Terletak di sebelah utara negeri Sarawak, Taman Negara Gunung Mulu merupakan salah satu daripada destinasi pelancongan yang terkenal di Malaysia. Mempunyai keluasan lebih 544 kilometer persegi, ia mula diwartakan sebagai taman negara pada 3 Oktober 1974. Dengan dikelilingi tiga buah gunung iaitu Gunung Mulu, Gunung Api dan Gunung Benarat, Taman Negara Mulu mempunyai kepelbagaian bio yang menakjubkan.
Kawasan hutan yang terdiri daripada jenis paya gambut, rawa, dipterokap, lumut serta tumbuhan gunung menempatkan ribuan spesies flora dan fauna. Puncak Pinnacles pula menjadi mercu tanda bagi Gunung Mulu. Bagi mereka yang sukakan cabaran, bolehlah cuba mendaki ke puncaknya yang dipenuhi bantuan yang terhasil secara semula jadi.
Tatkala berada di taman negara ini jangan lupa mencuba aktiviti penerokaan gua yang menjadi identitinya selama ini. Antara gua yang wajib dikunjungi pastinya Sarawak Chamber. Ia cukup besar dan luas serta dikatakan mampu memuatkan lapan jet jumbo 747. Tidak cukup dengan itu, pengunjung juga boleh meneroka beberapa tarikan lain yang tidak kurang hebatnya seperti Gua Rusa atau Gua Air Jernih.
Bagi pencinta alam semula jadi, perasaan kagum pasti hadir melihat keunikan formasi stalagmit dan stalagtit serta pelbagai arca yang terhasil akibat proses geomorfologi yang berlaku. Ia diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada November 2000.
Ini info lain yang menarik mengenai khazanah alam di Taman Negara Gunung Mulu perkongsian daripada saudara Muhammad Fariqh
Ads
Tahukah anda, Sarawak Chamber merupakan ruang bawah tanah terbesar di dunia? Terletak di Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak, ia sangat besar sehingga mampu:
1) Menyusun 8 bijik Boeing 747 dari muncung ke ekor secara selari!
ATAU
2) Menyumbat masuk 40 bijik Boeing 747!
Untuk melihat betapa besar dan luasnya ruang gua ( chamber ) ini, korang bayangkan padang bola sepak Anfield tempat keramat si Liverpool FC tu sebesar 23 kali! Ya! 23 kali padang bola Anfield! Lebih menarik, luas 23 padang bola Anfield ini tidak disokong oleh mana-mana tiang atau pasak di tengah ruang gua! Hanya sekadar dinding di bahagian tepi yang menutupi ruang tertutup ini!
Ads
TIADA SATU pun ciptaan manusia sehingga kini yang mampu membuat ruang tertutup sebesar 23 padang Anfield TANPA SEBARANG TIANG SOKONGAN di bahagian tengah atau pertengahan!Tetapi alam semula jadi adalah jawapan daripada Sang Pencipta!
Ads
Sarawak Chamber SANGAT LUAS + BESAR sehingga spotlight yang dibawa oleh para pengkaji gua sehingga kini masih GAGAL menyuluh dinding paling hujung + siling paling tinggi ruang ini!
Kita perlu melepasi The Plunge Pool dari Gua Nasib Bagus untuk masuk ke Sarawak Chamber! Kemahiran berenang adalah kelebihan!
image via google
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Terowong Sungai Lembing yang sebelum ini ditutup sementara, kembali dibuka kepada orang awam selepas kerja penyelenggaraan selesai dilakukan.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal, berkata terowong itu antara tarikan pelancong dari dalam dan luar daerah ini, menyebabkan kerja penyelenggaraan perlu dilakukan secara berkala. Ketika proses penyelenggaraan dilakukan terowong ini sememangnya perlu ditutup bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Terowong yang mula dibuka sejak 1 Januari 2013 itu menerima kedatangan pengunjung setiap hari dan dibuka dari jam 9 pagi hingga jam 5 petang. Bayaran tiket adalah RM15 untuk dewasa dan RM7.50 untuk kanak-kanak bagi pelancong tempatan, manakala pelancong asing dikenakan bayaran RM30 bagi dewasa serta RM15 untuk kanak-kanak.
