kuala Pilah itu juga terkenal dengan 70 tapak batu megalit atau lebih dikenali sebagai Batu Hidup daripada 300 tapak batu megalit yang ada di Negeri Sembilan.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
8 Percutian Glamping di Pahang Untuk Penginapan Selesa Dikelilingi Alam Semula Jadi

Glamping aktiviti percutian unik dan menyeronokkan dengan menggabungkan konsep ‘glam’ dan ‘camping’ pastinya menjadi sangat menarik kalau disertai bersama keluarga atau rakan-rakan baik. Jika anda memang anak kota yang tidak biasa percutian ala dalam hutan, tetapi teringin untuk merasai suasana berkhemah, maka glamping adalah pilihan terbaik!
Tidak seperti berkhemah biasa yang memerlukan kita membina khemah sendiri, glam camping membolehkan anda terus masuk ke dalam khemah. Selain itu setiap khemah lengkap dengan pelbagai kemudahan tempat tidur selesa, makanan dan pengudaraan yang baik.
Pun begitu bukan semua kawasan perkhemahan atau glamping, mempunyai kemudahan dan kelengkapan sama. Lain tempat, lain kelebihannya dan juga segala aktiviti yang ditawarkan juga berbeza. Tetapi secara amnya, ia sangat mengujakan apa lagi jika anda dan keluarga ingin keluar dari kesibukan hiruk pikuk kota.
CHENGAL HILL RESORT

Chengal Hill Resort ini terletak di kebun yang berkeluasan 5 ekar dan di kawasan berketinggian 900 meter dari aras laut. Suasana damai yang dingin ini bagikan berada di kawasan berpendingin hawa lebih-lebih lagi pada waktu malam dengan suhu 22 darjah dan ke bawah.Jadi jangan lupa bawa pakaian yang sesuai, agar tidak menggigil kesejukan terutama di malam hari.
Chengal Hill Resort menyediakan penginapan riverside chalet, dorm style chalet, water chalet, apachi, khemah camping dan glamping. Untuk aktiviti pula, anda boleh mencuba pelbagai aktiviti menarik seperti memanah, ATV, menyewa 4WD untuk meneroka hutan di sekitar, berbasikal dan meredah hutan.
Alamat: Lot 8537 Kuala Lurah, Kampung Janda Baik, 28750 Pahang, Pahang
TANAH AINA

Keseronokan bermalam di Tanah Aina Fahad bukan sahaja kerana keindahan kawasan sekitarnya, tetapi juga kerana kesempurnaan kawasan resort ini yang direka bentuk dengan indah dan dalam kondisi yang sangat terjaga. Air terjun yang melatari suasana di sini amat menenangkan jiwa ditambah lagi dengan kawasan sekitarnya yang menghijau dengan flora. Antara penginapan yang jadi pilihan King Tent, Queen Tent dan Normal Tent, namun, khemah King dan Queen kelihatan lebih seperti kabin dan lebih selesa daripada khemah Normal.
Bila dah duduk di kawasan kelilingi alam flora, rugi kalau tidak mencuba aktiviti beriadah meredah hutan, bermandi-mandi di kawasan sungai sambil mengumpulkan kenangan. Kalau cerita soal makan, ini memang best. Bayangkan bersarapan di ruang di ruang makan di bawah pokok besar ditemani bunyi air sungai yang mengalir deras dan kicipan burung. Aduh.. pasti tak sedar makanan habis licin. Ternyata Tanah Aina Fahad adalah sebuah lokasi percutian yang cukup best dan berbaloi untuk dikunjungi.
Lokasi: Tanah Aina Fahad – Lot 1053, Mukim Ulu Dong, Raub, Pahang
THE STICKS

Kala berada di sini anda bakal menginap di khemah yang dipanggil Tendok. Wah bunyi macam exotic kan. Tendok adalah nama yang diberikan untuk penginapan-penginapan dan nama Tendok adalah gabungan perkataan ‘tent’ dengan pondok. Berlatarkan alam semulajadi, disini kita akan dapat merasai pengalaman sebenar bermain pondok-pondok bertemankan panorama indah kawasan sekitar.
Antara penginapan yang ditawarkan adalah rumah buluh yang terletak di bawah lindungan pokok, tendok di tepi sungai yang mana anda boleh melalui laluan khas untuk terus sahaja ke kawasan sungai dan banyak lagi penginapan lain yang yang boleh menjadi pilihan sekeluarga.
Lokasi : Lot 213 Jalan KKB – Fraser’s Hill, Kuala Kubu Baru, Selangor
SAILOR’S REST RESORT

