Taman Rimba Bukit Bauk, Dungun sinonim sebagai pusat riadah dan aktiviti pendakian. Tetapi hari ini, destinasi alam ini mempunyai satu lagi daya tarikan baru kepada pengunjung terutam peminat si bulus iaitu Taman Kucing Dungun.
Taman Kucing Dungun adalah satu inisiatif Majlis Perbandaran Dungun untuk memastikan kawasan tumpuan awam bebas daripada gangguan kucing jalanan dan pada masa sama memastikan haiwan ini terjaga. Ketika ini, sebanyak 30 ekor kucing jalanan yang dijumpai sepanjang operasi Majlis Perbandaran Dungun di pasar, kedai makan dan tempat awam lain telah ditempatkan di Taman Kucing Dungun untuk dirawat.
Inisiatif ini telah dimulakan pada tahun 2012 di Teluk Lipat dekat Sura namun lokasi itu tidak lagi sesuai untuk penempatan Taman Kucing Dungun ini, kemudian terus dipindahkan ke Taman Rimba Bukit Bauk pada Julai 2020 kerana kawasan ini lebih sesuai sekali gus menjadi satu lagi destinasi pilihan bagi pencinta kucing.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu akan memberi rawatan perubatan dan pemeriksaan kesihatan secara berkala di Taman Kucing Dungun. Kakitangan JPV Terengganu akan bertugas mengikut giliran yang ditetapkan supaya semua kucing terbiar ini kembali sihat dan comel seperti kucing peliharaan.
Foto: FB Majlis Perbandaran Dungun | Bernama