Memulakan penerokaan, pengunjung akan menaiki kereta api atau lokomotif iaitu kenderaan yang mengangkut bijih timah sejauh 80m. Ia kemudian diikuti dengan berjalan kaki sambil melihat pelbagai maklumat berkenaan terowong yang disediakan pada dinding.
Terbahagi kepada dua lorong iaitu Lorong Sejuta dan Lorong Myah, terowong yang menjadi laluan utama pengunjung itu adalah terowong utama lombong Tabeto yang juga digelar ‘Tai Pei Tong’ oleh penduduk tempatan.
Pada zaman kegemilangannya, lombong Tabeto ini mencapai kedalaman maksimum 500m dan terowong yang dilalui ini digunakan untuk membawa bijih timah keluar dari lombong ke loji pengsir.
Kebanyakan bijih timah ini dihasilkan lombong yang terdalam dan terbesar di Sungai Lembing iaitu Lombong Myah. Lombong ini terletak kira-kira empat kilometer (km) ke dalam terowong ini. Terdapat 14 lombong berlainan di sini dan setiap satunya memiliki namanya tersendiri seperti lombong Willinks, Pollocks dan Gunong.
Selesai meneroka di dalam terowong, pengunjung berpeluang melakukan pelbagai aktiviti yang disediakan di sekitar kawasan Terowong Bijih Timah Sungai Lembing ini.
Salah satu tarikan di Resorts World Genting ialah pengalaman merasai keenakan makanan di pusat beli-belah Sky Avenue yang menggamit kedatangan mereka menggelarkan diri sebagai kaki makan. Piza yang berasal dari Brooklyn dan East Village itu telah membuatkan penulis kolum makanan di akhbar New York Times memuji ia sebagai restoran piza Itali Neopolitan terbaik di New York. Dimiliki dan dikendalikan oleh lelaki kelahiran Belgium-Itali, chef Mathieu Palombino membuat piza gaya Neapolitan dalam ketuhar kayu yang diimport dari Itali.
Motorino mempunyai beberapa cawangan di New York, dua di Hong Kong dan Manila, satu di Singapura dan apabila pembukaannya diumumkan pada bulan Disember tahun lepas, ia menjadi restoran yang pertama dibuka di Malaysia. Motorino memiliki rupa dan rasa ruang lama yang telah diubahsuai, tetapi dengan sedikit kelainan.
“Bayangkan bagaimana kedai runcit lama di Amerika dan farmasi pada tahun 1920-an. Ia bukannya tempat mewah dan bukan juga kawasan tumpuan. Di Brooklyn ia menjadi tempat persinggahan untuk sekeping piza sedap yang mana mereka bercita-cita menjadi penyanyi tetapi terpaksa bekerja dua syif. Mereka bukannya jenis orang tidak sukakan jenama tetapi mereka mencari makanan terbaik,” ujar Dato Edward Holloway, Naib Presiden Kanan Operasi Hotel Resorts World Genting.
The Motorino di Sky Avenue berkeluasan 4,000 kaki persegi dengan bahagian hadapan bangunan memaparkan tingkap gaya Itali berbingkai emas. Jika dibandingkan dengan cawangan di Hong Kong dan Singapura ruang makannya agak terhad, ini akan menjadikan Motorino di Malaysia yang terbesar setakat ini. Mengekalkan reka bentuk asal cawangan di Amerika, tempat duduk yang disediakan tidaklah mahal atau mewah, sebaliknya ia akan dilengkapi kerusi besi tahun 1920-an dengan warna merah tua.
“Brooklyn pernah menjadi sebahagian dari Ireland pada satu ketika dahulu, maka unsur warna hijau turut akan digunakan yang akan menyerlahkan lagi warna merah tua.Terdapat juga batu marmar putih digunakan sebagai permukaan meja seiring dengan kaunter piza yang menggunakan material sama,” kongsi Holloway.
Paling mencuri perhatian ialah dua ketuhar piza yang didatangkan terus dari Naples, Itali. Penyodok piza pula ditempah khas turut akan menghiasi dekorasi restoran. Penyodok berbentuk dayung ini dibuat daripada sekeping kayu yang turut akan digunakan untuk membuat piza. Pelanggan akan dapat melihat keseluruhan proses pembuatan piza terkenal Motorino, dengan suasana sejuk bagi memastikan keselesaan pengunjung. Pencahayaan pula akan menggunakan gaya era 60-an bersama-sama bola bersinar Pantone, Motorino bakal menjadi kapsul masa di mana piza diagungkan.
Para pengunjung yang belum berpeluang merasai pengalaman bersama Motorino mungkin akan terkejut dengan dedikasi mereka berikan dalam pembuatan piza. Selain daripada pilihan antipasto (Pembuka selera Itali yang dimasak atau dimakan mentah yang mengandungi campuran bilis, buah zaiton, sardin, jeruk dan sayur-sayuran) dan piza, bagaimanapun dalam jiwa Itali sebenar, antipasto tidak hanya menghilang rasa lapar sebelum acara utama. Orang-orang Itali tahu bahawa antipasto merupakan sajian pembuka selera.
Maka, pemilihan antipasto Motorino ini akan memberikan peluang pengunjung merasai sendiri kualiti bahan-bahan yang akan digunakan dalam piza mereka. Sebagai bukti, campuran salad sayur-sayuran hijau, arugula dan salad bresaola akan sentiasa memberikan rasa penuh keranggupan dan segar, manakala lada panggang dipenuhi dengan rasa kemanisan semula jadi.
Keju kerbau mozzarella dengan tomato, minyak zaitun dan daun basil segar akan menaikkan rasa dan aroma, manakala salad sotong gurita pasti memberikan rasa sensasi dan segar dengan kombinasi kuntum bunga kaper, kentang, minyak cili, bawang merah serta parsli. Menjadi satu kekurangan jika sebuah restoran piza tidak menyediakan kepak ayam. Oleh itu Motorino menawarkan beberapa pilihan kepak ayam panggang berperisa lemon, pudina dan serbuk cili. Pengunjung juga boleh menikmati bebola daging Motorino yang dimasak dengan sos tomato ditambah keju pecorino dan daun selasih. Ia hasil gabungan budaya masakan New York dan Itali.
Motorino turut menawarkan lebih daripada 20 pilihan inti yang boleh ditambah kepada piza yang sedia ada. Ia termasuk kobis Brussel, dua jenis ikan bilis, arugula segar, keju kerbau mozzarella dan keju fior de latte (mozzarella segar yang dibuat dengan susu lembu), bersama-sama dengan bahan-bahan lain seperti ayam belanda, peperoni dan kepah. Bagaimanapun, setiap pengunjung ke Motorino berkata, piza yang dihasilkan sudah cukup sempurna tanpa perlu ditambah apa-apa.
Pengunjung turut boleh membuat pilihan pada 10 menu terbaik yang terdiri daripada marinara, margherita dan pepperoni kepada cita rasa tertinggi Itali (stracchiatella dengan selasih, garam laut dan minyak zaitun; cendawan cremini, sos colatura di alici ditambah keju mozzarella susu lembu, bawang merah, tomato anggur, ikan bilis putih dan garam laut).
Turut ditawarkan adalah piza kobis Brussel dengan keju fior de latte, bawang putih, keju pecorino dan ayam belanda salai; piza kepah bersama ceri dan telur, pilihan ayam belanda bercili. Harga piza bermula daripada RM45 hingga RM67. Pilihan pencuci mulut pula terdiri daripada tiramisu, kek coklat dan gelato.
Info : Motorino terletak di Aras 1, Sky Avenue. Waktu operasi: 10:00 pagi hingga 10:00 malam (Ahad hingga Khamis) dan 10:00 pagi hingga 12:00 tengah malam (Jumaat, Sabtu, Cuti Umum dan hari sebelum Cuti Umum)
‘More to Discover’ boleh dikatakan di Kuching, Sarawak ada segala-galanyanya untuk diterokai. Ibu negeri Bumi Kenyalang ini sering menjadi destinasi pilihan pengunjung dalam negara dan juga pelancong luar kerana mempunyai keunikan tersendiri, merangkumi kebudayaan, alam semula jadi, sajian dan kesenian.
Kalau datang ke Kuching kitak tau sik (anda tahu tak) tempat mana yang menarik untuk pergi? Kalau tidak tahu atau kurang pasti, nah.. ini cadangan Libur untuk kalian.