Terletak dalam kawasan hutan Banjaran Titiwangsa dengan ketinggian 600 meter dari aras laut, sudah dapat dibayangkan kesegeran persekitaranya. Penginapan yang ditawarkan pula terdiri dari rumah 3 bilik, rumah bot, chalet moden, dan chalet kampung. Tenang damai dengan suasana perkampungan.
Sailor’s Rest Resort juga mempunyai taman yang cantik yang dipenuhi pokok-pokok hijau dan bunga-bungaan yang menyegarkan pandangan. Kalau kena musim buah-buahan, anda boleh makan buah-buahan segar terus daripada pokok manggis dan pokok durian yang terdapat di sini. Jadi pandai-pandailah pilih tarikh ya.
Lokasi: Lot 8592, Lorong Dato Panglima, Kg. Sg. Lurau, Janda Baik, 28750 Bentong, Pahang
SAUJANA JANDA BAIK HOMESTAY

Saujana Janda Baik Homestay juga satu lagi tempat glamping yang bakal memberikan anda pengalaman bertemankan alam semulajadi yang best. Kedudukannya yang jauh dari kawasan bandar membuatkan langit malamnya dapat memancarkan cahaya jelas daripada bintang-bintang dan bulan. Satu pemandangan yang sangat mempesonakan, jadi, jangan lupa bawa teleskop kalau ke sini.
Di samping stargazing, anda juga boleh mandi manda di sungai yang terletak bersebelahan dengan kawasan chalet di sini. Kalau nak lebih dekat dengan sungai ataupun di kawasan kegemaran anda yang lain, anda boleh menyewa khemah yang disediakan. Selain itu, untuk bersantai, anda boleh naik ke pondok di atas pokok untuk melihat pemandangan sekeliling ataupun bermain permainan papan yang disediakan sambil menikmati minum petang.
Lokasi: Lot 6989, Kampung Janda Baik, 28760 Bentong Pahang
KANOPI VILLA JANDA BAIK

Kanopi Villa Janda Baik ini terletak di dalam kawasan hutan hujan di kaki bukit Genting Highlands dan hanyalah 45 minit dari Kuala Lumpur.
Khemah-khemah yang didirikan di sini menghidangkan pemandangan indah kawasan gunung-ganang. Alangkah besnya bangun pagi dalam suasana yang segar dikelilingi keindahan alam semulajadi. Untuk aktiviti sepanjang penginapan pula, anda boleh menaiki ATV, memancing di kolam yang terletak bersebelahan dengan khemah, bermain permainan papan, berbasikal di trek-trek berdekatan ataupun trekking ke air terjun Bentong.
Bukan itu sahaja, Kanopi Villa Janda Baik ini juga terletak berdekatan dengan pelbagai tarikan menarik yang lain seperti Taman Jepun, Ladang Arnab, Taman Rusa, kereta kabel, kolam air panas, ladang strawberi dan bermacam lagi.
Lokasi: Lot 25929 Kg Janda Baik, off Genting Sempah, Bentong, Kampung Janda Baik, Pahang
TANJUNG INN

Tanjung Inn adalah sebuah penginapan yang terletak berdekatan dengan kawasan pantai, lokasi pun dah cukup best, bagaimana pula dengan tempat menginap? Tanjung Inn menyediakan khemah-khemah yang agak simple tetapi cukup selesa. Khemah-khemah ini terletak berdekatan dengan kolam-kolam air.
Sekiranya anda sekeluarga menginap di sini, anda boleh meluangkan masa bersantai di taman yang indah di sekitar penginapan dan mengatur aktiviti melihat kunang-kunang di kawasan sungai berdekatan.
Lokasi: Jalan Cherating Lama, Kampung Cherating Lama, 26080 Cherating, Pahang
TIME CAPSUL RETREAT PAHANG

Terletak di tengah-tengah Pekan Sungai Lembing, Time Kapsul Retreat Pahang menyediakan anda bilik-bilik tidur kapsul berbentuk silinder yang lengkap dengan katil bersaiz queen dengan pemandangan hutan simpan
Bergantung kepada bajet untuk penginapan, lagi mahal, lagi luas cermin di sekeliling bilik untuk anda menikmati keindahan flora di luar. Beberapa bilik turut dilengkapi dengan jakuzi. Bunyi begitu menarikkan. Jadi terpulang yang mana satu pilihan anda.
Lokasi: EB4 Belakang Sek Men, Sungai Lembing 26200
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tapak Istana, Terowong Misteri & Perkhidmatan Kereta Kabel, Rahsia Hutan Dara Di Tengah Kuala Lumpur

