Anda tahu tak Taman Eko Rimba Kledang Saiong? Kalau tanya pada diorang yang tinggal dekat Ipoh, mungkin tahu lah kan Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni dekat mana, sebab taman eko rimba dekat je dengan ibu negeri Perak tu.
Ada orang pernah tanya pada Libur, apa lagi tempat-tempat yang best nak jalan-jalan dekat Ipoh. Yela, Ipoh memang dah banyak produk-produk pelancongan yang menarik tapi diorang nak cari satu tempat yang boleh lepak dalam sehari dua, mandi sungai, bbq, main gitar sambil nyanyi-nyanyi. Ala, tempat yang boleh buat short-vacay, dapat dalam semalam pun jadi!
Jawapan Libur, ada! Memang ada satu tempat yang menarik kalau korang nak buat aktiviti-aktiviti macam tu di Ipoh dan tempatnya – Taman Eko Rimba Kledang Saiong lah! Menarik tempat ni dan kita perlu mempopularkan tempat-tempat ni untuk manfaat kesejahteraan kawan-kawan travel kita mencari lokasi short-escape.
Okay, meh Libur sharekan dekat korang sikit benda-benda menarik yang ada dekat Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni. Tempat ni, terletak di Daerah Kinta dan berkeluasan lebih kurang dalam 2,188 hektar. Tak jauh pun dari bandar Ipoh, lebih kurang dalam 5 kilometer je nak pergi. Sebab tu, Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni popular untuk yang tinggal sekitar Ipoh.
Jarak perjalanan 5 kilometer, berapa minit sangat la nak drive kereta tu. Kalau korang jenis yang bawa kereta-kereta mahal, jangan risau kereta korang rosak. Nama je Taman Eko Rimba Kledang Saiong tapi jalan raya yang menghubungkan tempat ni dengan jalan besar cukup selesa – Myvi pun lepas.
Boleh la bawa family atau kawan-kawan korang yang nak cuti sekejap-sekejap dekat Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni tapi ada sikit la bayaran yang dikenakan. Dulu percuma, sekarang je kena bayar dalam RM2 untuk orang dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak. Pelancong asing RM5. Okay la, tak adalah mahal sangat nak masukkan?
Ads
Bayaran RM2 paling mahal tu pun, kalau korang nak tahu, kemudahan asas yang disediakan untuk pengunjung pun berbaloi tau. Cerita betul ni, bukan cerita berbayar – jangan sangka Libur buat promotion pulak dekat tempat ni. Tapi memang okay pun fasilitis yang diorang siapkan dekat sini, haha. Antaranya tempat letak kereta, tandas, tempat persalinan, tempat BBQ, kafeteria, laluan pejalan kaki, trek berbasikal, tapak berkhemah, pondok wakaf, surau serta papan tanda informasi.
Tarikan yang ramai kata berbaloi untuk datang adalah Taman Nepenthes atau Taman Periuk Kera. ada lebih kurang 77 spesis periuk kera yang ada dekat taman ni. Banyaknya? Kenapa banyak sangat? Sebabnya, Taman Nepenthes ini adalah tempat pemuliharaan dan pemeliharaan spesis-spesis periuk kera yang ada di negara kita. Kalau tak ada tempat ni, habis la cucu cicit kita tak dapat tengok periuk kera dah. Dapat tengok dekat YouTube je nanti.
Kalau korang nak masuk ke Taman Nepenthes ni, ada cukai pintu korang kena bayar. RM5 pukul rata untuk semua orang dan RM2 untuk pelajar atau budak-budak sekolah. Okay what? Diorang jaga cantik kot tempat ni. Bagi muka sikit la untuk diorang jana ekonomi diorang sikit. Hehehe. Tapi kalau korang tanya Libur, Libur masuk taman ni bila ada mak ikut sekali je. Kalau tak ada, hehehe kitorg lepak luar jela.
Ads
Okay, kita masuk balik cerita Taman Eko Rimba Kledang Saiong tadi. Aktiviti – kalau korang nak lepak bermalam dekat sini, Libur cadangkan korang camping sebab ada tapak khemah disediakan untuk berkhemah. Ada satu kawasan lapang yang boleh muat lebih kurang 100 orang nak camping. Kalau korang pergi dalam tiga, empat orang satu khemah, best sangat la.
Korang pernah camping dalam hutan tak? Kalau tak pernah, pengalaman tu korang kena cuba sebelum terlewat usia dah nak try. Perasaan camping dalam hutan ni memang syiok. Bunyi unggas, bunyi pokok, sejuk, selesa. Semua ada! Lagi-lagi pagi lepas subuh tu korang jangan tidur. Bunyi burung memang best kalau korang dengar, sambil-sambil langit membiru matahari nak sampai. Syahduu beb..
Cumanya korang kena tahu satu benda penting ni, kalau korang nak camping dekat sini, korang kena minta kebenaran daripada Jabatan Hutan Daerah Kinta/Manjung dulu. Ini no telefon diorang, 05-3661 228. Korang kena minta izin dulu, kalau tak tiba-tiba Ranjer hutan tengok ada orang camping tak tentu pasal, kena tembak dengan senapang gajah. Hehehe tak ada lah, gurau je. Tapi memang prosedur nak camping kat sini, korang kena roger Jabatan Hutan Daerah Kinta/Manjung dulu.
Ads
Selain khemah, apa lagi yang korang boleh buat adalah trekking dekat bukit dalam kawasan Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni dan berbasikal. Berbasikal ni kalau korang ride dengan anak-anak – the best bonding time ever within your family! Tak tipu. Mesti korang akan jadi the best parent untuk anak-anak korang.
Ada juga sungai dekat Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni. Boleh la nak mandi sungai dekat sini sambil-sambil berkelah, sambil bbq. Sebut pasal bbq, Libur ada sebut tak dekat sini ada tempat bbq? Dekat sini ada tempat bbq tau! Korang bawa je peralatan apa yang ada, datang sini buat bakar-bakar. Pun layan tau untuk release tension.
Satu pantang larang yang korang kena tahu bila datang dekat Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni, korang tak boleh nak petik, bawa balik sebarangan pokok yang ada dekat sini. Bukan ada hantu ikut balik ke apa, tapi memang undang-undang tak membenarkan korang berbuat macam tu. Come on, jagalah alam sekitar sikit. Untuk keselesaan orang lain juga nanti kan? Hehe. Lagi satu yang korang tak boleh buat adalah memancing. It’s a big no-no bila datang ke Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni sebab diorang nak jaga populasi hidupan air dekat sini.
Info best untuk bakal mempelai yang nak melangsungkan perkahwinan, tak nak try ke buat majlis korang dekat sini? Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni boleh diadakan majlis perkahwinan. Class kau jah kalau kahwin dekat sini, kahwin dalam hutan, gitteww.. Makcik jiran sebelah rumah nanti pun mesti soksek-soksek cerita pasal kau kawin dekat Taman Eko Rimba Kledang Saiong. Hahaha!
Okey lah. Cukup setakat tu je Libur bercerita ni. Nanti kalau ada cerita lain dan tempat-tempat lain, Libur kongsikan lagi dekat korang semua. Kalau ada yang nak ke Taman Eko Rimba Kledang Saiong ni roger-roger la ya! Selamat bercuti!
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Orang kata, Satun Thailand pun tempat wajib pergi kalau suka tengok tempat orang sambil makan-makan.
Hatyai dah selalu sangat, jadi cuba berjalan ke sini pula. Boleh tahan pemandangan pantai dan makanan di sini.
Masuk Satun Thailand
Haa… jangan terkejut sebab di sini tak kurang hebatnya, jika nak dibandingkan dengan tempat lain di Thailand.
Ini antara 7 tempat yang patut dilawati bila dah jejakkan kaki ke Satun!
1. Taman Bunga Matahari (Khao Thanan Thung Wa)
Terletak di wilayah Phatthalung, taman bunga ini terkenal dengan pemandangan ladang bunga matahari yang luas dan menakjubkan. Waktu musim bunga, taman ini akan dipenuhi dengan bunga matahari yang berkembang mekar, mencipta suasana yang menenangkan.
Boleh berjalan-jalan di sekitar taman untuk menikmati pemandangan yang menakjubkan ini dan mengambil gambar untuk dijadikan kenangan.
Di sini juga ada sebuah cafe yang sangat menarik untuk bergambar. Nak ambil OOTD untuk Instagram, jomlah ke sini!
2. Koh Li Pe
Dengan pasir putih yang lembut, air laut yang jernih seperti kristal dan pemandangan matahari terbenam yang indah, Koh Li Pe merupakan pulau kecil yang sangat menawan di Thailand Selatan.
Pulau yang digelar sebagai ‘Maldives of Thailand’ ini mempunyai tiga pantai yang indah iaitu Sunrise Beach, pantai matahari terbenam dah yang paling popular ialah pantai Pattaya.
Pulau kecil yang seakan-akan menjadi syurga tersembunyi ini mempunyai pelbagai aktiviti menarik untuk dicuba seperti memancing, menyelam, snorkeling dan menunggang skuter di sekitar pulau.
Selain itu, pengunjung juga boleh merasa keselesaan dan ketenangan dengan memanjat bukit kecil di tepi pantai atau menjelajah hutan-hutan tropika yang hijau.
3. Pantai Rawai
Anda tidak akan menemui deretan hotel mewah atau pusat membeli-belah yang ramai di sini, tetapi lebih kepada suasana yang santai dan damai. Pantai Rawai terkenal dengan kehidupan dan aktiviti nelayan yang aktif, jadi anda akan nampak banyak bot nelayan di sini.
Apa yang best, anda juga boleh membeli ikan segar dari pasar ikan yang terletak bersebelahan dengan pantai. Pantai Rawai juga terkenal dengan restoran-restoran yang menyajikan hidangan laut segar dan lazat. Anda boleh mencuba masakan laut yang popular seperti tom yam, kerang bakar dan bermacam-macam lagi.
Pantai Rawai atau Rayway ini sebahagian daripada Taman Negara Kepulauan Phetra dan pantai ini boleh diakses dengan motosikal dan kereta.
4. Masjid Al-Hashimi
Masjid Al-Hashimi merupakan spot seterusnya yang wajib singgah jika ke Satun. Reka bentuknya memang mirip Masjid Al Aqsa di Baitulmaqis nun.
Masjid berkubah kuning ini menjadi replika masjid di Baitulmaqdis ini adalah salah satu tempat menarik di Satun, terutamanya bagi yang masuk Thailand melalui sempadan Wang Kelian.
Terletak lebih kurang 24km dari sempadan Wang Kelian, seni binanya sangat unik kerana reka bentuk dan ukuran yang sama termasuk saiz, lantai, dinding dan hiasan dalaman.
Masjid ini mampu memuatkan 7,000 orang, 5,000 orang di dalam dan 2,000 orang jemaah di bahagian luar. Jadi, bagi anda yang ingin merasai pengalaman beribadah di Satun, pastikan Masjid Al Hashimi ini menjadi salah satu destinasi wajib singgah!
5. Masjid Mambang/Pusat (Satun Central Mosque)
Terletak di pusat bandar Satun, masjid ini memiliki reka bentuk yang menggabungkan unsur-unsur seni Islam tradisional dan seni bina moden. Kubah dan menara yang menjulang tinggi ini menjadi mercu tanda utama di bandar Satun.
Tempat yang sesuai untuk menunaikan solat selepas pemanduan jauh dari Malaysia. Selain itu, dengan taman-taman hijau yang indah di sekitarnya, menjadikan masjid ini sebagai lokasi yang ideal untuk meluangkan masa bersama keluarga atau mengambil gambar-gambar yang cantik.
6. Pantai Pak Bara
Di sini anda boleh lihat pemandangan matahari terbenam yang menakjubkan. Dihamparkan dengan pasir putih dan air laut yang jernih menjadikan pantai ini tempat yang ideal untuk aktiviti sunbathing, berenang serta snorkeling.
Pantai Pak Bara juga dikelilingi oleh kehijauan dan tebing yang menambahkan suasana yang menenangkan jiwa dan sesuai untuk santai bersama keluarga.
Jangan lupa untuk merasai keenakan makanan laut yang segar dan enak yang pastinya akan memuaskan selera.
7. Pekan Thung Wa (The Town of Little Penang)
Pekan Thung Wa atau ‘The Town of Little Penang’ adalah sebuah bandar kecil yang terletak di daerah ini.
Pekan ini adalah sebuah destinasi yang unik dan menjadi semakin popular dalam kalangan pelancong yang ingin merasai budaya Melayu yang berbeza di Thailand.
Anda akan terpesona dengan rumah-rumah tradisional, pasar raya, kedai-kedai dan restoran-restoran yang menawarkan makanan Melayu yang lazat dan tradisional.
Jangan lupa untuk mengambil gambar di depan mural-mural warna-warni yang menarik dan jangan lepaskan peluang untuk merasai kelazatan hidangan tradisional seperti laksa, rojak dan pelbagai lagi.
Percutian ke Satun pastinya menjadi destinasi menarik dan akan diulang apabila tiba cuti panjang atau public holiday.
Tak perlu naik kapal terbang atau naik bas persiaran, cukup dengan memandu kenderaan sendiri yang bermula dari Wang Kelian.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Bahang kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang berbaki kurang lapan bulan semakin terasa apabila Tourism Malaysia kian rancak mempromosikan produk-produk pelancongan tempatan yang terdapat di seluruh negara.