Kuching Waterfront
Kuching Waterfront menjadi kawasan tumpuan dan ‘bintang’ di Kuching dek keindahan ‘view’ samada pada siang atau malam hari. Pengunjung berpeluang melihat pelbagai sisi panorama dari kawasan ini seperti bangunan Dewan Undangan Negeri, Masjid India Terapung dan Jambatan Darul Hana. Ramai penduduk tempatan dan pengunjung luar bersantai dan mengambil angin di kawasan Kuching Waterfront menjelang matahari terbenam. Anda juga boleh cuba untuk berlibur menyusuri sungai atau ke kampung seberang membeli kek lapis Sarawak menaiki Sarawak River Cruise atau Perauk Tambang.
The Brooke Gallery
Jika anda minat akan sejarah, jangan lupa untuk melawat The Brooke Gallery yang terletak di Kubu Margherita. Anda pasti terpesona dengan bangunan warisan bersejarah yang masih kukuh dipulihara dengan baik. Binaan di Kubu Margherita ini dibina pada 1879 dan kini dikenali sebagai The Brooke Gallery yang menempatkan banyak dokumen dan artifak bersejarah negeri Sarawak.
Di sini terdapat sebuah bilik yang menempatkan tengkorak musuh yang telah dipenggal pada suatu ketika dahulu.
Tugu Kuching
Tidak sah sekiranya datang ke Kuching tidak singgah bergambar dengan tugu kucing yang comel terletak dibulatan berhampiran dengan Plaza Sarawak. Tugu ini merupakan tugu kebanggan rakyat negeri Sarawak. Boleh dikatakan banyak cenderamata menggunakan imej tugu kucing ini sebagai simbolik negeri Sarawak untuk dijadikan kenang-kenangan.
Pada malam hari tugu kucing ini akan dilimpahi dengan sorotan lampu berwarna-warni yang begitu indah. Menurut lagenda, Kuching mendapat nama kerana kewujudan banyak kucing hutan yang kelihatan di sekitar sungai berhampiran suatu ketika dahulu.
Semenggoh Wildlife Center
Semua sedia maklum Sarawak kaya dengan destinasi flora faunanya tersendiri dan mempunyai hutan hujan antara tertua di dunia. Ia adalah aset penting dan berharga Bumi Kenyalang, sekali gus habitat kepada ribuan spesies tumbuhan dan haiwan. Seperti di Sabah, Sarawak juga terkenal dengan habitat orang utan liar di kawasan Semenggoh Wildlife Centre.
Masa yang sesuai untuk anda melawat pusat ini adalah pada jam 9 pagi dan 3 petang kerana ini adalah waktu makan untuk orang utan. Bilangan orang utan yang akan keluar pada waktu makan tidak menentu. Kalau anda bernasib baik, anda dapat menyaksikan beberapa ekor orang utan datang mengambil makanan. Kadangkala pengujung akan pulang dengan perasaan hiba kerana orang utan langsung tidak kelihatan terutama pada musim buah.
Sarawak Culture Village
Selain alam semula jadi, Sarawak juga gah di mata dunia kerana dibina dan dibangunkan dengan penuh harmoni oleh masyarakat pribuminya. Biarpun terdapat 30 etnik berlainan termasuklah suku kaum Iban, Melayu, Melanau, Bidayuh, Orang Ulu dan Penan mereka hidup dalam kelompok yang aman dan damai.
Semua kumpulan etnik ini memiliki bahasa, kebudayaan serta corak hidup tersendiri sejak zaman lampau, era pemerintahan James Brooke hingga merdeka. Antara keistimewaan dapat dilihat seperti pakaian, kraf tangan, makanan, gaya hidup, tarian dan kediaman tradisi pelbagai etnik berbeza.
Hendak merantau satu negeri Sarawak melihat setiap suku kaum mungkin mengambil sedikit masa. Untuk memudahkan anda mengetahui lebih lagi mengenai suku kaum ini, anda boleh berkunjung ke Sarawak Cultural Village. Di sini menempatkan replika pelbagai rumah kaum etnik Sarawak bersaiz sebenar. Selain melawat rumah-rumah tradisi ini, anda boleh merasai sendiri kepelbagaian budaya Sarawak seperti pemakaian kostum, juadah tradisi, mencuba alat sumpit, atau menari bersama kumpulan kebudayaan yang membuat persembahan setiap hari.
Sarawak Cultural Village adalah destinasi wajib dikunjungi sekiranya anda berada di Kuching.
Rumah Panjang Bidayuh Annah Rais
Anda juga boleh melihat sendiri dan berkunjung ke rumah panjang sebenar di Rumah Panjang Annah Rais Bidayuh yang berusia lebih 200 tahun. Terletak 85km dari bandar Kuching dan berada di kaki bukit Borneo Highland, suasana sekitar ini begitu tenang walaupun kampung tradisi ini semakin moden.
Rumah panjang ini sentiasa mengalukan kunjungan orang luar. Anda boleh memilih untuk meneroka kawasan sekitar ini seharian atau memilih untuk tinggal bersama penghuninya. Ucapan selamat datang dan hidangan tuak disediakan kepada pengunjung tatkala menjejakkan kaki di perkampungan ini sebagai simbolik kunjungan anda sangat dialu-alukan.
Terdapat pelbagai tarikan di sini antaranya Head House yang berusia 150 tahun, Kolam Air Panas,dan Air Terjun Tiga Tingkat. Nak lebih meriah, anda perlu berkunjung ke sini ketika Hari Gawai. Seluruh penduduk kampung akan berkumpul untuk merayakan perayaan ini dengan begitu meriah.
Ole-Ole Sarawak
Membeli-belah di Sarawak juga merupakan aktiviti utama yang mesti dilakukan, selain menjanjikan pengalaman yang berbeza di mana pengunjung akan disajikan dengan pelbagai produk tempatan seperti cenderamata hasil kraftangan, produk kering juga bahan makanan basah untuk di bawa pulang.
Dengan rangkaian produk yang pelbagai, sesiapa sahaja yang berkunjung ke Sarawak pasti rambang mata untuk membawa pulang signature produk utama Sarawak seperti Kek Lapis Sarawak, Ikan Terubuk Masin, Sayur Midin, Lada Hitam dan juga hasil kraf. Bahkan ada yang mengatakan, jika produk-produk tersebut tidak dibeli, tidak lengkap rasanya kunjungan ke Sarawak.
Medan Niaga Satok
Medan Niaga Satok merupakan pasar yang menghimpunkan pelbagai barangan keperluan harian di bawah satu bumbung. Menariknya di sini terdapat banyak gerai yang menjual ikan terubuk masin.
Ikan terubuk masin menjadi satu kemestian kepada mereka yang berkunjung ke Sarawak untuk membeli dan membawa pulang ke tempat masing-masing. Maka, tidak hairan jika seseorang itu melancong ke Bumi Kenyalang tidak akan lupa singgah membeli ikan terubuk masin yang banyak dijual di Medan Niaga Satok sebagai buah tangan untuk sanak-saudara serta sahabat handai.
Mungkin berasa segan untuk menghadiahkan ikan masin sebagai buah tangan atau ole-ole dari Sarawak tetapi jangan risau, kerana keenakan rasa ikan itu pasti akan menambat hati mereka untuk terus mendapatkan ikan-ikan terubuk masin ini. Kelebihan ikan terubuk masin Sarawak terletak pada jenis ikan dan teknik ketika memprosesnya. Ikan terubuk tempatan ternyata lebih berkualiti dengan isinya yang lebih cantik dan lebih segar berbanding ikan terubuk import yang sedikit tawar. Jangan risau jika ingin membawa pulang ke Semenanjung dan menaiki pesawat kerana kebanyakan pengusaha ikan terubuk masin di pasar ini mempunyai teknik tersendiri untuk melakukan pembungkusan ikan agar ia boleh dibawa masuk ke dalam pesawat tanpa mengeluarkan bau, basah dan ikan ini mampu bertahan dalam tempoh empat hingga lima hari di dalam kotak berkenaan.
Sajian Sarawak
Di Kuching, Sarawak ada menyajikan pelbagai juadah lazat seperti Nasi Beras Bario, Manok Pansuh, Laksa Sarawak, Mi Kolok, dan Midin Belacan. Semuanya ada disajikan di restoran serta medan selera di bandar-bandar utama. Pilih sahaja destinasi menjamu selera yang anda inginkan antaranya seperti di Restoran Lepau, Restoran Budaya Sarawak, dan Bukit Mata Seafood Restaurant Rooftop.
Bercerita mengenai Kuching, Sarawak memang tidak cukup ruang dan masa. Jom terokai Sarawak Bumi Kenyalang bersama keluarga, sahabat handai dan yang tersayang.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!