Satu-satunya hutan simpan kekal yang masih ada di tengah bandaraya Kuala Lumpur terletak di Taman Eco Rimba Kuala Lumpur di kawasan Bukit Nanas. Hutan berkenaan adalah satu-satunya hutan asli berstatus hutan dara yang masih wujud diangkat sebagai salah satu produk pelancongan negara.
Hutan Simpan Kekal Bukit Nanas sudah berusia 113 tahun berdasarkan tarikh pewartaannya sejak 1906. Ketika itu, ia berkeluasan 17 hektar, tetapi kini hanya berbaki 9.37 hektar. Dahulu dikenali sebagai Bukit Weld atau Bukit Gombak dan sangat popular dalam kalangan pengunjung kerana kedudukannnya di tengah bandar. Selain itu kawasan ini juga dikelilingi dengan deretan hotel ternama serta pusat membeli-belah.
Kini di puncak bukit ini tersergam indah Menara Kuala Lumpur yang satu ketika dahulu merupakan tapak bekas istana Raja Mahdi Raja Sulaiman, Pentadbir Klang yang menentang campur tangan British di Kuala Lumpur.
Kereta Kabel Bukit Nanas
Selain itu, pada suatu masa ketika dahulu lokasi ini pernah dibangunkan perkhidmatan Kereta Kabel Bukit Nanas yang memberi peluang pengunjung untuk menikmati alam sambil bersiar-siar. Namun tarikan aktiviti dan perkhidmatan kereta kabel ini telah ditamatkan sekitar tahun 1980an.
Terowong Rahsia Di Bukit Nanas
Jangan tidak tahu, terdapat sebuah terowong rahsia dijumpai disekitar kawasan ini. Terowong itu ditemukan secara tidak sengaja semasa kerja-kerja baik pulih cerun runtuh oleh kontraktor pada Mei 2013 lalu. Penemuan ini juga mengukuhkan lagi beberapa cerita dan bualan mulut orang terdahulu tentang peperangan di puncak bukit itu selain wujudnya istana lama pernah dihuni oleh raja-raja Melayu. Terowong itu dipercayai dibina oleh kudrat manusia yang menghuni Bukit Nenas sekitar 150 tahun dahulu dengan menggunakan alat tajam untuk mengorek lubang menjadi sebuah terowong. Hasil penemuan mendapati terowong itu dijadikan pintu belakang untuk keluar masuk menuju ke Sungai Klang dan lombong bijih timah di kawasan sekitar tersebut.
Jambatan Gantung Titian Silara
Hari ini kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Nanas mempunyai pelbagai tarikan lain iaitu Titian Silara atau canopy walk yang siap dibina pada 2014. Canopy walk sepanjang 200 meter dengan ketinggian 18 meter dari tanah itu mempunyai keunikan tersendiri.
Mungkin anda tidak sempat untuk merasai ‘perkhidmatan kereta kabel’, namun dengan adanya jambatan gantung ini, pengunjung masih boleh menikmati pemandangan cantik Hutan Simpan Kekal Bukit Nanas dari atas. Paling penting canopy walk ini sangat mesra orang kurang upaya (OKU) terutama kepada pengguna kerusi roda.
‘Hiking’ Tengah Kota
Daripada titian terus berjalan masuk ke dalam denai hutan yang seterusnya menghubungkan laluan ke Menara Kuala Lumpur. Denai Penarahan, Denai Merawan, Denai jelutung, Denai Suboh dan Bamboo antara laluan siar kaki yang menawarkan pelbagai tarikan tersendiri. Kemudahan kerusi dan pondok rehat turut disediakan bagi memudahkan pengunjung melepaskan lelah seketika selepas melakukan penjelajahan di hutan ini.
Galeri Pusat Maklumat Perhutanan
Selain itu turut disediakan Galeri Pusat Maklumat Perhutanan menyediakan maklumat yang membolehkan pengunjung mengetahui lebih lanjut mengenai Hutan Simpan Kekal Bukit Nanas. Pelbagai maklumat mengenai hutan ada di sini serta dilengkapi mini teater untuk tayangan video atau taklimat.
Bagi yang ingin mendekatkan diri dengan alam semula jadi tanpa perlu keluar jauh dari bandar raya Kuala Lumpur, Taman Eko Rimba KL destinasi tepat buat anda. Waktu Operasi dari 8 pagi hingga 5 petang dibuka tujuh hari seminggu.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI