Tarikan Bandung

Share

Perkongsian pengalaman oleh Encik MJ

Kembali semarakkan cinta dua hati

Sebaik menjejakkan kaki ke Lapangan Terbang Bandara Husein Sastranegara, Bandung, Indonesia, suasana percutian mula terasa.

Dibantu pemandu pelancong atau supir Rahmat Sugiarto dari Instagram @maostraveltours_bandung, penulis dan pasangan terus menghala ke utara Bandung untuk melihat keindahan Tangkuban Perahu yang penuh dengan cerita legendanya.

Sepanjang perjalanan sejauh kira-kira 20 kilometer, kami diingatkan Rahmat mengenai ‘serbuan peminat’ yang akan mengikuti ke mana saja pelawat di situ, menjual barangan mereka sambil memberi penerangan mengenai Tangkuban Perahu.

Tidak kurang juga ada menawarkan khidmat menjadi jurugambar. Ya, ia memang berlaku dan sangat tidak selesa. Namun, memikirkan cara mereka mencari rezeki, bak kata Rahmat, “Pedulikan aja mereka”.

Selepas puas bergambar dan melihat sendiri kawah Tangkuban Perahu sambil menghidu bau sulfur, kami ke satu lagi tempat menarik dan indah di Bandung iaitu The Lodge Maribaya.

Menurut Rahmat, lokasi menarik ini baru sahaja beroperasi kira-kira 2 tahun. The Lodge Maribaya terkenal dengan keindahan alam semula jadi yang sejuk serta eksotik dan ternyata ia menjadi tumpuan ramai sehinggakan kami perlu beratur satu jam untuk menaiki pelantar Sky Tree yang menjadi rebutan pengunjung untuk bergambar.

Selain pelantar itu, terdapat juga Mountain Swing serta Zip Bike, basikal yang disokong dengan tali keselamatan yang melalui titi kabel dan ia memberikan pengalaman berbasikal di udara. The Lodge Maribaya wajib menjadi salah satu tempat yang perlu dikunjungi jika anda melawat Bandung.

Kami juga sempat singgah ke Farm House bergambar di Rumah Hobbit yang ternyata begitu unik dengan seni bina ala Eropah di situ, selain merasai kesegaran susu coklat yang sangat sedap.

Syurga beli-belah, makanan

Hari berikutnya bermula dengan jadual membeli-belah. Seawal jam 9 pagi, kami siap menuju ke Pasar Baru, ‘syurga’ beli-belah terkenal di Bandung. Pelbagai barangan boleh didapati di sini seperti kain ela, telekung, baju, kasut, pakaian kanak-kanak, kain batik Indonesia, macam-macam lagi. Setiap tingkat atau disebut lantai dalam bahasa tempatan, tersedia banyak pilihan yang pastinya menepati kehendak pengunjung dengan tawaran harga menarik dan boleh tawar-menawar.

Selepas Pasar Baru, kami singgah ke kedai Indo Snack beli kudapan Bandung untuk dibawa pulang ke Malaysia seperti pisang salai dan keropok belut.

Seterusnya, kami ke Kompleks Grutty, Cibaduyut. Di sini ‘syurga’ untuk beli-belah barangan kulit seperti kasut, sandal, jaket, beg, tali pinggang dan pelbagai lagi. Perjalanan ke sini kira-kira satu jam dari kota Bandung dan menjadi destinasi wajib singgah.

Di luar Kompleks Grutty, terdapat kedai-kedai di sepanjang Jalan Cibaduyut ini. Anda akan rambang mata dengan begitu banyak pilihan pada harga yang belum tentu boleh didapati di tempat lain.

Usai di Jalan Cibaduyut, kami meneruskan perjalanan ke Skywalk Cihampelas, lokasi persinggahan pengunjung di tengah-tengah kota Bandung yang mirip Pasar Seni di Kuala Lumpur, tetapi mempunyai siar kaki di tingkat atas.

Di sini, kami mencari coklat atau lebih dikenali sebagai chocodot bagi masyarakat di sini. Coklat ini tengah popular untuk dijadikan buah tangan, di mana pembalut coklat ini mempunyai kata-kata indah, semangat dan positif. Tidak lupa, buah tangan brownies kukus yang sememangnya terkenal di Bandung.

Benar kata orang, kalau makan angin, tidak terasa cepatnya masa berlalu. Bandung bukan sahaja syurga beli-belah, bahkan syurga makanan.

Lawatan singkat ini ternyata menerbitkan rasa cinta untuk kembali lagi ke sana, mengulangi episod perjalanan penuh kenangan kerana, biarpun ia

bukanlah lokasi percutian romantik seperti di Cappadocia, Turki, atau pun Agra di India, namun beberapa lokasi di Bandung mampu mengembalikan getaran cinta bagi pasangan yang ingin merasai kemanisan berbulan madu ala nusantara, dan menghabiskan masa berkualiti kerana Bandung mempunyai kelasnya yang tersendiri.

Oleh
Epul