Penganjuran terkini sempena kempen melawat Malaysia tahun depan adalah Travel Mart @ Negeri Sembilan yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Tuan Muhammad Bakhtiar Wan Chik di Hotel Lexis Hibiscus, Port Dickson.
Penganjuran Travel Mart @ Negeri Sembilan 2019 ini bertepatan dengan masanya sebagai persediaan menarik minat pelancong dalam dan luar negara untuk datang ke Malaysia seterusnya mencapai sasaran 30 juta pelancong.
Selain itu, penganjuran ini juga merupakan jambatan penghubung kepada semua pengusaha industri seperti agensi pelancongan, pengusaha hotel, resort, restoran, inap desa, dan taman tema hiburan dalam memberikan khidmat serta tawaran yang terbaik kepada pelancong.
Muhammad Bakhtiar berkata, Negeri Sembilan mempunyai pelbagai produk pelancongan tempatan yang hebat untuk dinikmati dan travel mart yang berkonsepkan perniagaan kepada perniagaan ini sangat dialu-alukan kerana ia merupakan platform terbaik dalam menemukan pengusaha produk pelancongan di bawah satu bumbung.
“Program seumpama ini akan mengukuhkan hubungan kerjasama dan mewujudkan jaringan perniagaan antara pengusaha produk, hotel dan agensi-agensi pelancongan dan ini yang kita mahu lihat dalam industri iaitu kerjasama yang kukuh dan persaingan sihat dalam kalangan penggiat industri pelancongan tempatan”, ujar beliau.
Pasar produk secara digital
Dalam pada itu, selain daripada inisiatif penganjuran travelmart, Muhammad Bakhtiar turut menggesa semua penggiat industri pelancongan memanfaatkan teknologi digital seperti media sosial dalam memasarkan produk pelancongan supaya ruang pasaran itu menjadi lebih besar dan meluas.
Beliau berkata, pelancongan secara individu atau dalam kumpulan kecil kini menjadi satu trend yang popular dan kebanyakkan mereka lebih mempercayai review yang diberikan di media sosial oleh pelancong-pelancong yang lain.
“Pemasaran digital semuanya berkenaan review. Kalau review itu bagus, contoh macam hotel orang tulis review, hotel ini makanan bagus lokasi terbaik, dia punya rating 9.0 daripada 10, sudah tentu mereka akan pilih hotel itu berbanding yang lain (yang mendapat review rendah)”, katanya.
Oleh yang demikian, pemasaran secara digital dilihat lebih memberikan impak yang tinggi berbanding cara konvensional dan memberikan kelebihan yang lebih baik kepada pengusaha industri pelancongan.
Sepanjang program itu berlangsung, seramai lebih kurang 140 pembeli dan 50 penjual produk pelancongan telah hadir untuk menjayakan program berkenaan.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Siapa dah tengok klip video Yuna terbaru berjudul Forevermore? Klip video tersebut telah mendapat pujian netizen yang rata-rata menyukai buah tangan terkini daripada penyanyi yang kini menetap di Amerika Syarikat itu.
Ia ekoran kreativiti Yuna mengetengahkan lokasi cantik di negera ini dalam video berkenaan sehingga menghasilkan visual sangat penuh warna-warni.
Dalam satu kenyataan, Yuna menjelaskan, klip video untuk lagu tersebut memaparkan jalan cerita yang menarik. Tidak menjadikan destinasi antarabangsa sebagai lokasi penggambaran, Yuna sebaliknya memilih untuk mengabadikan Perlis dan sekitar Lembah Klang dalam klip video berkenaan.
Diarahkan oleh suaminya, Adam Sinclair, Yuna memberitahu pemilihan Perlis, Selangor dan Kuala Lumpur adalah disebabkan landskap menarik yang ada di beberapa tempat di negeri tersebut.
Melalui laman Twitter Tourism Malaysia, turut berkongsi video tersebut untuk tontonan followers mereka.
Yuna showcasing the old school charm of kampungs as well as the vibrance of Malaysia's multiracial culture in new music video #forevermore.
— Malaysia Truly Asia (@TourismMalaysia) April 6, 2019
Yuna berkata dia sudah membayangkan suasana yang ada di lokasi tersebut sewaktu menulis lagu ini. Tambahan pula, Yuna pernah membesar di Perlis dan Lembah Klang, maka lokasi tersebut bakal memberi nilai sentimental terhadap klip video tersebut. Sungguhpun merakamkan klip video di negara sendiri, Yuna positif visual Forevermore dapat diterima dengan baik oleh peminatnya secara global.