Berita

Tambang Percuma LRT, MRT & Bas Rapid Untuk OKU Hingga 30 September Sempena Sambutan Merdeka!

Share

Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan yang berlangsung semalam, Operator perkhidmatan rel dan bas utama negara, Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) menawarkan tambang percuma selama sebulan kepada orang kurang upaya (OKU)

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong, berkata tambang percuma itu khusus untuk pemegang kad OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pemegang kad konsesi OKU MyRapid bermula semalam hingga 30 September ini.

Kredit Foto: Astro Awani

“Kita harap ramai kalangan OKU menggunakan keistimewaan ini bersiar-siar di ibu negara menaiki pengangkutan awam kerana semua perkhidmatan Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan yang merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel, Bas Rapid Transit (BRT) atau bas henti-henti dan Rapid Mobiliti percuma selama 31 hari.

“Pemberian tambang percuma ini sebagai tanda terima kasih Kumpulan PRASARANA kepada pengguna OKU sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-65, selain bukti keprihatinan Keluarga Malaysia yang serius menjaga kebajikan serta keselesaan pengguna OKU,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan mengenai tambang percuma selama sebulan khas kepada OKU di Stesen MRT Pasar Seni di sini, hari ini.

Terdahulu, Ka Siong menaiki tren bersama sekumpulan OKU berkerusi roda dan cacat penglihatan dari Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX) dan disambut Presiden Persatuan OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi di Stesen MRT Pasar Seni.

Sebelum itu, acara pelepasan peserta Eksplorasi Merdeka Rapid Kuala Lumpur (ERMKL) disempurnakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PRASARANA, Mohd Azharuddin Mat Sah sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim di Stesen MRT TRX.

ERMKL disertai 50 kumpulan membabitkan 200 peserta, memerlukan peserta menyelesaikan aktiviti cabaran dan mereka perlu menggunakan MRT, LRT, monorel dan bas sebagai pengangkutan semasa cabaran eksplorasi dijalankan sehingga selesai.

Ka Siong berkata, berdasarkan statistik PRASARANA, purata penggunaan bulanan kalangan OKU menggunakan pengangkutan awam adalah 23,527 dan 26,762 orang masing-masing bagi perkhidmatan rel dan bas.

Kredit Foto: Paultan Org

Bantu kelangsungan hidup golongan OKU

Beliau berkata, kempen ini diharap dapat membantu kelangsungan hidup golongan OKU bergerak ke tempat kerja atau baru hendak memulakan perniagaan selepas terjejas akibat COVID-19.

Katanya, tambang percuma ini dapat memberi manfaat kepada lebih 10,000 golongan OKU yang menggunakan perkhidmatan awam setiap hari.

“Meskipun tempoh tambang percuma selama sebulan, pada masa sama kita akan menilai keberkesanan program kerana mahu mendapat maklum balas daripada golongan pengguna ini supaya dapat mengetahui bentuk rintangan yang mereka hadapi ketika menggunakan pengangkutan awam.

“Kita mahu tahu apa punca mereka tidak selesa dan kita mengalu-alukan pandangan mereka serta sedia menjadikan kemudahan pengangkutan awam lebih mesra OKU, sekali gus membolehkan PRASARANA meningkatkan perkhidmatan terutama ketika waktu sesak terutama membabitkan OKU.

“Jadi selepas sebulan kita akan umumkan sejauh mana keberkesanan tawaran ini kepada golongan OKU selepas mendapat maklum balas dari segi reka bentuk dan apa saja perkara berkaitan pengguna OKU ini,” katanya.

Kredit Foto: Malaysia Gazette

Ka Siong berkata, sejak beberapa bulan lalu, pihaknya sudah mengarahkan audit berkala termasuk prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi dan PRASARANA akan mensyaratkan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi setiap stesen termasuk semua kemudahan beroperasi dengan baik.

“Ini kerana jika kemudahan ada tetapi tidak boleh digunakan disebabkan masalah teknikal, ia menyukarkan pergerakan OKU.

“Misalnya OKU mengharapkan kemudahan beroperasi sepenuhnya apabila keadaan sesak, kerana jika mereka tidak dapat menggunakan ekskalator dan perlu menggunakan lif, pergerakan mereka akan terbantut apabila semua berebut lif.

“Jadi kita akan mempertingkatkan pemantauan, supaya tahap keselesaan mereka bertambah baik,” katanya.

Katanya, PRASARANA juga menyahut seruan untuk mengambil kakitangan OKU.

“Saya diberitahu PRASARANA sudah mengambil seorang kakitangan OKU bekerja di pusat panggilan dan menggalakkan lebih ramai lagi pada masa depan sekiranya mereka tiada sekatan pergerakan,” katanya.

Sementara itu, bagi penggunaan perkhidmatan bas henti-henti Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan, penumpang OKU hanya perlu menunjukkan kad perakuan OKU atau kad konsesi OKU MyRapid kepada kapten bas bagi membolehkan mereka menikmati perjalanan percuma.

Sumber: Bharian

Oleh
SAHR