Tugasan hakiki setiap hari tidak akan pernah habis dan berhenti.
Kadangkala rutin penting yang saban hari dilakukan seakan bosan dan hilang arah. Bukan setakat ketika melakukan pekerjaan atau sedang belajar sahaja tumpuan anda telah hilang, malah rutin lain seperti makan, tidur atau berparti. Boleh jadi anda sudah hilang selera makan, waktu tidur makin kurang atau keseronakkan berparti tidak seperti biasa.
Jika begitu, itu tanda-tanda diri anda perlu dapatkan percutian yang santai dengan segera. Jom rancang percutian anda ke 5 destinasi pulau ini yang punya tarikan berbeza daripada pulau yang lain.
KEDAH
Pernah dengar atau tidak ada sebuah pulau ‘baru’ umpama syurga hiburan dunia kini berada di Pulau Langkawi, Kedah? Paradise 101, merupakan pulau persendirian untuk anda lakukan pelbagai aktiviti air atau pantai. Pulau ini hanya boleh diakses menggunakan perkhidmatan bot khas di Jeti Telaga Harbour Marina bermula dari jam 10 pagi hingga tengah malam setiap hari. Antara pakej dan aktiviti yang disediakan adalah mencuba permainan air di Aqua Park, Banana Boat Ride, Parasailing, snorkel atau hanya beristirahat untuk menjamu selera. Ketika waktu senja, lokasi ini menerima view yang paling indah. Jangan lupa ambil gambar kenang-kenangan ketika itu ya!
Foto: paradise101.com
PULAU PINANG
Pulau Jerejak yang terletak di Pulau Pinang dikenali sebagai ‘Alcatraz Malaysia’ kerana ia pernah menempatkan tahanan perang selain banduan suatu ketika dulu. Ada yang menganggap Pulau Jerejak adalah pulau yang menyeramkan kerana pernah dihuni oleh banduan yang dibuang negeri sebelum pusat berkenaan ditutup pada Ogos 1993. Tidak hairanlah sebahagian besar ramai yang masih ragu-ragu untuk ke sini meski pun telah digazetkan sebagai destinasi pelancongan. Penduduk tempatan Pulau Pinang juga ramai yang tidak pernah menjejakkan kaki ke destinasi itu meskipun hanya mengambil masa 10 minit dengan menaiki bot dari jeti di tanah besar. Nah! Sekarang ini tidak perlu ragu-ragu lagi untuk ke sini, kerana pelbagai tarikan menarik tersedia di sini. Lebih-lebih lagi buat anda yang gemar merakam gambar kreatif atau berswafoto. Port-port ambil gambar seperti berada di luar negara.
Foto: Google Image
JOHOR
Pulau Aur terletak di daerah Mersing, Johor merupakan antara pulau ‘hidden gem’ yang cukup mempersona. Mungkin ramai yang tidak berapa tahu atau kenal dengan pulau ini kerana kurang mendapat promosi yang meluas. Tetapi percayalah, jika anda sudah menjejakkan kaki ke sini, pasti anda jatuh cinta dan berpuas hati memilih destinasi ini sebagai lokasi untuk bercuti. Terletak 80km dari Mersing, Pulau Aur adalah sebahagian dari Taman laut Johor. Ia semakin popular dalam kalangan pelancong kerana kolam semulajadi di luar pesisir pantai, batu karang berwarna-warni dan pantai yang cantik. Di Pulau Aur terdapat tarikan Batu Berhala, batu bersaiz besar berbentuk singa yang mempunyai legenda tersendiri. Bagi mereka yang gemar melakukan aktiviti merentas hutan, pastinya tertarik untuk memanjat batuan besar menuju ke kawasan pelbagai.
Foto: Google Image
TERENGGANU
Pulau Tenggol yang terletak di Terengganu ni bukan saja cantik di permukaan pulaunya, malah keindahan lautnya juga memukau mata pengunjung yang datang ke sini. Terumbu karang berserta hidupan lautnya yang cantik berjaya menjadikan Pulau Tenggol ini antara lokasi selam skuba bertaraf dunia. Pulau ini bukan hanya untuk kaki selam, tetapi untuk percutian keluarga atau berbulan madu. Selain itu, untuk anda yang sukakan aktiviti luar seperti jungle trekking juga boleh mengunjungi Pulau Tenggol kerana, bukit di tengah-tengah pulau ini berketinggian 800 kaki dan lokasi ini sesuai untuk anda menikmati pemandangan keindahan Pulau Tenggol dari kawasan puncak. Gambar yang anda abadikan di lokasi ini pasti menjadi pertanyaan ramai lokasi sebenar ‘percutian rahsia’ anda.
Foto: tripadvisor.com.my
SABAH
Pulau Balambangan yang teletak di Kuda merupakan Sabah Hidden Paradise. Tidak ramai yang pernah sampai ke sini. Pantainya punya pasir yang memanjang memutih, air lautnya sangat biru dan jernih, bukit dengan rumput menghijau dengan lebih 20 gua batu kapur yang unik dan kecantikan terumbu karang yang tidak terusik. Semuanya ada di Pulau Balambangan!
Foto: FB Sabah Info
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI